Siapa sangka pernah tewas pada peringkat mingguan dan tidak layak untuk peringkat akhir. Namun rezeki tidak pernah salah alamat. Produk NACOTS iaitu peranti sensor DNA bagi mengesan virus dan kanser diberi peluang kedua untuk peringkat akhir. Tidak mensia-siakan peluang maka terus dinobat sebagai pemenang rancangan realiti berteraskan sains, teknologi dan inovasi, INNOVATHON musim pertama.
Inovasi yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Zainiharyati Mohd Zain, pensyarah kimia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu dipilih daripada kalangan lapan finalis untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dan pelaburan sokongan pembangunan perniagaan bernilai hingga RM1 juta.
Naib juara pula menjadi milik PUTRA UAV 2.0, inovasi ‘Drone Frame Kit’ dengan serat gentian daun nanas yang dipimpin oleh Navaneetha Krishna a/l Chandran, membawa pulang wang tunai RM80,000 dan trofi; sementara tempat ketiga dianugerahkan kepada ‘Plastic-To-Fuel’, inovasi Mensilin Green Energy Sdn. Bhd. pimpinan Mohamad Ashraf Zulnizam dan Ahmad Luqman Mohamad Adan, bersama hadiah wang tunai RM50,000 serta trofi.
Manakala tempat keempat menjadi milik ‘The Other Self’, inovasi jaket untuk penghantar makanan dilengkapi keperluan solat daripada Mohd Ehfan Ibrahim dan Aziq Fadzly Amir merangkul hadiah wang tunai RM10,000 bersama trofi; dan inovasi alat rehabilitasi pelbagai fungsi bagi pesakit lewat perkembangan motor kasar & halus, MAIDS5, oleh Kumpulan Rehab Charger dari Unit Perubatan Pemulihan Universiti Sains Malaysia (USM) Kelantan menjadi pemenang tempat kelima dengan hadiah wang tunai RM5,000 dan trofi.
Tiga lagi inovasi yang beradu di final INNOVATHON adalah Herba Untuk Ternakan (herba tradisional & organik untuk pembesaran ternakan) oleh Ustaz H. Azmi Nor; M-Braille Typewriter (mesin taip Braille mekanikal kepada inovasi elektronik) daripada Muhammad Hafidzuddin; dan Floating Stretcher (pengusung sebagai alat bantuan menyelamat yang fleksibel, ringan dan serbaguna) oleh Kumpulan Captain Innovator dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia cawangan Slim River, Perak pimpinan Shahrizal Hussin.
Lapan finalis terpilih ke pentas akhir INNOVATHON secara ‘wildcard’ untuk mempersembahkan inovasi masing-masing kepada lima orang juri profesional iaitu Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; selebriti dan usahawan, Fazura; serta dua orang pemain industri sebagai juri profesional jemputan - dengan Awal Ashaari dan Datin Lisa Surihani sebagai hos.
Di pentas akhir INNOVATHON, barisan juri professional menyumbang kepada 100 peratus keputusan disaksikan kira-kira 200 penonton di studio.
0 comments: