Majlis Tandatangan Memorandum Persefahaman Di Antara TV ALHIJRAH Dan Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS) | Dunia Penuh Gosip

Majlis Tandatangan Memorandum Persefahaman Di Antara TV ALHIJRAH Dan Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS)

TV AlHijrah mengukuhkan lagi kedudukan sebagai stesen penyiar berorinetasikan gaya hidup Islam utama di Malaysia melalui pemetraian perjanjian persefahaman (MoU) dengan Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS).


Kerjasama ini menyaksikan pembentukan dan pembangunan semula ekosistem animasi negara yang bukan sahaja memberi faedah kepada kedua-dua pihak malahan ianya akan memanfaatkan penonton Malaysia serta penggiat industri kreatif di Malaysia.

Acara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) ini diadakan di TV AlHijrah, Jalan Perdana, Kuala Lumpur pada pagi ini. Memorandum Persefahaman (MoU) ini disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah Namanzee Harris dan Presiden Persatuan Animasi Malaysia Amir Hamzah Hashim.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata perjanjian ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti siaran rancangan di TV AlHijrah secara khususnya menerusi program animasi yang secara langsung membantu pembangunan modal insan negara.


“TV AlHijrah tidak mahu hanya menumpu kepada kandungan dewasa sahaja walaupun secara statistiknya lebih enam puluh peratus daripada penonton stesen ini adalah mereka yang berumur lingkungan 30-55 tahun.”

“Kita harus bersikap adil dan terbuka kerana secara dasarnya penyiaran negara memerlukan kandungan rancangan yang tidak tertumpu kepada hiburan sahaja. Kita pelrukan juga siaran pendidikan yang membawa penonton ke arah kebaikan.” jelas Namanzee.

“Kami meletakkan sepenuh kepercayaan ke atas kepakaran dan pengalaman ANIMAS untuk melaksanakan proses “pitching” bagi mendapatkan senarai pendek karyawan animasi yang difikirkan mampu untuk menerbitkan rancangan animasi yang mempunyai ruh dan DNA TV AlHijrah.”


Namanzee turut memaklumkan bahawa perjanjian persefahaman ini juga adalah bukti komitmen serta tanggungjawab TV AlHijrah dalam membantu para karyawan yang terkesan dengan pandemic covid-19.

“Kita tawarkan penerbitan jangka pendek kepada syarikat-syarikat penerbitan animasi tempatan melalui slot siaran program animasi yang disediakan.  Secara tidak langsung ini adalah usaha TV AlHijrah untuk merancakkan kembali sektor ekonomi melibatkan kandungan animasi dan kreatif tempatan sekaligus membantu menjana semula peluang pekerjaan.” ujar beliau lagi.

“Saya menyeru rakan-rakan korporat untuk sama-sama membantu industri animasi negara demi melahirkan generasi penonton muda yang mendapat manfaat ilmu menerusi rancangan animasi santai namun berimpak tinggi. Stesen kami terbuka untuk sebarang bentuk kerjasama yang memanfaatkan ummah.”


TV AlHijrah yakin kerjasama strategik yang terjalin ini menjadi medan utama untuk kedua-dua organisasi bertukar-tukar tenaga kepakaran dan sumber-sumber ilmu yang dapat memberikan pelbagai kebaikan kepada seluruh masyarakat.






0 comments: