Adnan Sempit 2 Dahului Senarai Filem Pecah Panggung 2012 | Dunia Penuh Gosip

Adnan Sempit 2 Dahului Senarai Filem Pecah Panggung 2012

2012 merupakan tahun yang agak perlahan buat industri perfileman Malaysia. Jika ingin dibandingkan dengan hasil kutipan jualan tiket untuk 2011 (dengan kutipan tertinggi RM11.74 juta untuk "KL Gangster" dan RM10.90 juta buat "Ombak Rindu"), tahun 2012 menyaksikan penurunan hasil kutipan yang agak mendukacitakan.

Mungkin kerana penonton Malaysia sudah mula bosan dengan genre seram komedi yang sudah terlalu banyak dan berulang-ulang? Atau mungkin kehadiran begitu banyak filem-filem pecah panggung dari Hollywood yang tidak tersaing? Walau apa pun, kami senaraikan filem-filem terbaik (mengikut kutipan tiket) tahun 2012. 

1. ADNAN SEMPIT 2
Filem sekuel kepada filem keluaran Metrowealth Pictures paling laris tahun 2010, "Adnan Sempit" ini mungkin tidak menerima kutipan sebanyak filem asalnya, namun begitu, populariti filem lakonan Shaheizy Sam ini masih mampu menarik penonton ke pawagan sekaligus menjadikan filem ini antara filem pecah panggung tertinggi untuk tahun 2012 dengan hasil kutipan sebanyak RM6.82 juta. 

2. JALAN KEMBALI
Syamsul Yusof mungkin tidak berjaya mengulangi kejayaan tahun 2011, namun dia masih mampu meletakkan filemnya di tempat kedua dalam senarai hasil kutipan paling laris. Dengan tayangan selama 28 hari di 80 buah pawagam, sekuel filem "Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam" ini berjaya mengaut sebanyak RM4.98 juta. Nampaknya penonton Malaysia lebih mempercayai hasil sekuel berbanding yang asli. 

3. MAEL LAMBONG
Kejayaan "Mael Lambong" yang memperoleh kutipan RM 4.88 juta ini merupakan satu kejayaan buat Ahmad Idham dan syarikat penerbitannya, Excellent Pictures. Namun yang pasti, kejayaan filem ini sendiri berkemungkinan disebabkan personifikasi Zizan ini sudah pun popular melalui pertandingan "Maharaja Lawak" sebelum filem ini lagi, selain hasrat penonton melihat gandingan dengan pelakon Juliana Evans yang seringkali digosipkan dengan pelawak tersebut pada ketika itu. 


4. ISTANBUL AKU DATANG
Meletakkan sebuah filem yang masih dalam tayangan (pada waktu artikel diterbitkan) mungkin akan dianggap tidak adil. Namun kami kecualikan filem lakonan Lisa Surihani dan Beto Kusyairi ini kerana sekalipun masih dalam tayangan, ia sudah pun mengalahkan filem-filem lain yang sudah tamat waktu tayangan. Dengan kutipan RM3.58 juta (dan angka tersebut terus meningkat), ini merupakan filem gandingan pengarah Bernard Chauly dan penulis Rafidah (sebelum ini menghasilkan "Gol dan Gincu" dan "Pisau Cukur" bersama) yang paling berjaya. 

5. HANTU GANGSTER
Rekod yang agak baik buat pendatang baru Namewee, sekalipun dia memegang banyak peranan dalam filem terbitan Prodigee Media ini (sebagai pengarah, pelakon, penyunting, dan lakonlayar). Kehadiran nama-nama popular seperti Farid Kamil dan Diana Danielle sebagai teraju utama selain para bintang berbilang kaum seperti David Arumugam, Amber Chia, Reshmonu dan Mizz Nina juga mungkin banyak membantu filem ini untuk mendapatkan kutipan sebanyak RM3.45 juta melalui tayangan di 99 buah panggung. 

6. HANTU KAPCAI
Menyambut tuah filem-filem perlumbaan dan juga filem-filem seram yang menjadi pilihan utama sejak dua tiga tahun lalu, pengarah Ghaz Abu Bakar menggabungkan kedua-dua genre tersebut dan menggunakan khidmat Zizan Raja Lawak, Fizz Fairuz dan Remy Ishak untuk menghasilkan sebuah filem seram komedi mengenai seorang mat rempit yang perlu menyelesaikan masalah duniawinya sebelum dia boleh mati dengan aman. "Hantu Kapcai" berjaya mengaut keuntungan sebanyak RM3.19 juta selepas 35 hari tayangan di 71 buah panggung di seluruh Malaysia. 

7. AKU TERIMA NIKAHNYA
Tidak kisahlah jika filem lakonan Nora Danish dan Adiputra ini menerima kritikan kerana persamaannya dengan filem Hollywood, "The Vow". Ia tetap mengaut RM1.3 juta dalam tempoh empat hari tayangan, dan jumlah bersih RM2.75 juta selepas 21 hari dalam tayangan. Ketika pawagam dipenuhi banyak filem-filem seram dan komedi, mungkin filem melodrama ini mendapat tempat di hati para penonton yang inginkan sesuatu yang tidak melibatkan Zizan Razak, hantu, motosikal atau muzik lucu! 

8. BUJANG TELAJAK
Katakan apa saja tentang Prof. Madya A. Razak Mohaideen, filemnya tetap berjaya memasuki carta top 10 2012 dengan kutipan sebanyak RM2.6 juta. Filem lakonan Saiful Apek, Johan dan Nabil Raja Lawak ini berkisarkan tiga orang ahli silap mata yang cuba memikat gadis yang sama (lakonan Fazura) dan melakukan pelbagai cara untuk mendapatkannya. Mungkin ramai yang mengharapkan gandingan hebat antara tiga pelawak ini mampu untuk menghiburkan mereka. 

9. JANGAN PANDANG-PANDANG
Filem komedi, lakonan Zizan Raja Lawak, memasuki carta top 10. Bunyi macam deja vu, kan? Sekali lagi filem lakonan pelawak kelahiran rancangan realiti "Raja Lawak" ini berjaya memasuki senarai kutipan pecah panggung melalui filem pengembaraan komedi seram arahan Ahmad Idham. Filem yang turut dilakonkan oleh Nas-T, Miera Liyana dan Sara Ali ini berada di panggung selama 26 hari dan berjaya mengaut RM 2.51 juta. 

10. 8 JAM
Filem aksi arahan Ahmad Idham dan dilakonkan oleh Shaheizy Sam dan Yana Samsudin ini berjaya mengutip RM2.30 juta di pawagam seluruh Malaysia, sekaligus meletakkannya di tempat terakhir dalam senarai Top 10, itu pun jika tidak ditolak keluar oleh filem-filem lain yang masih dalam tayangan.


*Sumber daripada Yahoo Malaysia


0 comments: