Karnival Rahmah anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan agensi-agensi agama di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) buat julung kalinya akan menemui pengunjung bermula 27 September 2019 hingga 29 September 2019 ini.
Tidak mahu ketinggalan, TV AlHijrah akan turut turun padang berkongsi kemeriahan, beramah mesra bersama pengunjung-pengunjung yang hadir terutamanya di kalangan penonton setia stesen televisyen ini.
Pengurus Unit Penjenaaman dan Kajian Penonton TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar berkata, “Karnival Rahmah adalah platform terbaik untuk stesen TV AlHijrah mendekati masyarakat. Oleh yang demikian, pelbagai kelainan dan kepelbagaian aktiviti telah dirancang rapi untuk dilaksanakan samada di reruai TV AlHijrah mahupun di pentas utama.” katanya.
Pengurus Unit Penjenaaman dan Kajian Penonton TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar
“Reruai TV AlHijrah yang dihias indah akan ditunjangi tiga jenama utama iaitu wanita, dewasa dan kanak-kanak melalui program-program dan aktiviti-aktiviti yang pasti menjadi tarikan utama bermula jam 8 pagi hingga 7 malam. Antara yang pasti meriah adalah siaran langsung rancangan bual bicara Assalamualaikum yang dibawakan khas dari tapak karnival setiap hari dari jam 8 pagi hingga 10 pagi.” tambah beliau.
Selain berpeluang untuk membeli cenderamata eksklusif TV AlHijrah seperti baju, kopiah, cawan, magnet peti sejuk dan pelbagai produk lain pada harga yang istimewa, pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik yang telah disusun selama tiga hari.
Antara yang tidak harus dilepaskan adalah demo masakan menu Malaysia oleh barisan chef terkenal dari Putrajaya International Convention Centre (PICC), Pencarian Bilal, Wlimatul Urus-Masakan Melayu, Slot Soal Jawab Agama Ana Musyhkil Ustaz Jawab, Pengurusan Jenazah, Perubatan Alternatif, Uji Bakat Pengacara, Kuiz Eja Jawi, Diskuasi Duta Rahmah dan banyak lagi.
Sesi beramah mesra di tapak program turut diadakan dan pengunjung berpeluang untuk bergambar kenangan dengan barisan personaliti TV AlHijrah yang hadir seperti, Ardi Herman Mohd Mardzi, Finaz Yunus, Amie Sofea, Adi Akmal Sehrom, Farah diana, Luqman Hakim Malik, Amirah Lee, Harry Zainal, Zaiton Khalid, Talib, Fadzli Aziz, dan ramai lagi.
Sebagai tambahan, TV AlHijrah yang bertindak sebagai rakan kerjasama Karnival Rahmah turut diamanahkan untuk membawa secara langsung dari Pentas Utama Dataran Putrajaya rancangan Maidatul Quran pada Jumaat 27 September 2019 jam 9 malam dan Konsert Rahmah yang membariskan artis terkemuka seperti Aisyah, David Arumugam, Datuk Ramli Sarip, Prof Madya Dr Lim Swee Tin, Caliph Buskers dan ramai lagi. Konsert ini dijadualkan pada 28 September 2019 jam 9 malam.
Apa yang penting, aktiviti yang disediakan oleh TV AlHijrah bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung-pengunjung untuk merasai sebahagian pengalaman berada di dalam dunia penyiaran, pada masa yang sama ia dapat merapatkan ukhuwah dan silaturrahim sesama insan.
Jadi, jangan ketinggalan untuk mengunjungi reruai TV AlHijrah di Karnival Rahmah, Dataran Putrajaya dari 27 September 2019 hingga 29 September 2019.
0 comments: