Dengan kehadiran Bulan Ramadan yang penuh dengan rahmat dan keberkatan, the Curve, yang dimiliki dan diuruskan oleh Boustead Curve Sdn Bhd, syarikat milik penuh Boustead Properties Berhad, berkongsi kerahmatan bulan Ramadan menerusi pengagihan bubur lambuk, yang lazimnya dilakukan untuk berkongsi rezeki dan merapatkan hubungan sesama insan.
Pusat beli-belah ini turut disertai oleh Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (Adabi) dalam proses penyediaan bubur lambuk tersebut. Berpandukan resepi oleh Chef Irwan Mohd Nor dari Adabi, hidangan tradisional ini telah disediakan dan diagihkan bersama oleh Adabi dan pihak pengurusan dan kakitangan the Curve.
Kira-kira 1,200 bekas bubur lambuk telah diagihkan kepada wakil dari Surau Mutiara Damansara, Balai Polis Mutiara Damansara, Balai Polis Damansara dan para pengunjung the Curve untuk Iftar sebagai sebahagian daripada usaha pusat beli-belah ini untuk menyantuni masyarakat. Selain daripada bubur lambuk, bekalan keperluan harian dan duit Raya turut disampaikan kepada sekumpulan kanak-kanak kurang bernasib baik dan penjaga mereka yang menghuni Pusat Jagaan Kasih Harapan Kota Damansara oleh the Curve dan pihak pengurusan Adabi. Pengagihan dibuat dengan mengikut garis panduan dan pematuhan ketat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang sedang dilaksanakan.
Jazmi Kamarudin, Pengurus Besar Kanan, Pengurusan Hartanah & Pelaburan Boustead Properties, berkata bubur lambuk merupakan sebuah tradisi pada bulan Ramadan di Malaysia dan the Curve teruja kerana berpeluang menyediakan sajian ini bersama Adabi, yang menaja semua ramuan dan persediaannya.
Beliau mengulas: “Salah satu cara terbaik untuk menyambut bulan Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan ini adalah dengan berkongsi juadah berbuka puasa dengan orang lain. Dalam masa-masa mencabar ini, kami bersyukur kerana masih dapat berkumpul dan melakukan sesuatu yang bermakna demi kebaikan masyarakat menerusi kempen Raya kami pada tahun ini.”
Pengurus Promosi & Korporat, Roshidi Zabidi, menambah, “Kami berbesar hati dapat menyokong the Curve dalam inisiatif untuk membawakan bubur lambuk menggunakan resipi istimewa Adabi kepada penduduk di Mutiara Damansara. Aktiviti menyediakan sajian ini adalah satu tradisi yang dianjurkan Adabi dan membolehkan kami untuk memainkan peranan dalam mengeratkan silaturahim pada bulan Ramadan.”
Selain daripada program agihan bubur lambuk, sebagai sebahagian daripada kempen Raya bertema “Wau Meriahnya Syawal” dari 16 April hingga 16 Mei, ruang Centre Court di the Curve juga telah diubah untuk menyamai suasana kampung di Pantai Timur yang dilengkapi dengan pangkin dan dihiasi dengan Wau, bunga berwarna-warni, dan perhiasan lampu yang indah.
Para pengunjung juga boleh menyaksikan persembahan muzikal ‘Sensasi Raya’ dengan reka tari istimewa dua kali sehari pada jam 2.00ptg dan 5.30ptg, pada hari Sabtu, Ahad dan Cuti Umum. Persembahan yang menarik ini kembali selepas setahun tidak diadakan akibat sekatan pergerakan di negara ini. Di samping itu, muzik instrumental Raya bertema Senandung Raya juga dipersembahkan pada jam 8.30 malam dari hari Jumaat hingga Ahad dan Cuti Umum. Semua aktiviti di the Curve mematuhi prosedur operasi standard PKP 2.0 untuk menjamin keselamatan orang awam yang sentiasa diutamakan.
Sebagai ganjaran tambahan, pengunjung boleh menebus mangkuk seramik Citarasa Aidilfitri dalam pilihan pelbagai warna apabila membelanjakan sekurang-kurangnya RM450 dalam tidak lebih daripada dua resit. Mereka yang membelanjakan sekurang-kurangnya RM150 dalam maksimum dua resit pula layak menebus paket duit raya khas Warna Raya. Penebusan boleh dibuat selagi stok masih ada dan tertakluk pada terma dan syarat.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web the Curve di www.thecurve.com.my atau laman Facebooknya di www.facebook.com/theCurveShoppingMall
0 comments: