Dunia Penuh Gosip - DBKL Dunia Penuh Gosip: DBKL - All Post
Memaparkan catatan dengan label DBKL. Papar semua catatan
Pesta komuniti yang paling dinanti-nantikan kini kembali dengan acara yang lebih besar dan hebat pada tahun ketiganya! PESZTA, temasya sepanjang hari yang meraikan Muzik, Seni dan Budaya, bakal menambat hati rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia.  Acara yang diadakan pada hari Sabtu, 14 September 2024, dianjurkan oleh PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PMVSB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), dengan kerjasama Think City dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan juga Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), HEART Residences, Pentago House, SAM Mansion, Triptyk dan Bangunan Zhongshan, di samping masyarakat setempat di Kampung Attap. 



Pada tahun ini, PESZTA akan diperluas untuk meliputi kawasan sekitar Kampung Attap untuk memberikan lebih banyak peluang untuk pengunjung meneroka dan menyertai pelbagai acara menarik. Buat julung kalinya, orang ramai boleh menyertai lawatan menyusur warisan dan menyaksikan pameran di Stadium Merdeka. Stadium bersejarah yang terkenal ini telah dibangunkan semula mengikut binaan asalnya. Pesta ini akan turut menganjurkan acara di lokasi-lokasi utama di Kampung Attap, termasuk KLSCAH, Pentago House, Sam Mansion, The Zhongshan Building dan HEART Residences. Sementara itu, beberapa lokasi lain di kawasan sekitar, termasuk Triptyk, RegalPark Hotel, dan Hummingbird Travels juga akan menjadi tuan rumah kepada pelbagai aktiviti. Tempat-tempat menarik ini menjadi latar dinamik bagi pelbagai acara pesta, termasuk pasar komuniti, bengkel dan persembahan. Rakan hotel eksklusif PESZTA adalah Four Points by Sheraton Kuala Lumpur, Chinatown. 



PESZTA juga dijayakan menerusi usaha kolaboratif bersama para penerima Program Geran Komuniti  Merdeka 118, sebuah program yang terus dianjurkan sejak pusingan pertama dilancarkan pada 2021. Beberapa penerima geran juga terlibat di acara Hujung Minggu Merdeka yang telah diadakan di Stadium Merdeka dari 30 Ogos hingga 1 September, dengan memaparkan dan menjual produk serta mempersembah hasil karya masing-masing. Penganjuran PESZTA akan meneruskan kejayaan Hujung Minggu Merdeka. 

Aktiviti-aktiviti dan produk-produk oleh penerima geran pusingan ke-2 termasuk: 
i. Eats, Shoots & Roots x YWCA: Produk hasil tani segar tempatan (seperti teh, sirap, dan aiskrim batang) yang dihasilkan daripada usaha kerjasama  ladangbandar. 
ii. Hanuni Halim x YWCA Kuala Lumpur: Kraftangan Decoupage serba indah yang memaparkan bakat seni dan kemahiran Hanuni, dihasilkan dengan kerjasama YWCA 
iii. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM): Membawakan produk madu kelulut seperti madu, pelembap muka dan sos, yang dihasilkan dan dirumuskan oleh Dr. Adibah dari UIAM dengan kerjasama komuniti penduduk Perumahan Awam Seri Sarawak 
iv. Hara Maker: Transformasi kreatif sisa menjadi sesuatu yang baharu dan cantik menerusi inisiatif kitar tinggi yang diterajui UIAM, menawarkan barangan unik yang boleh dibeli oleh pengunjung. 
v. Jamal Tommy: Sesi melukis pemandangan luar oleh Jamal Tommy, yang sungguh berbakat, bersama rakan-rakan seni seangkatannya, akan mengabadikan suasana dan persekitaran pesta yang indah melalui karya seni cat cat air. 
vi. Re:kayu: Perabot yang direka cipta dengan kreatif lagi unik oleh Re:kayu, tersedia untuk dibeli oleh pengunjung.



Dirangka berasaskan konsep PLAY, pengunjung berpeluang melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sepanjang hari. Acara mengasyikkan ini membolehkan orang ramai menyingkap sejarah dan menghayati budaya Malaysia yang menarik  di setiap sudut Kampung Attap yang diceriakan dengan kreativiti, penerokaan dan interaksi. 

Untuk penggemar pameran, PESZTA membawakan pilihan acara dan aktiviti yang menarik di beberapa lokasi, yang pasti memenuhi cita rasa pengunjung. Di Dewan Perhimpunan Cina Selangor yang bersejarah, pencinta filem boleh menyaksikan tayangan khas Tiger Stripes, filem seram Bahasa Melayu 2023 yang ditulis dan diarahkan oleh Amanda Nell Eu. Tayangan khas ini akan diikuti oleh sesi soal jawab menarik bersama pengarahnya, memberikan peluang unik untuk menyelami proses kreatif di sebalik filem yang disanjung tinggi. Hotel RegalPark pula akan mempersembahkan pemasangan projeksi menarik daripada Sputnik. Manakala di Bangunan Zhongshan,  pengunjung boleh meneroka hab seni yang menyerlahkan kreativiti karyawan dengan cara yang menyeronokkan, menerusi pelbagai aktiviti termasuk bengkel, ceramah, pameran, persembahan secara langsung dan paparan interaktif. 



Antara yang paling menjadi tumpuan termasuk kerjasama dengan jenama pakaian papan luncur Australia, Rip Curl, yang akan menaja sesi melukis grafiti secara langsung oleh pelukis jalanan veteran Kenji Chai. Satu tanjakan luncur juga akan disediakan untuk peserta  baharu yang ingin mencuba aktiviti “surf-skating” (luncur kasut roda), sejenis permainan papan luncur yang mencontohi sensasi bermain luncur air, tetapi di darat. Malah para pengendali perniagaan runcit bebas dan kreatif yang terletak di hab seni juga akan menganjurkan pelbagai aktiviti dan bengkel yang menyeronokkan. 

Selain daripada pameran, siri  perbincangan yang merangsang dan menguji minda akan diadakan. Salah satu acara utama ialah pelancaran buku dan perbincangan mengenai Making Malaysia di Pentago House. Di Hummingbird Travels, para peserta boleh berbincang tentang pelbagai topik budaya, termasuk Kembara Kyrgyzstan: Pelancongan Asli Berasaskan Komuniti. 
 


PESZTA juga mengadakan pasar terbuka, menawarkan aneka makanan lazat, di samping pelbagai acara hiburan. Terdapat persembahan tradisional seperti Tarian Cina dan Tarian Pahlawan Borneo, serta persembahan muzik oleh kumpulan seperti Orkes Melayu. Di Sam Mansion, KL Shakespeare Players akan membawakan Persembahan Boneka Gergasi, hiburan menarik yang  wajib dirasai oleh orang ramai dari pelbagai peringkat usia. Manakala di The Back Room, peserta dijemput untuk menyerlahkan bakat seni masing-masing dalam aktiviti Lukis & Main. Di bahagian luar pula, pelukis grafiti Kenji Chai akan membuat demonstrasi seni jalanan secara langsung, manakala Wavvy Hub menganjurkan bengkel papan luncur menarik bagi peminat  untuk semua tahap kemahiran. Bagi mereka yang gemar menyanyi, satu pertandingan karaoke yang meriah akan diadakan di Sri Midas Corner pada sebelah petang.

Kemuncak PESZTA ialah konsert MANTAP KAMPUNG ATTAP yang akan diadakan dari jam 6:00 ptg hingga 11:30 mlm, memaparkan persembahan daripada kumpulan muzik tempatan, di samping bintang pop dan R&B Ning Baizura, termasuk persembahan oleh artis tempatan popular lain seperti Leaism, SalamMusik, Nice Stupid Playground, Plague of Happiness, dan Blanco Music dan Jo Lixian. Konsert malam ini adalah percuma dan semua dijemput hadir untuk menikmati muzik yang dipenuhi dengan hiburan yang indah.



Para pengunjung digalakkan untuk menaiki pengangkutan awam untuk ke PESZTA. Kampung Attap dan Stadium Merdeka terletak tidak jauh dari stesen Monorel Maharajalela dan hanya 10 minit berjalan kaki dari stesen LRT dan MRT Pasar Seni. Satu lagi kelebihan ialah para pengunjung pesta boleh menikmati kadar diskaun eksklusif untuk mereka yang ingin menginap di Four Points by Sheraton Kuala Lumpur, Chinatown. Bagi mereka yang berminat untuk turut serta, ikuti saluran media sosial PESZTA untuk pautan acara, yang akan dikongsikan tidak lama lagi. 

Untuk maklumat lanjut tentang PESZTA, sila layari platform media sosial rasmi Merdeka 118 dan akaun rasmi Instagram PESZTA.









Kerjasama antara Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyemarakan lagi Siri Semarak Bangsawan 2015. Sejak di mulakan dari tahun 2007 semarak bangsawan ini telah mengetengahkan 36 kumpulan dan 64 skrip bangsawan yang telah popular. Kini ia kembali semula bagi tahun 2015 dengan lebih meriah dan segar dari pelapis muda.



Tahun 2015 ini bermula dengan teater bangsawan yang di arahkan oleh Putera Raja dan di lakonkan oleh barisan pelakon yang cukup hebat dan popular. Raja Ku Puteh adalah naskah yang di pentaskan pada 10-12 April 2015 lepas sebagai pembukaan Siri Semarak Bangsawan. Naskah bangsawan di suntikan dengan ciri moden dan humor menjadi ia satu pementasan terbaik antara yang terbaik. 




Barisan pelakon2 teater Raja Ku Puteh adalah seperti Lokman Harmin (Raja Ku Puteh), Puteri Laila (Puteri Kurnia), Wan Wala (Raja Ku Puteh 2), Bocil Saywho (Raja Tunggal Al Salam) dan Vicha Saywho (Permaisuri Intan), Shazli Ekzos (Pawang Rendra), Wan Raja (Pendeta Kilat), Ali (Guruh), Weera (Dato Samar) dan Bakar Din (Raja Senyum). Semua pelakon yang berkaliber menghidupkan setiap watak menjadikan sepenjang persembahan ini penuh dengan lawak jenaka dan jalan cerita yang menarik.



Sinopsis tentang teater Bangsawan Raja Ku Puteh serba sikit. Kisah bermula dengan kelahiran seorang waris takhta Negara Cempura Emas yang di beri nama Raja Engku Puteh. Sepanjang pemerintahan Raja Ku Puteh sangat di senangi oleh rakyatnya tetapi beliau perlu untuk berkahwin bagi menerusi pemerintahan beliau. Namun beliau ini telah menerima sumpahan yang menjadikan beliau seorang yang hitam dan mempunyai penyakit sawan perempuan. Maka bermula dengan itu beliau bertekat untuk menghapuskan sumpahan tersebut dengan mencari orang yang menyumpah beliau. Sepanjang perjalanan mencari orang yang menyumpahnya beliau temui dengan ramai lagi orang yang pelik2 dan juga musuh. Sepanjang susah payah dan cerita perjalanan beliau akhirnya beliau berjaya menghapuskan sumpahan yang telah di berikan kepadanya. Tapi satu sahaja sumpahan yang tidak dapat di hapuskan iaitu warna kulit yang hitam kerana ia memang keterunan Raja Ku Puteh.




Selain penggunaan kesan bunyi dan cahaya serta prop pentas yang bersesuaian dengan suasana pada masa itu menjadikan persembahan ini lebih nyata dan real. Memberi kesan mendalam kepada penoton dan dapat menghayati situasi yang cuba di tonjolkan. Sepanjang persembahan teater ini memang tidak kering gusi semua penonton yang datang di Auditorium DBKL. Selain daripada naskah yang hebat harga tiket juga memain peranan untuk memanggil lebih ramai penonton. Tiket hanya pada RM10 untuk tempat duduk biasa dan RM50 untuk tiket Premier sangat2 berpatutan.


Banyak lagi persembahan yang menarik di janjikan sepanjang Siri Semarak Bangsawan 2015 ini akan berlangsung sehingga bulan Disember 2015. Masih ada 6 lagi persembahan teater untuk anda tonton selepas ini jadi jangan lepaskan peluang ini. Bagi anda yang minat untuk mendapatkan tiket dan info tentang teater2 yang ada sepanjang Siri Semarak Bangsawan ini boleh layari laman web JKKN dan Facebook mereka. Selamat menonton semua ok.

JABATAN KEBUDAYAN DAN KESENIAN NEGARA
Tel : 03-2614 8200 / 8262 / 8378 / 8210 / 8293 / 8206 / 8317