Program Baharu Yang Lebih Mengujakan Dalam PESZTA Edisi Ketiga | Dunia Penuh Gosip

Program Baharu Yang Lebih Mengujakan Dalam PESZTA Edisi Ketiga

Pesta komuniti yang paling dinanti-nantikan kini kembali dengan acara yang lebih besar dan hebat pada tahun ketiganya! PESZTA, temasya sepanjang hari yang meraikan Muzik, Seni dan Budaya, bakal menambat hati rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia.  Acara yang diadakan pada hari Sabtu, 14 September 2024, dianjurkan oleh PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PMVSB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), dengan kerjasama Think City dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan juga Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), HEART Residences, Pentago House, SAM Mansion, Triptyk dan Bangunan Zhongshan, di samping masyarakat setempat di Kampung Attap. 



Pada tahun ini, PESZTA akan diperluas untuk meliputi kawasan sekitar Kampung Attap untuk memberikan lebih banyak peluang untuk pengunjung meneroka dan menyertai pelbagai acara menarik. Buat julung kalinya, orang ramai boleh menyertai lawatan menyusur warisan dan menyaksikan pameran di Stadium Merdeka. Stadium bersejarah yang terkenal ini telah dibangunkan semula mengikut binaan asalnya. Pesta ini akan turut menganjurkan acara di lokasi-lokasi utama di Kampung Attap, termasuk KLSCAH, Pentago House, Sam Mansion, The Zhongshan Building dan HEART Residences. Sementara itu, beberapa lokasi lain di kawasan sekitar, termasuk Triptyk, RegalPark Hotel, dan Hummingbird Travels juga akan menjadi tuan rumah kepada pelbagai aktiviti. Tempat-tempat menarik ini menjadi latar dinamik bagi pelbagai acara pesta, termasuk pasar komuniti, bengkel dan persembahan. Rakan hotel eksklusif PESZTA adalah Four Points by Sheraton Kuala Lumpur, Chinatown. 



PESZTA juga dijayakan menerusi usaha kolaboratif bersama para penerima Program Geran Komuniti  Merdeka 118, sebuah program yang terus dianjurkan sejak pusingan pertama dilancarkan pada 2021. Beberapa penerima geran juga terlibat di acara Hujung Minggu Merdeka yang telah diadakan di Stadium Merdeka dari 30 Ogos hingga 1 September, dengan memaparkan dan menjual produk serta mempersembah hasil karya masing-masing. Penganjuran PESZTA akan meneruskan kejayaan Hujung Minggu Merdeka. 

Aktiviti-aktiviti dan produk-produk oleh penerima geran pusingan ke-2 termasuk: 
i. Eats, Shoots & Roots x YWCA: Produk hasil tani segar tempatan (seperti teh, sirap, dan aiskrim batang) yang dihasilkan daripada usaha kerjasama  ladangbandar. 
ii. Hanuni Halim x YWCA Kuala Lumpur: Kraftangan Decoupage serba indah yang memaparkan bakat seni dan kemahiran Hanuni, dihasilkan dengan kerjasama YWCA 
iii. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM): Membawakan produk madu kelulut seperti madu, pelembap muka dan sos, yang dihasilkan dan dirumuskan oleh Dr. Adibah dari UIAM dengan kerjasama komuniti penduduk Perumahan Awam Seri Sarawak 
iv. Hara Maker: Transformasi kreatif sisa menjadi sesuatu yang baharu dan cantik menerusi inisiatif kitar tinggi yang diterajui UIAM, menawarkan barangan unik yang boleh dibeli oleh pengunjung. 
v. Jamal Tommy: Sesi melukis pemandangan luar oleh Jamal Tommy, yang sungguh berbakat, bersama rakan-rakan seni seangkatannya, akan mengabadikan suasana dan persekitaran pesta yang indah melalui karya seni cat cat air. 
vi. Re:kayu: Perabot yang direka cipta dengan kreatif lagi unik oleh Re:kayu, tersedia untuk dibeli oleh pengunjung.



Dirangka berasaskan konsep PLAY, pengunjung berpeluang melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sepanjang hari. Acara mengasyikkan ini membolehkan orang ramai menyingkap sejarah dan menghayati budaya Malaysia yang menarik  di setiap sudut Kampung Attap yang diceriakan dengan kreativiti, penerokaan dan interaksi. 

Untuk penggemar pameran, PESZTA membawakan pilihan acara dan aktiviti yang menarik di beberapa lokasi, yang pasti memenuhi cita rasa pengunjung. Di Dewan Perhimpunan Cina Selangor yang bersejarah, pencinta filem boleh menyaksikan tayangan khas Tiger Stripes, filem seram Bahasa Melayu 2023 yang ditulis dan diarahkan oleh Amanda Nell Eu. Tayangan khas ini akan diikuti oleh sesi soal jawab menarik bersama pengarahnya, memberikan peluang unik untuk menyelami proses kreatif di sebalik filem yang disanjung tinggi. Hotel RegalPark pula akan mempersembahkan pemasangan projeksi menarik daripada Sputnik. Manakala di Bangunan Zhongshan,  pengunjung boleh meneroka hab seni yang menyerlahkan kreativiti karyawan dengan cara yang menyeronokkan, menerusi pelbagai aktiviti termasuk bengkel, ceramah, pameran, persembahan secara langsung dan paparan interaktif. 



Antara yang paling menjadi tumpuan termasuk kerjasama dengan jenama pakaian papan luncur Australia, Rip Curl, yang akan menaja sesi melukis grafiti secara langsung oleh pelukis jalanan veteran Kenji Chai. Satu tanjakan luncur juga akan disediakan untuk peserta  baharu yang ingin mencuba aktiviti “surf-skating” (luncur kasut roda), sejenis permainan papan luncur yang mencontohi sensasi bermain luncur air, tetapi di darat. Malah para pengendali perniagaan runcit bebas dan kreatif yang terletak di hab seni juga akan menganjurkan pelbagai aktiviti dan bengkel yang menyeronokkan. 

Selain daripada pameran, siri  perbincangan yang merangsang dan menguji minda akan diadakan. Salah satu acara utama ialah pelancaran buku dan perbincangan mengenai Making Malaysia di Pentago House. Di Hummingbird Travels, para peserta boleh berbincang tentang pelbagai topik budaya, termasuk Kembara Kyrgyzstan: Pelancongan Asli Berasaskan Komuniti. 
 


PESZTA juga mengadakan pasar terbuka, menawarkan aneka makanan lazat, di samping pelbagai acara hiburan. Terdapat persembahan tradisional seperti Tarian Cina dan Tarian Pahlawan Borneo, serta persembahan muzik oleh kumpulan seperti Orkes Melayu. Di Sam Mansion, KL Shakespeare Players akan membawakan Persembahan Boneka Gergasi, hiburan menarik yang  wajib dirasai oleh orang ramai dari pelbagai peringkat usia. Manakala di The Back Room, peserta dijemput untuk menyerlahkan bakat seni masing-masing dalam aktiviti Lukis & Main. Di bahagian luar pula, pelukis grafiti Kenji Chai akan membuat demonstrasi seni jalanan secara langsung, manakala Wavvy Hub menganjurkan bengkel papan luncur menarik bagi peminat  untuk semua tahap kemahiran. Bagi mereka yang gemar menyanyi, satu pertandingan karaoke yang meriah akan diadakan di Sri Midas Corner pada sebelah petang.

Kemuncak PESZTA ialah konsert MANTAP KAMPUNG ATTAP yang akan diadakan dari jam 6:00 ptg hingga 11:30 mlm, memaparkan persembahan daripada kumpulan muzik tempatan, di samping bintang pop dan R&B Ning Baizura, termasuk persembahan oleh artis tempatan popular lain seperti Leaism, SalamMusik, Nice Stupid Playground, Plague of Happiness, dan Blanco Music dan Jo Lixian. Konsert malam ini adalah percuma dan semua dijemput hadir untuk menikmati muzik yang dipenuhi dengan hiburan yang indah.



Para pengunjung digalakkan untuk menaiki pengangkutan awam untuk ke PESZTA. Kampung Attap dan Stadium Merdeka terletak tidak jauh dari stesen Monorel Maharajalela dan hanya 10 minit berjalan kaki dari stesen LRT dan MRT Pasar Seni. Satu lagi kelebihan ialah para pengunjung pesta boleh menikmati kadar diskaun eksklusif untuk mereka yang ingin menginap di Four Points by Sheraton Kuala Lumpur, Chinatown. Bagi mereka yang berminat untuk turut serta, ikuti saluran media sosial PESZTA untuk pautan acara, yang akan dikongsikan tidak lama lagi. 

Untuk maklumat lanjut tentang PESZTA, sila layari platform media sosial rasmi Merdeka 118 dan akaun rasmi Instagram PESZTA.









0 comments: