Dunia Penuh Gosip - Air Minuman Dunia Penuh Gosip: Air Minuman - All Post
Memaparkan catatan dengan label Air Minuman. Papar semua catatan
Penghidratan yang secukupnya penting untuk memastikan sistem imun anda berfungsi dengan baik dan menjaga kesihatan badan. Memandangkan Malaysia mencatatkan kadar influenza tertinggi pada bulan Januari dan Julai dan musim ini semakin hampir, WHO mengesyorkan orang ramai agar minum air dengan secukupnya  untuk memastikan tahap penghidratan yang optimum.

Susan Bowerman, M.S., RD, CSSD, CSOWM, FAND
Pengarah Kanan, Pendidikan dan Latihan Pemakanan Sedunia di Herbalife 


Air adalah minuman paling semula jadi di dunia – malah manusia selama ini minum air sebelum mereka mula menikmati teh, kopi, air herba atau sebarang minuman lain. Walaupun kita tidak perlu berfikir panjang sebelum minum segelas air, kita perlu sentiasa sedar dan diberi peringatan tentang mengapa kita perlu terus mengambil minuman ‘tertua’ di dunia ini.  

Orang dewasa mempunyai sehingga 60 peratus air dalam badan mereka . Justeru, tidak hairanlah jika kita perlu mengekalkan tahap penghidratan yang secukupnya untuk kekal sihat. Dalam iklim Malaysia yang panas dan lembap, tahap penghidratan yang sewajarnya menyokong penghadaman, penyerapan nutrien dan perkumuhan. Selain itu, tanpa air yang mencukupi, pengawalan suhu badan menjadi sukar, sendi kehilangan keupayaan pelincir, dan otot pula menjadi letih dengan lebih cepat. Pada hakikatnya, setiap sel, tisu dan organ memerlukan air untuk berfungsi dengan baik.



Air dan Keimunan
Sebagaimana sistem lain dalam badan, sel-sel dalam sistem imun anda memerlukan nutrien untuk menjalankan tugas mereka. Berikut ialah tiga cara utama air menyokong keimunan:

Air penting untuk penyerapan nutrien.
Air diperlukan dalam seluruh proses penghadaman, khususnya berkaitan dengan penyerapan nutrien ke dalam aliran darah. Sebaik sahaja memasuki aliran darah, nutrien dibawa dalam persekitaran berair ini ke semua sel badan untuk diserap dan digunakan. 

Air adalah komponen utama cecair limfa.
Air ialah komponen penting bagi satu lagi bendalir utama dalam sistem imun anda, iaitu limfa (atau bendalir limfa), yang bergerak melalui sistem saluran yang berasingan. 

Bendalir limfa mengandungi limfosit, sejenis sel darah putih khusus yang membantu badan anda melawan jangkitan. Peredaran bendalir limfa membantu membuang badan anda menyingkirkan bahan sisa, toksin dan kotoran daripada badan anda – termasuk bakteria dan virus. Oleh kerana sistem limfa anda mengandungi kira-kira 96 peratus air, tidak menghairankan jika penyahhidratan atau kekurangan air boleh melambatkan fungsi sistem penyaliran semula jadi dalam badan anda.



Air membantu menjaga kesihatan membran mukus.
Satu lagi cara air dan bendalir menyokong sistem imun ialah dengan menjaga kesihatan membran mukus anda. Sebagaimana kulit membantu melindungi bahagian luar badan anda daripada penceroboh asing, membran mukus lembap anda juga bertindak sebagai benteng pertahanan. Membran ini melindungi bahagian dalam badan anda yang terdedah kepada udara – seperti lubang hidung, mulut dan tekak. Apabila badan anda kekurangan cecair, saluran hidung anda mungkin menjadi kering, seterusnya menjadikan pelindung ini kurang berkesan. 

Akhir sekali, jika anda menghidap penyakit, mengalami batuk-batuk dan kekeringan  tekak, terasa demam, atau kehilangan bendalir badan akibat sakit perut atau usus, anda hendaklah minum banyak air bagi membantu proses pemulihan sistem.  
  
Petua untuk Membantu Anda Mengekalkan Penghidratan 
Jika anda terasa sukar untuk minum air yang secukupnya setiap hari, berikut ialah beberapa petua yang mungkin boleh membantu anda.

Lihat di depan mata.  
Satu cara yang berkesan ialah dengan melihat di depan mata jumlah air yang anda rancang untuk minum dan menjejak jumlah yang diminum sepanjang hari. Masukkan jumlah air yang sepatutnya anda minum dalam satu bekas di atas meja dapur anda atau letakkan di atas meja anda.  Bekas ini akan menjadi peringatan untuk minum lebih banyak air, dan anda akan terdorong untuk minum sedikit demi sedikit sepanjang hari – dan akhirnya mencapai matlamat anda untuk menghabiskannya.

Sejukkan. 
Air sejuk selalunya nampak lebih menyegarkan daripada air pada suhu bilik. Cuba simpan sebotol air di dalam peti sejuk dan bawa bersama anda pada siang hari. Air akan kekal sejuk selama beberapa jam, dan anda mungkin terdorong untuk minum lebih banyak air. 



Bangun pagi minum air. 
"Mulut kering pada waktu pagi" merupakan peringatan bahawa kebanyakan kita pada kebiasaannya rasa haus pada waktu pagi. Simpan segelas air di tepi katil anda, dan minumlah sejurus selepas bangun tidur - sebelum tapak kaki anda menjejak lantai.

Tambah perisa. 
Buat air berperisa anda sendiri. Masukkan sepotong lemon atau limau nipis segar, hirisan timun, beberapa biji beri, beberapa helai daun pudina segar, atau sepotong halia segar ke dalam air anda.  Menambah perisa kepada air akan menjadikannya lebih sedap dan menyegarkan. 

Air dalam makanan. 
Jangan lupa bahawa makanan berair seperti buah-buahan dan sayur-sayuran (terutamanya timun, tembikai, tomato dan sayur berdaun) menyumbang kepada keperluan cecair harian anda secara keseluruhan, jadi sertakan makanan sihat ini dalam sajian utama dan snek yang dinikmati. 

Jejak pengambilan. 
Sama seperti anda mengira pengambilan kalori anda, langkah menjejak jumlah air yang anda minum juga boleh membantu mencapai sasaran. Itulah sebabnya kaedah meletakkan bekas air di atas meja amat berkesan – pada bila-bila masa, anda boleh melihat berapa banyak air yang telah anda minum dan berapa banyak lagi perlu diminum sebelum penghujung hari. Jika anda ingin memanfaatkan teknologi, terdapat aplikasi pada telefon anda yang boleh menghantar peringatan ‘minum air’ kepada anda, mengukur kemajuan anda dan malah memberi kata-kata dorongan dan pujian secara maya apabila anda mencapai sasaran anda.