Tahniah kepada TV Alhijrah apabila dinobat pemenang Anugerah The BrandLaureate The World’s First E-Branding Award bagi kategori Anugerah Rakan Strategik Perniagaan pada 8 Januari 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah Namanzee Harris berkata, kemenangan itu adalah kemenangan kali ketiga bagi TV AlHijrah, yang merupakan satu-satunya stesen televisyen Malaysia yang memenangi anugerah itu.
“Penganugerah ini merupakan satu penghormatan kepada TV AlHijrah dan bukti stesen kami mampu kekal berdaya saing meski pun berdepan cabaran yang tidak dijangka,” katanya.
“Ini hasil kerja keras dan komitmen daripada semua rakan-rakan di TV AlHijrah kerana kita melihat pada 2020 ramai terkesan dengan pandemik, banyak perniagaan terkesan namun kita kekal berdaya saing dan itu perkara yang membanggakan,” jelas Namanzee.
Selain itu, Namanzee turut berkata tahun 2021 bakal menyaksikan lebih banyak program berimpak tinggi yang akan dihasilkan dan dsiarkan oleh stesen gaya hidup Islam itu demi memenuhi aspirasi penyiaran negara dan selera penonton yang dahagakan program ilmiah yang mendidik dan menghiburkan selari dengan ajaran agama, batasan budaya dan norma masyarakat majmuk di Malaysia.
“Kami akan terbitkan program impak tinggi seperti program MY H.A.U.S, Dengarkan dan Hijrah Berselawat (bersiri). Ketiga-tiga program ini menjadi nadi kepada kempen Musa’adah Covid-19 2021 serta memposisikan TV AlHijrah sebagai stesen yang mendengar nadi denyut rakyat serta stesen penenang jiwa yang memeluk emosi rakyat Malaysia tatkala negara menghadapi masalah ancaman Covid-19 dan kemuraman ekonomi.
My H.A.U.S yang disiarkan setiap Isnin, 9 malam bermula 25 Januari 2021 adalah sebuah program realiti ubah suai rumah golongan asnaf yang memerlukan perhatian khusus bagi mendapatkan tempat kediaman selesa dan boleh diduduki seisi keluarga.
Dengar pula merupakan program separa realiti yang mencari individu yang kisahnya tular akibat kesusahan hidup dan akan dibantu agensi kerajaan yang berkaitan.
Beliau turut berharap agar TV AlHijrah terus bersaing dan kekal relevan mendepani arus permodenan di peringkat tempatan mahupun antarabangsa walaupun mendapat persaingan daripada media-media baru.
Anugerah The BrandLaureate The World’s First E-Branding Award yang berlangsung buat pertama kalinya secara maya diadakan bagi memberi pengiktirafan kepada syarikat-syarikat korporat yang sentiasa berusaha secara konsisten membina jenama hingga dikenali di pasaran tempatan dan global merangkumi sektor-sektor seperti Makanan, Hotel dan Pelancongan, Kecantikan & Kosmetik, Sukan, Kesihatan, Fesyen, Perbankan dan Kewangan dan banyak lagi.
0 comments: