Pelawak Shuk Sahar, dinobatkan juara Super Bintang Bersama Bintang (BBB) 2019 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam semalam. Shuk dilihat bijak mengguna peluang apabila kehangatan drama Nur 2 yang popular di TV3 baru-baru ini digunakan sebagai jalan cerita komedinya.
Membawakan watak Ustaz Adam dalam persembahan komedinya, Shuk berganding dengan Jihan Muse sebagai Nur serta Azhan Rani yang dikecam dengan watak Ustaz Syed Hamadi. Kemenangan Shuk itu sekali gus menyaksikan empat pelawak lain tewas iaitu Achey, Sharif, Mamak Puteh, dan Chiwan.
Program BBB 2019 disiarkan selama lapan minggu di TV3 dengan kesemua peserta bertanding kali ini pernah menang RM10,000 setiap minggu. Achey yang turut diramal juara sebelum ini, pernah menang sebagai juara mingguan sebanyak tiga kali ini dan membawa pulang RM30,000.
Sehubungan itu, persembahan peserta program BBB 2019 setiap minggu dinilai juri tetap iaitu pelakon Saiful Apek dan penyanyi, Mark Adam. Tidak ketinggalan, penyanyi dan pelakon, Elly Mazlein atau mesra dengan panggilan Kak Lina Pom Pom bertindak sebagai pengacara.
Antara selebriti yang menjadi tetamu undangan untuk persembahan pada malam kemuncak Super BBB 2019 ialah Datuk Afdlin Shauki, Fikry Ibrahim, Heliza Helmi dan Black Hanifah.
Follow Us