Pertandingan AirAsia Runway Ready Designer Search (AARRDS) akan ke serantau Asean tahun ini melibatkan negara Indonesia, Thailand, Singapura, Filipina, serta Malaysia bagi menyediakan platform untuk pereka muda dari seluruh rantau ini untuk mempamerkan bakat dan membantu melonjakkan mereka ke dalam industri fesyen.
Pencarian pereka fesyen muda ini yang diadakan buat kali kedua dengan kerjasama pihak Kuala Lumpur Fashion Week Ready to Wear (KLFW RTW) telah dilancarkan di Kuala Lumpur hari ini oleh Aireen Omar, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad bersama Encik Andrew Tan, pengasas KLFW RTW.
Ujibakat akan diadakan di Jakarta (16 April), Manila (23 April), Kuala Lumpur (30 April), Singapura (7 Mei) dan Bangkok (14 Mei) untuk mencari bakat-bakat tempatan dari setiap bandar serantau. 3 perserta terbaik dari bandar masing-masing akan mewakili negara mereka untuk ke pusingan akhir yang akan berlangsung pada bulan Ogos di pentas peragaan KLFW RTW 2016 yang berprestij.
Aireen Omar dan Andrew Tan selaku panel hakim bagi AirAsia Runway Ready Designer Search 2016 akan disertai oleh Vivy Yusof, pemilik laman web e-dagang fesyen terkenal FashionValet.com, Alia Bastamam, pereka fesyen terkenal dan Suzie Adnan, Ketua Pengarang majalah GLAM sebagai panel hakim untuk pertandingan ini.
Pencarian pereka fesyen ini terbuka kepada pelajar fesyen berumur tidak melebihi 28 tahun yang sedang belajar atau telah lulus dari sekolah reka fesyen di mana-mana lima buah negara yang terlibat di dalam pencarian ini. Tiga (3) lakaran berilhamkan destinasi Asean harus disertakan bersama borang pendaftaran yang lengkap. Borang pendaftaran boleh di muat turn di laman klfashionweek.com dan tarikh tutup penyertaan adalah pada 12 April 2016.
Hadiah-hadiah bernilai lebih RM350,000 menanti pemenang pertandingan ini termasuk slot untuk mempamerkan koleksi penuh di KLFW RTW 2017, mentor dari pasukan KLFW RTW, RM25,000 yang ditaja oleh FashionValet untuk menghasilkan koleksi kapsul dan dijual di laman fashionvalet.com, mata ganjaran AirAsia BIG sebanyak 150,000, tiket pergi balik AirAsia atau AirAsia X dan beberapa lagi hadiah yang akan diumumkan kelak.
Ikuti perkembangan AirAsia Runway Ready Designer Search 2016 melalui webisodes di Youtube (youtube.com/user/AirAsia), laman sosial AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia) atau melalui hashtag media sosial #AirAsiaRunway.
0 comments: