TV ALHIJRAH Lancarkan Pakej Stimulus Industri Kecil Dan Sederhana (PSIKS-TVAH) Secara Percuma | Dunia Penuh Gosip

TV ALHIJRAH Lancarkan Pakej Stimulus Industri Kecil Dan Sederhana (PSIKS-TVAH) Secara Percuma

Virus Novel Coronavirus atau Covid-19 bukan sahaja merenggut nyawa, namun amukan makhluk sekecil zarah ini turut merampas kebebasan, mengancam keselamatan dan kestabilan ekonomi, keutuhan sosial serta kecerdasan emosi.


Oleh itu, walaupun kelihatan agak drastik, namun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan bermula 18 Mac 2020 yang lalu menerusi pengumuman rasmi yang dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah tindakan wajar yang harus dibuat demi mengekang penularan virus Covid-19 yang telah membunuh lebih lima puluh ribu manusia seantero dunia.

Selaras dengan pengumuman tersebut, pelbagai inisiatif telah direncanakan kerajaan sebagai langkah tambahan dalam usaha meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat Malaysia termasuk golongan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

TV AlHijrah mengambil peluang untuk sama-sama mendokong usaha kerajaan menerusi kempen #MusaadahCovid19 yang dilihamkan oleh YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama).


Antara langkah besar yang dilaksanakan stesen penyiar berkonsepkan gaya hidup Islam ini adalah pelancaran Pakej Stimulus Industri Kecil Dan Sederhana (PSIKS-TVAH).

Menerusi pelancaran kempen PSIKS-TVAH yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Encik Namanzee Harris dalam rancangan Analisis yang disiarkan siaran langsung sebentar tadi, dijangka hampir tiga ratus usahawan Industri Kecil dan Senderhana (IKS) berpeluang mengiklankan dan mempromosikan barangan dagangan mereka secara agresif dan percuma.

Menurut Namanzee Harris, pelancaran PSIKS-TVAH adalah tanda solidariti buat usahawan IKS yang terjejas perniagaannya disebabkan wabak ini. “Kami amat faham dan bersolidariti atas nama ukhwah sesama Islam. Kami sedia maklum akan keterbatasan rakan-rakan usahawan IKS menghadapi kelembapan aktiviti perniagaan dalam waktu yang amat kritikal ini. Ibarat kata pepatah cubit peha kiri, peha kanan turut rasa sakitnya. Malah Nabi Muhammad SAW sendiri pernah mengumpamakan persaudaraan umat Islam seperti tubuh badan. Andai sakit satu bahagian, maka sakitlah bahagian yang lainnya,” jelas Namanzee sewaktu ditemui selepas majlis pelancaran PSIKS-TVAH.


Kami beri ruang pengiklanan percuma setiap hari bermula 4 April 2020 menerusi rancangan bual bicara pagi, Assalamualaikum, setiap hari selama 3 bulan. Ini adalah promosi amal dan jihad kami membantu mereka yang memerlukan.

Tiga usahawan IKS sehari dengan dua platform promosi iaitu Assalam Biz menerusi panggilan Skype dan juga platform online di Facebook TV AlHijrah. Sebut sahaja apa juga jenis perkhidmatan patuh Syariah dan lulus KKM seperti produk makanan dan minuman, produk kecantikan, produk tekstil, barangan hiasan dalaman, perkhidmatan pelancongan dan umrah serta lain-lain boleh beriklan tanpa bayaran di stesen kami.” tambah Namanzee.

Anggaran nilai siaran kempen yang berlangsung sehingga awal Jun 2020 ini berjumlah hampir RM 7.65 juta. Ini bermaksud, setiap usahawan diberikan slot percuma bernilai hampir RM 30 ribu seorang. Belum pernah lagi mana-mana stesen televisyen memberikan peluang seperti ini. Kami pelopor kepada usaha ini dan mengharapkan rakan-rakan penyiar lain memberikan sokongan sewajarnya,” ujar beliau lanjut.

Menurut Namanzee, Kempen Tanggungjawab Sosial (CSR) ini turut bertujuan melancarkan dan menyeimbangkan ekosistem ekonomi yang terjejas disebabkan wabak Covid-19.


“Kita menyeru dan membuka peluang buat rakan strategi lain seperti mereka yang terlibat di dalam perkhidmatan pasaraya atas talian, perkhidmatan penghantaran barangan, payment gateways atau apa saja yang berkaitan untuk bersama-sama TV AlHijrah menyumbang idea dan tenaga bagi memastikan kelangsungan kegiatan ekonomi rakan-rakan IKS,” katanya.

Sebagai stesen televisyen dan pembekal kandungan Islam, masa depan usahawan IKS untuk menguasai ekonomi domestik dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa adalah antara agenda tidak langsung stesen ini.

TV AlHijrah mengharapkan agar usaha ini dapat membantu keseluruhan pihak yang terjejas dengan PKP ini seperti pihak yang melakukan produktiviti termasuk rantaian yang terlibat serta golongan pekerja dimana pengeluaran dan pemasaran produk tidak dapat dlaksanakan seefektif dan seproduktif dulu.


Usahawan yang berminat untuk keluar TV boleh mendaftar di link http://tiny.cc/PakejStimulus atau melayari laman sesawang TV AlHijrah di www.tvalhijrah.com bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang cara-cara pendaftaran.








0 comments: