MyTOWN Shopping Centre mengizinkan pejabat projek lamanya di Kuala Lumpur diubah menjadi pusat pendidikan antarabangsa yang akan dikendalikan sepenuhnya oleh Ideas Academy, sekolah rendah dan menengah swasta yang diperakui IGCSE. Ideas Academy di MyTOWNKL disasarkan dibuka pada awal 2024.
Institusi itu, yang bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), menyasar untuk menyediakan akses pendidikan yang lebih luas kepada kanak-kanak kurang bernasib baik dan pelarian di Malaysia, serta murid-murid am yang akan menduduki bangunan 4 tingkat seluas 22,000 kaki persegi itu. Ikano Centres dan Boustead Ikano Sdn Bhd (BISB) komited melaburkan lebih RM 5,000,000 untuk membaik pulih dan menghidupkan semula bangunan sedia ada menjadi sebuah institusi pendidikan yang dilengkapi dengan segala kemudahan dan peralatan moden yang diperlukan bagi membentuk dan memupuk persekitaran pembelajaran holistik untuk generasi muda.
Kampus Ideas Academy MyTOWNKL ini mampu menampung lebih daripada 650 pelajar dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk tanjakan papan selaju, gelanggang pelbagai guna, kawasan hijau dan bilik rehat bagi mencipta persekitaran yang sihat dan seimbang untuk mereka belajar, berkembang dan maju jaya.
Pengurus Besar MyTOWNKL, Mohd Azhan Che Mat berkata, “Usaha kami untuk menghidupkan semula pejabat projek lama kami dengan mengubahnya menjadi sebuah institusi pendidikan yang terletak bersebelahan MyTOWNKL adalah selaras dengan strategi tawaran campuran kami untuk memenuhi aneka penawaran dari pengalaman runcit yang unik hinggalah kepada pelbagai hidangan F&B, termasuk ruang pertemuan yang selesa untuk para pelajar, keluarga, dan profesional berjumpa semasa waktu rehat atau selepas kuliah dan kerja. Kami yakin bahawa penambahan terbaru ini akan mengukuhkan lagi cita-cita kami untuk menjadikan MyTOWNKL sebagai sebuah hab komuniti bersepadu untuk membeli-belah, meneroka, belajar dan bermain.”
Ketua Operasi Ideas Academy, Stephanie van Aken berkata, “Pembukaan kampus di MyTOWNKL adalah selari dengan rancangan pengembangan strategik akademi kami untuk menawarkan program pembelajaran yang diperakui IGCSE kepada lebih ramai lagi murid-murid di sekitar Lembah Klang. Kami berterima kasih kepada MyTOWNKL kerana menyediakan kemudahan untuk kami memberikan pendidikan bertaraf dunia kepada murid-murid daripada semua latar belakang dan minat. Lokasi pejabat projek MyTOWNKL yang ada sekarang memberikan lebih banyak akses yang diperlukan oleh bakal murid-murid kami dan ahli keluarga mereka untuk berulang-alik, belajar, dan bertemu dengan mudah.”
Pengarah Komersial Ikano Centres, Arnoud Bakker berkata, “Di Ikano Centres, kami bersemangat untuk bekerjasama dengan rakan yang turut mempunyai komitmen sama dalam meningkatkan pengalaman komuniti setempat. Kami berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Ideas Academy yang turut berkongsi wawasan serupa dalam mengambil pendekatan yang lebih lestari ke arah pembangunan kami. Dengan mengguna semula bangunan sedia ada, kami dapat meminimumkan jejak karbon berbanding merobohkan struktur lama, membuang sisa ke tapak pelupusan sampah dan membina semula menggunakan bahan binaan baru. Pendekatan ini selari dengan strategi kelestarian global Ikano Group.
Selain daripada itu, kami turut gembira kerana dapat memainkan peranan dalam membuka lebih banyak akses pendidikan kepada semua murid, tanpa mengira latar belakang sosioekonomi mereka. Kami akan sentiasa menyokong inisiatif lestari menerusi tumpuan pengurusan sisa dan kitar semula, pengoptimuman panel solar dan pengumpulan air hujan merangkumi semua bangunan dalam portfolio kami, program hijau bersama penyewa, dan juga aktiviti yang menggalakkan komuniti mencipta impak yang lebih baik ke atas orang ramai dan bumi.”
Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila layari https://www.mytownkl.com.my dan https://www.ikanocentres.com/.
Wah ini baru namanya serbaguna. manfaatkan sepenuhnya apa yang ada.
BalasPadam