Dunia Penuh Gosip - Al-Quran Dunia Penuh Gosip: Al-Quran - All Post
Memaparkan catatan dengan label Al-Quran. Papar semua catatan
Stesen televisyen gaya hidup Islam pertama negara TV AlHijrah melakar sejarah dengan mencatat hampir 1.6 juta tontonan di kaca televisyen sepanjang Ramadan 1441H. Kejayaan ini adalah lebih baik berbanding Ramadan tahun lalu.


Antara penyumbang terbesar kepada peningkatan rating ini adalah menerusi rancangan Malaysia #QuranTime, sebuah program tadabbur Al-Quran yang terhasil saat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula.

Malaysia #QuranTime memberi peluang kepada penonton seisi keluarga untuk berinterakasi dengan Al-Quran bersama Ustaz Fazrul Ismail, seorang pentadabbur Al-Quran yang tidak asing lagi di Malaysia.

Rancangan ini cemerlang di dua platform dengan capaian melebihi 1.5 juta tontonan di platform televisyen dan lebih 10 juta tontonan di Facebook Live TV AlHijrah sepanjang disiarkan.


Rentetan daripada kejayaan yang cukup manis ini, TV AlHijrah meneruskan kerjasama erat dengan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan memikul tanggungjawab dan amanat ummah untuk menyiarkan program My #QuranTime secara Live di Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah.

My #QuranTime adalah versi terkini Malaysia # QuranTime yang telah diperbaiki, diperhalusi dan diperbaharui dengan formula terbaik yang lebih sempurna untuk dipersembahkan kepada penonton.

Menurut Encik Namanzee Harris, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, “Program My #QuranTime ini sangat dekat di hati dan berbeza dengan rancangan-rancangan sedia ada. Ini kerana selain daripada mengangkat kalam suci Allah sebagai mukjizat teragung yang mendamaikan dan mengembalikan keharmonian global, keistimewaan program ini turut terletak pada keupayaannya menghubung dan menyimpul solidariti ummah”.


“Rancangan ini akan disiarkan bermula 8 Jun 2020, setiap hari jam 12 hingga 1 tengah hari. Ustaz Fazrul Ismail bersama dua qari iaitu Ustaz Ahmad Termizi Haji Ali dan Ustaz Tarmizi Abdul Rahman akan membaca dan mentadabbur Al-Quran bermula dari halaman 1 hingga halaman terakhir iaitu halaman 604.”

“Pembahagian segmen pula telah disusun indah dengan melihat kepada keperluan dan kehendak penonton. Hari Isnin hingga Sabtu tadabbur akan dilaksanakan mengikut halaman Al-Quran manakala pada hari Ahad pentadabbur dan Qari akan memberi imbasan serta ulasan semula tentang apa yang telah dikongsi selama hampir seminggu bersiaran.”

“Ini merupakan kali pertama kita meneroka dan menerbitkan program yang akan disiarkan berterusan selama hampir tiga tahun di platform televisyen dan FB Live TV AlHijrah. Secara peribadi, saya yakin rancangan ini mampu menjadi pedoman kehidupan buat penonton tidak kira di mana mereka berada.”


“Dalam jangka masa tiga tahun ini, kita turut bercadang untuk menganjurkan acara lapangan khusus bagi mempromosi My #QuranTime. Ini termasuk mengadakan rakaman di agensi-agensi kerajaan, badan-badan korporat dan swasta. Oleh yang demikian, kerjasama dari pihak-pihak korporat yang berminat untuk menaja amatlah dialu-alukan.” jelas Namanzee.

Menurut Namanzee, selaku ‘ibu’ program di TV AlHijrah, konsep My #QuranTime memberi fokus kepada tema kehidupan seperti pembangunan diri, keluarga, komuniti dan global. Menerusi kaedah baca, faham dan amal Al-Quran, misi mengQurankan bangsa dan mengikhlaskan ummah yang dipromosi rancangan ini pastinya dapat dicapai dengan lebih berkesan.

TV AlHijrah menyeru seluruh penonton untuk terus menjadikan stesen ini sebagai ladang ilmu tanpa sempadan. Ini kerana kesemua rancangan terbitan stesen ini memberi penekanan terhadap pembinaan rohani dan sahsiah diri serta meningkatkan keimanan kepada Allah SWT.







Menjalani ibadah puasa sewaktu diduga dengan ujian wabak Covid-19 bukanlah alasan untuk umat Islam seantero dunia bermurung durja, lemah serta kalah kepada ujian yang diturunkan oleh Allah SWT.


Umat Islam yang beriman kepada Rukun Islam dan Rukun Iman seharusnya menjadikan pelaksanaan ibadah puasa 1441H saat diserang virus sekecil zarah ini sebagai ruang untuk menambah ketakwaan, keimanan dan nilai integriti di dalam diri.

Oleh yang demikian, TV AlHijrah menyeru seluruh umat Islam terutamanya penonton setia stesen ini untuk menghayati dan menjalani ibadah puasa secara bijaksana dengan sudut pandangan berbeza namun penuh kebaikan mengikut acuan Islam.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Encik Namanzee Harris, “TV AlHijrah meraikan kedatangan Ramadan 1441H kali ini dengan mengangkat tema Ramadan Menyuci Hati sebagai kempen istimewa sepanjang sebulan berpuasa”.

“Tema ini membawa maksud yang jelas iaitu mengajak penonton membudayakan penghayatan ibadat berpuasa mengikut sunnah Baginda Rasulullah SAW seperti besederhana dalam setiap perbuatan, mengelakkan pembaziran, melipatgandakan ibadah dan banyak lagi.”


“Paling istimewa, menerusi tema ini, kita didik nurani dan melatih empati diri penonton untuk lebih peka kepada nasib golongan yang kurang berkemampuan terutamanya mereka yang sangat terkesan dari sudut ekonomi dan psikososial dek penangan pandemik global ini.” katanya.

“Kita mahu semua yang menonton TV AlHijrah pada Ramadan kali ini beroleh manfaat serta menanam semangat dan iltizam untuk mempertingkatkan amalan hingga ke hari terakhir Ramadan seterusnya mengekalkannya sepanjang kehidupan.”


“Ini adalah peluang terbaik untuk refleksi diri. Jangan jadikan keterbatasan berpuasa pada saat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai alasan untuk tidak mengejar markah penuh ibadah ini. Kita diciptakan sebagai sebaik-baik kejadian. Kita adalah umat Nabi Muhammad SAW. Kita harus menjadi juara.”

Perencanaan kempen Ramadan Menyuci Hati ini dilaksanakan di dwi platform iaitu di platform televisyen dan di platform digital. 12 rancangan baru sajikan secara segar buat penonton di rumah. Kesemua rancangan ini menyeimbangkan empat kompenen penting di dalam diri manusia iaitu qalb (hati), al-ruh (ruh), al-nafs (nafsu), al-aql (fikiran).


“Kita yakin, TV AlHijrah akan menjadi stesen pilihan utama rakyat Malaysia sepanjang Ramadan ini dek nadi penyiarannya yang mampu memberikan makanan jiwa buat penonton. Lihat sahaja, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, TV AlHijrah menjadi pilihan utama penonton untuk kandungan Islam dengan syer saluran 2 kali ganda di hadapan saluran-saluran Islamik yang lain. Malahan laman Facebook TVAH dilayari oleh 10.6 juta pengguna pada bulan ini iaitu 7 kali ganda melebihi jumlah pengikut sedia ada.”

“Tontonlah rancangan kami. Ia pasti mampu menenangkan, menghilangkan rasa gusar serta mendekatkan seluruh penonton stesen ini dengan Allah SWT.” Dalam keterbatasan PKP, TV AlHijrah berjaya menyediakan sebanyak 92 jam program khusus untuk kandungan istimewa ramadan yang meliputi program kerohanian, bual bicara, majalah dan travelog.


Antara program-program tersebut adalah seperti rancangan QuranTime, Ihya’ Ramadan, Tazkirah Jumaat, Tausiyah Ustazah Asma, Munajat, Kembara Sufi Jejak Anbiya, Assalamualaikum Istimewa Ramadan, Ngaji On The Go: Ustaz & Artis Lelaki, Ngaji On The Go: Ustazah & Qariah, Tadarus 30 Juzuk, E-Kaunter Netizen Bersama Syamsul Debat.

Disamping program-program ramadan ini, TV AlHijrah juga sedang menyusun dan merangka strategi bagi kempen musim haji yang akan datang. Kerjasama dari pihak-pihak korporat yang berminat untuk menaja pada kempen musim haji hadapan amatlah dialu-alukan. Jadi, jangan lupa untuk menjadikan TV AlHijrah sebagai ladang ilmu anda pada bulan ramadan ini. Banyak perkongsian bermanfaat untuk semua lapisan umur telah disediakan.







Seluruh dunia kini sedang berhadapan dengan saat-saat yang amat genting semenjak virus sekecil zarah yang digelar Coronavirus atau turut dikenali sebagai COVID-19 mengibarkan bendera merah lantas berikrar untuk menjangkiti seluruh manusia di muka bumi tanpa mengira negara, bangsa dan agama anutan.


Keazaman dan kegilaan pembuli yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar ini tidak dapat disangkal lagi apabila statistik dunia menunjukkan hampir 30 ribu kematian seluruh dunia bermula Disember 2019 lalu disebabkan jangkitannya dan jumlah ini dijangka akan bertambah sehingga penularannya berjaya dikekang.

Sebagai umat Islam yang berpegang teguh kepada rukun iman, kita seharusnya yakin kepada qada’ dan qadar yang ditetapkan oleh Allah SWT dan kembali kepada kitab sucinya iaitu Al -Quran dalam mencari penawar rohani dan jasmani bagi menghadapi saat-saat yang sangat sukar ini.


Oleh yang demikian, TV AlHijrah mengambil tanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan rakyat Malaysia kekal tenang dan mendapat maklumat terkini tentang pandemik Covid-19 ini.

Melalui kempen #MusaadahCovid19 yang dilhamkan sendiri oleh YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), TV AlHIjrah kekal bersiaran dengan hidangan pelbagai rancangan berinformasi serta mendidik seperti rancangan bual bicara Assalamualaikum, rancangan Analisis, Berita AlHijrah, Maidatul Quran dan lain- lain.


Terbaru, stesen berkonsepkan gaya hidup Islam ini menyiarkan siaran langsung rancangan #QuranTime dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan Warisan Ummah Ikhlas.

#QuranTime disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Ahad, jam 12 tengahari hingga satu petang dengan menggunakan tagline MengQurankan Bangsa, Mengikhlaskan Ummah.

Menerusi siaran satu jam #QuranTime, penonton seisi keluarga berpeluang untuk bertadarus bersama-sama tetamu jemputan yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang seperti para ilmuan agama, ahli akademik, huffaz dan ramai lagi.


Ditemani hos rancangan iaitu Tuan Fazrul Ismail, seorang pentadabbur Al-Quran yang tidak asing lagi, kesemua tetamu jemputan akan mengalunkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah.

Nikmat berdua-duaan dengan kitab suci Al-Quran bukan selalu dapat dinikmati oleh semua umat Islam. TV AlHijrah menjadikan #QuranTime sebagai penenang jiwa yang mampu menenangkan, mendidik dan memberi kekuatan dalaman kepada seluruh umat Islam Malaysia dalam menghadapi ujian Allah yang sangat besar ini.


Paling penting, #QuranTime dilihat mampu dijadikan platform terbaik untuk menyatukan hati-hati penonton dalam membina tabiat baru dalam meningkatkan keimanan kepada Allah SWT.

Jadi jangan lupa untuk terus bersama #QuranTime setiap hari selama satu jam hanya di TV AlHijrah, TV Kita Untuk Semua.








TV AlHijrah menyasarkan tahun 2020 sebagai tahun yang akan membawa lebih kejayaan buat stesen ini. TV AlHijrah berazam untuk memberikan sepenuh penumpuan kepada penerbitan dan penyiaran rancangan-rancangan yang berunsurkan islamik serta penerapan nilai-nilai murni yang mampu membentuk sahsiah penonton.


Justeru, tiga rancangan istimewa beracuankan Al-Quran Al Karim akan ditayangkan di TV AlHijrah bermula Mac ini Antara rancangan tersebut adalah Maidatul Quran, Belaian Kasih dan Tausiyah Ustazah Asma.

Bulan ini juga menyaksikan pelancaran kempen #jomtontontvalhijrah di stesen televisyen berkonsepkan gaya hidup Islam ini. Menerusi kempen #jomtontontvalhijrah, secara mesra penonton di seluruh pelusuk Malaysia dan juga antarabangsa diajak untuk bersama-sama menyaksikan program-program baharu yang segar, menepati kehendak serta disuntik dengan ilmu bermanfaat yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Maidatul Quran

Program Maidatul Quran adalah cetusan idea dan kolaborasi yang terhasil daripada perbincangan erat di antara TV AlHijrah dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Maidatul Quran memulakan siaran pada 6 Mac 2020, setiap jumaat, jam 9 malam. Maidatul Quran adalah sebuah rancangan yang mengajak penonton untuk mengimani, memahami, mengamalkan dan menyebarkan kalam Allah SWT.


Mensasarkan keseimbangan pembentukan pola fikir seorang muslim, Maidatul Quran yang dihoskan oleh Fahrur Raqib Abdul Majid turut menerapkan konsep hiburan islamik yang menjadikan alunan bacaan ayat Al-Quran, qasidah, zikir sebagai elemen utama rancangan ini.

Demi memastikan para penonton menikmati Tasawwur Islam menerusi rancangan ini, pemilihan Qari dan Qariah pada setiap episod dilaksanakan penuh teliti dalam memastikan mesej dan objektif rancangan ini dapat diterima dan difahami masyarakat.


Antara barisan Qari hebat yang mengalunkan bacaan Al Quran adalah seperti Johan kategori tilawah Al Quran Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2020M iaitu Muhammad Qayyim Nizar Bin Sarimi yang juga merupakan OKU cacat penglihatan.

Turut memperdengarkan bacaan adalah Ustaz Wan Fakhrul, Ustaz Amirahman, Ustaz Tirmizi Ali, Adik Muhammad Harith Hakimi, Hajah Normalina, Nor Farhatul Fairuzah dan penampilan istimewa Qari antarabangsa iaitu Sheikh Momin Hawas.

Belaian Kasih 

Belaian Kasih akan ditayangkan di TV AlHijrah setiap hari isnin bermula 2 Mac 2020 pada jam 7.30 malam. Belaian kasih merupakan program bual bicara santai yang dikendalikan oleh pasangan sejoli iaitu Dato’ Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamod bersama suami nya Ustaz Wan Akasyah Wan Abdul Hamid.


Rancangan ini akan membincangkan perihal rumahtangga dan isu-isu kekeluargaan. Penonton akan disajikan dengan pelbagai tips, panduan dan ilmu rumahtangga untuk melayari alam perkahwinan hingga ke jannah.

Tausiyah Ustazah Asma

Tausiyah Ustazah Asma merupakan sebuah rancangan selami rohani bersama Ustazah Asma, iaitu seorang personaliti dakwah yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Rancangan tazkirah harian sebanyak 13 episod ini bakal menemui penonton bermula 24 Mac 2020, pada setiap hari Selasa jam 6.30 petang.


Tausiyah Ustazah Asma membawa penonton menyelami ilmu agama serta memberi sentuhan rohani buat penonton untuk kekal mengabdikan diri kepada Allah SWT. Ustazah Asma turut membimbing penonton memupuk dan mengekalkan rasa cinta terhadap Rasulullah SAW.

Penonton akan disajikan dengan pelbagai topik yang menarik dan berbeza pada setiap minggu. Antara tajuk-tajuk yang harus ditonton adalah seperti Engkau yang menciptakanku, Engkau yang membentukku, Engkau yang mencukupiku, dan Engkau yang memeliharaku.

TV AlHijrah amat berkeyakinan bahawa kesemua rancangan-rancangan di atas mampu membudayakan Al-Quran dalam meningkatkan kualiti kehidupan seharian. Jadi, jangan ketinggalan untuk terus setia bersama TV AlHijrah sepanjang tahun 2020 kerana banyak rancangan baru dan terbaik telah disusun khas untuk sajian penonton.