Dalam usaha berterusan untuk memajukan bidang perubatan estetik, Ko Academy, sebuah pusat latihan di bawah Dr. Ko Skin Specialist, telah mengadakan edisi ketiga Sidang Kemuncak Perubatan Estetik dan Dermatologi Asia, atau lebih dikenali sebagai ADAMS 2024. Persidangan ini, yang diadakan pada 27 dan 28 Julai 2024 di hotel Shangri-La Kuala Lumpur, bertujuan untuk memajukan bidang dermatologi dan perubatan estetik di Malaysia dengan menyediakan platform kepada pengamal-pengamal perubatan estetik untuk berkongsi pengetahuan dan bertukar pandangan di peringkat global.
ADAMS 2024, yang bertemakan ‘Simfoni Kecantikan: Gabungan Sains & Seni,’ telah mendapat sokongan lebih daripada 600 peserta persidangan, termasuk doktor pakar dan pengamal perubatan estetik. Acara ini turut menyediakan 50 gerai pameran, forum, pembentangan dan perkongsian kertas penyelidikan oleh pakar-pakar dari Malaysia, Singapura, Ukraine, Taiwan, Itali, Sepanyol, dan negara-negara utama lain dalam bidang dermatologi dan estetik.
Seiring dengan tema ini juga, Ko Academy menekankan kepentingan peraturan dan polisi dalam persidangan melalui forum bertajuk ‘Membina Kepercayaan Melalui Peraturan: Memperjuangkan Amalan Selamat.’ Barisan panel termasuk Vicknesh Krishnan, Naib Presiden Healthcare di Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC); Nashirah Naimi, Penolong Pengarah Kanan di Medical Device Authority (MDA); dan Najmi Ismail, Penolong Pengarah Kanan di Medical Legislative Branch.
Dato’ Dr. Ko Chung Beng, pengasas merangkap ketua pegawai eksekutif rangkaian Klinik Pakar Kulit Dr. Ko dan pengerusi jawatankuasa penganjur ADAMS 2024, dalam ucapan beliau menyatakan, “Tema tahun ini membuatkan kami sedar bahawa komitmen kami bukan sekadar memajukan amalan estetik tetapi juga melibatkan penyelarasan visi artistik dengan ketepatan saintifik untuk mengekalkan piawaian keselamatan dan kualiti yang tertinggi. Sama seperti simfoni yang menggabungkan pelbagai elemen untuk mencipta kecantikan, bidang kami berkembang melalui integrasi ini, supaya kita dapat membina kepercayaan dengan pesakit dan meningkatkan kualiti penjagaan yang kami berikan.”
Dr. Vivien See Kai Ying, presiden jawatankuasa penganjur ADAMS 2024 berkata, “Mengimbau kembali dua tahun pertama penganjuran ADAMS, kami amat berbesar hati menyambut pertambahan bilangan peserta persidangan yang meningkat dua kali ganda serta rakan kongsi yang lebih ramai menyertai kami. Matlamat kami sebagai penganjur adalah untuk menarik komuniti yang lebih besar dan pelbagai, memupuk kerjasama dan inovasi. Visi inilah yang memacu kami untuk terus menambah baik ADAMS pada tahun ini dan siri-siri yang akan datang sekaligus menjadikannya acara utama dalam bidang estetik dan dermatologi serantau yang memberi inspirasi dan menyatukan industri kami.”
Pasaran perubatan estetik global dianggarkan bernilai kira-kira USD 19.2 bilion pada 2023 dan dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 12% dari 2024 hingga 2032. Dalam pasaran ini, segmen bukan pembedahan dijangka mencapai nila berjumlah USD 41.8 bilion menjelang 2032, mencerminkan peralihan ketara kepada prosedur yang kurang invasif.
Di Malaysia, sektor perubatan estetik menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan. Pendapatan klinik-klinik perubatan estetik meningkat pada CAGR sebanyak 30.8% dari 2019 hingga 2021. Pada 2022, pasaran estetik domestik dianggarkan berjumlah RM 468.8 juta, dan dijangka berkembang pada CAGR sebanyak 18.8%, meningkat daripada RM 366.3 juta pada 2021 kepada RM 1.03 bilion menjelang tahun 2027. Trend ini mencerminkan peningkatan umum dalam perbelanjaan berkaitan kecantikan di negara ini, langsung memberikan gambaran yang dinamik dan berkembang pesat bagi industri estetik dan dermatologi.
Tema "Simfoni Kecantikan: Gabungan Sains & Seni" merangkumi impak ADAMS 2024 yang lebih meluas terhadap industri perubatan estetik, menekankan keperluan untuk mengintegrasikan visi artistik dengan ketelitian saintifik. Gabungan harmoni ini adalah penting bukan sahaja untuk memajukan bidang terbabit tetapi juga untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam perubatan estetik. ADAMS 2024 bertujuan untuk memupuk persekitaran kolaboratif di mana idea-idea inovatif dapat berkembang, seterusnya meningkatkan kualiti penjagaan dan kepercayaan pesakit. Dengan mengumpul kepakaran dari pelbagai negara di bawah satu bumbung, ADAMS 2024 dijangka dapat meningkatkan kedudukan Malaysia dalam lanskap perubatan estetik global dan merangsang pertumbuhan bidang tersebut di seluruh rantau Asia, dengan menekankan kepentingan piawaian keselamatan, kualiti, dan inovasi.
Berpandukan jangkaan positif pertumbuhan industri estetik dan dermatologi di peringkat tempatan dan global, pasaran perubatan estetik Malaysia dijangka terus berkembang, didorong oleh inovasi, penguatkuasaan peraturan yang lebih ketat, dan permintaan pengguna yang semakin meningkat. ADAMS 2024 dilihat dapat memacu industri tersebut ke arah merealisasikan potensi Malaysia untuk menjadi peneraju serantau dalam perubatan estetik, menawarkan rawatan bertaraf dunia.
0 comments: