Actor Studio Dengan Kerjasama Pentasila Membawakan LANGKAU | Dunia Penuh Gosip

Actor Studio Dengan Kerjasama Pentasila Membawakan LANGKAU

Actor Studio dengan kerjasama Pentas Sila mempersembahkan sebuah persembahan kontemporari bertajuk Langkau. Persembahan kontemporari Langkau ini merupakan gabungan dua disiplin persembahan yang berbeza iaitu tari dan teater. Langkau yang melibatkan lima pengkarya tari dan teater yang kini juga bekerja sebagai pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) akan dipersembahkan pada bulan Ogos di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC)


Persembahan ini merupakan hasil garapan dan cetusan idea Faillul Adam dan Murni Omar yang mendapat inspirasi mengenai persembahan ini muncul yang ketika mereka terlibat dalam sebuah program Step-Up anjuran Dance Ireland, semasa melanjutkan pengajian sarjana mereka di sana. Penglibatan dan pengalaman yang dikutip di peringkat antarabangsa mencetuskan buah fikiran untuk berkongsi pengalaman, pandangan, dan informasi kepada bidang seni persembahan Malaysia.

Setelah pulang ke Malaysia pada tahun 2014, Faillul Adam dan Murni Omar bersama-sama dengan dua lagi pensyarah dari Fakulti Teater ASWARA mengemukakan cadangan untuk mementaskan sebuah persembahan yang menggabungkan dua disiplin persembahan yang berbeza. Shahrul Mizad dan Iefiz Alaudin kemudiannya menyertai untuk memberikan nafas dan gaya persembahan yang berbeza dari segi proses kreatif dan juga persembahan akhir nanti. Kemudian, Fasyali Fadzly menyertai mereka untuk bersama-sama menjayakan produksi ini dan memegang peranan sebagai third eye dan penulis skrip.

Proses kerja silang disiplin (cross-discipline) yang dilakukan antara mereka bertujuan untuk mencari satu pendekatan yang berbeza dalam persembahan kontemporari tempatan. Sesuai dengan dinamika dan perkembangan persembahan di seluruh dunia, kerja kreatif silang disiplin telah banyak diamalkan serta diterapkan untuk mencari pendekatan baru dalam penyampaian emosi dan fizikal. Kedua-dua elemen ini sering dieksperimenkan oleh para artis serta ahli akademik seluruh dunia.


Sinopsis Cerita Asal Socialphobia


Eksplorasi Langkau bertema sekitar isu penyakit fobia-sosial (socialphobia) yang menjadi ancaman kebanyakan rakyat Malaysia pada ketika ini. Bersesuaian dengan kemajuan ilmu dan penggalakan konvensi dan ciptaan baharu, eksplorasi ini disampaikan dengan cara dan gaya persembahan kontemporari. 

Bagaimanapun, proses pencernaan merupakan proses yang sangat menarik kerana melibatkan pertukaran idea, kaedah, teknik dan cara penyampaian yang berbeza antara dua cabang seni persembahan ini. Hasilnya, persembahan ini juga menonjolkan potensi bahasa teaterikal yang unik dalam menyampaikan maksud ketakutan sosial. Menggabungkan elemen tari, gerak fizikal lakon dan pengucapan Langkau menjanjikan pengalaman teaterikal yang berbeza berbanding pementasan biasa.

Apa yang menarik dalam proses penciptaan Langkau ialah pada awalnya ia hanya sebuah percubaan untuk melakukan ekpserimen dan eksplorasi serta berkongsi idea daripada kedua-dua bidang, yakni tari dan tetaer, tanpa memikirkan bagaimanakah produk akhir karya ini nanti. Para pengkarya tidak memikirkan untuk menghasilkan sebuah karya tari yang turut dipersembahkan oleh pelakon, mahupun sebuah teater yang mempunyai penari di dalamnya. Tambahan lagi, proses awal eksplorasi bukan melalui skrip yang sedia ada, tetapi skrip ditulis sejajar dengan perkembangan latihan atau eksplorasi.

Barisan Pelakon Yang Berbakat Besar


Persembahan ini melibatkan lima orang individu yang terlibat dan berbakat besar di dalam seni persembahan. Mereka baru saja menamatkan pengajian dalam bidang seni persembahan di universiti terkemuka luar negara iaitu Faillul Adam, Murni Omar, Fasyali Fadzly dan Iefiz Alaudin yang memperolehi biasiswa penuh dari ASWARA untuk pengajian Pasca-Siswazah di Eropah dan Kanada.

Manakala Shahrul Mizad, seorang penggiat seni teater yang berpengalaman dan memenangi beberapa anugerah iaitu Cameronian Boh Arts Awards kategori Persembahan Terbaik Split Gravy on, Top 5 Best Solo Performance menerusi karya Lembu arahan dan tulisan Shahili Bin Abdan atau lebih dikenali sebagai Namron dan Cameronian Boh Arts Awards dalam kategori Pementasan Berkumpulan Terbaik menerusi karya Alang Rentak Seribu.







0 comments: