Dunia Penuh Gosip - Drama Dunia Penuh Gosip: Drama - All Post
Memaparkan catatan dengan label Drama. Papar semua catatan
Slot Qalbu TV AlHijrah konsisten dalam menyebarkan agenda dakwah kepada masyarakat menerusi rancangan-rancangan terbaik pilihannya.



Terbaru, TV AlHijrah menyiarkan drama berjudul Janji Pada Hati. Drama arahan Sham Jr. yang diterbitkan oleh MDAG Marketing Production Sdn. Bhd. ini disiarkan pada setiap Isnin dan Selasa, jam 6 petang.

Janji Pada Hati berkisah tentang seorang wanita bernama Dahlia yang amat tabah dalam memelihara rukun kebahagiaan di dalam rumahtangganya.

Dahlia adalah seorang suri rumah sepenuh masa yang amat menyayangi anak tunggalnya Aina. Walau luaran kelihatan bahagia, namun Dahlia sering kali merasakan dirinya terkurung. Tidak seperti suaminya Ezani yang bekerjaya serta senantiasa sibuk dengan kariernya.



Rasa kelompongan yang ada di dalam hati Dahlia tambah buruk apabila dia mengetahui Maira, kekasih lama Ezani akan memulakan kerjasama dengan suaminya di tempat kerja. Maira akan menjadi peguam kepada syarikat Ezani.

Disebabkan itu, Dahlia berpakat dengan Laila, rakan sepejabat Ezani untuk mengintipnya di tempat kerja. Bukan itu sahaja, Laila turut memberi amaran kepada Maira agar menjauhi Ezani kerana dia sudah berkeluarga. Laila turut menasihatkan Ezani agar tidak rapat dengan Maira demi Dahlia.

Sedikit sebanyak nasihat Laila meninggalkan kesan di dalam hati Ezani. Untuk menjernihkan keadaan, Ezani membuat kejutan dengan menghadiahkan jambangan buat Dahlia. Ezani berjanji untuk meluangkan lebih banyak masa dengan Aina, anak mereka.



Walau gembira, Dahlia masih rasa ragu-ragu. Perasaan curiganya bertambah teruk apabila mereka terserempak dengan Maira di pasaraya. Dahlia nampak reaksi Ezani yang terkedu melihat Maira. Bahasa tubuh mereka berdua meyakinkannya bahawa Ezani curang.

Konflik semakin tegang apabila Dahlia terjumpa penyata bank tempahan hotel dan pembelian barangan berjenama daripada kad kredit Ezani. Dahlia meminta kepastian dengan Laila berkenaan hal tersebut dan Laila mendakwa Ezani membelikan barangan tersebut untuk Maira.

Dahlia tekad untuk bersemuka dengan Maira di pejabatnya. Saat melihat kelibat Ezani dan Maira yang kelihatan mesra, hatinya hancur. Dia melulu pulang ke rumah. Malang tidak berbau, kereta yang dipandu Dahlia kemalangan.



Dahlia koma. Ezani mengambil keputusan berhenti kerja untuk menjaga isterinya yang terlantar di hospital. Dia juga perlu menjaga Aina.

Takdir Allah Dahlia tersedar dari koma yang Panjang. Namun begitu, segalanya kelihatan amat mengelirukan.

Saat terjaga, Dahlia terkejut apabila terbau nasi goreng kegemarannya yang sering dimasak oleh arwah ibunya. Apabila ke dapur, dia melihat sosok tubuh ibunya Hajah Siti yang telah meninggal dunia. 



Kehidupan Dahlia seperti berputar kembali ke zaman silam. Malahan jeritan ibunya agar dia lekas pergi ke kelas pengajian benar-benar membuatnya keliru. Dahlia terkejut kerana dia masih pelajar di universiti. Dia juga bukan isteri Ezani. Malah, Aina juga tidak pernah wujud sama sekali.

Apakah yang sebenarnya sedang terjadi? Adakah ini semua adalah khayalan Dahlia? Benarkah Dahlia pernah menjadi isteri Ezani? Kesemua persoalan ini akan terjawab sepanjang 13 episod siaran drama penuh warna warni ini.



Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Janji Pada Hati yang membariskan pelakon hebat tanah air seperti Ezzaty Abdullah, Azwan Kombos, Raysa Sofea, Hazwani Helmi dan ramai lagi.








TV AlHijrah membuka tirai 2022 dengan menyiarkan sebuah drama siri 13 episod di Slot Qalbu. Drama terbitan Global Holding Sdn Bhd ini disiarkan pada setiap hari Isnin dan Selasa jam 6 petang.
'Sepi Itu Pasti' membariskan pelakon-pelakon baru seperti Dini Shazman sebagai Zack yang menjadi teraju utama drama ini. Turut bersama adalah Husna Mustaffa sebagai Nadia dan Syafiq Sahli yang memegang watak antagonis bernama Fendi.



Drama ini mengisahkan tentang seorang pemuda bernama Zack yang berperang dengan suara hatinya tatkala dia berusaha merubah diri menjadi manusia yang lebih baik. Dia kerap merasakan masyarakat sekeliling membenci dan tidak boleh menerima perubahan dirinya.

Berbeza pula dengan Fendi, seorang pemuda yang amat disenangi oleh masyarakat setempat. Di mata semua, Fendi memiliki akhlak yang cukup baik dan sempurna imannya.



Namun semuanya berubah apabila Fendi cuba dijodohkan dengan seorang gadis bernama Nadia. Percubaan menyatukan Fendi dan Nadia datang dari ayah Nadia sendiri iaitu Pak Baharom. Sikap terlalu mengongkong anak-anak membuatkan Pak Baharom tidak segan silu mendesak Fendi menikahi anaknya dalam tempoh masa enam bulan.

Tanpa siapa sedari, Zack turut menaruh perasaan kepada Nadia. Namun, dia akur bahawa Fendi lebih baik dan layak buat Nadia berbanding dirinya. Cuba mengubati hati sendiri, Zack memutuskan untuk memulakan misi bantuan buat masyarakat setempat yang perlu dibantu.



Zack menyertai misi bantuan yang dinamakan Dapur Kita. Dia keluar masuk kampung menghantar barang pesanan orang kampung. Nama Zack mula meniti dari bibir ke bibir kerana keihklasan dan kesungguhan dia melaksanakan tanggung jawab yang diberikan.

Bagi Zack pula, apa yang dia lakukan adalah usaha untuk membersihkan salah tanggap orang kampung terhadap dirinya. Dia turut berharap agar kebaikan yang dilakukan dapat membersihkan dirinya dari dosa silam.



Takdir merubah segalanya. Nadia ditimpa kemalangan. Dia menjadi mangsa ragut. Peristiwa ini menerbitkan rasa simpati lantas membuatkan Zack semakin ingin mendekati Nadia.

Nadia dan Zack semakin rapat dan ini mengundang cemburu kepada Fendi yang cuba menjauhkan mereka. Fendi merasakan Nadia telah berubah hati dan pertelingkahan terjadi di antara mereka berdua.



Fendi mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halamannya. Niatnya Cuma satu, dia harus memperisterikan Nadia. Lantas dia meminta ibu bapanya mengaturkan segera lamaran dan pertunangan.

Malang menimpa, ibu bapanya telah pun memiliki calon yang sesuai untuk Fendi. Mereka tidak mahu bermenantukan perempuan kampung seperti Nadia. Demi memastikan Nadia tidak dimiliki Zack, Fendi telah melakukan suatu perkara yang telah memeranjatkan semua pihak.



Adakah tindakan terburu-buru Fendi itu membuatkan Nadia setuju untuk menjadi isterinya? Bagaimana pula Zack memujuk hati agar tidak lagi berharap kepada kasih Nadia? Mampukan Zack meneruskan kerja-kerja kebaikannya selepas ini?

Jangan lupa untuk terus bersama drama Sepi Itu Indah bagi mengetahui kesudahan kisah kehidupan Zack. Apa yang pasti, drama terbaru ini sarat dengan pengisian yang mengetengahkan nilai-nilai murni dan budi bahasa secara tersurat mahupun tersirat. 



Selain daripada drama Sepi Itu Pasti, TV AlHjrah turut menyiarkan rancangan istimewa lain pada bulan ini seperti Bicara Fail Syariah (Setiap Isnin, bermula 10 Januari 2022, jam 9.30 malam) Cinta Ilmu (setiap hari Isnin hingga Rabu, 7:30 malam) dan Analisis (setiap hari Jumaat, 6 petang).







Selepas sambutan menggalakkan dan respon positif penonton terhadap drama Dia Isteriku yang mengisi Slot Qalbu baru-baru ini, TV AlHijrah terus menambat hati penonton setianya dengan menyiarkan sebuah drama baharu terbitan Side Fx Sdn Bhd berjudul Ustazah Robotik.



Drama arahan Muhammad Muhammad Syuhaimi Zulkefli berjudul Ustazah Robotik ini disiarkan pada setiap hari Isnin dan Selasa, jam 6 petang bermula 8 November yang lalu. Drama 13 episod yang membekalkan mesej-mesej Islamik buat semua lapisan usia ini menggabungkan barisan artis terkenal dengan aura karakter berbeza seperti Puteri Sarah Liyana, Maisara Sufia, Zaki Azeman, Zarina Zainuddin, Esma Daniel dan ramai lagi.

Drama ini berputar sekitar kehidupan Asma yang sangat obses terhadap permainan robot.  Minat mendalam Asma ini adalah hasil pendedahan daripada ayahnya yang merupakan seorang jurutera robotik.



Malang tidak berbau, ayah Asma terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawanya. Kehilangan, kerinduan dan kekecewaan ibu Alya iaitu Tini terhadap peristiwa malang itu membuatkannya kurang senang terhadap minat Asma kepada robot.

Lantaran itu Asma memberontak dalam diam. Bagi Asma, berdampingan dengan robot seolah-olah ia sebagai penghilang rindu dan penghubung hatinya dengan arwah ayah tercinta. Tewas dengan kehendak Asma, Tini akur dan cuba mendorong minat Asma terhadap robot sehinggalah anak sulungnya itu berjaya menjadi jurutera robotik.



Dalam liku-liku hidupnya untuk mencapai impian, Asma jatuh hati dengan majikannya sendiri iaitu Muaz. Pada masa yang sama, ibu Muaz, Datin Sufinah menyusun rancangan menjodohkan Muaz dengan Ilya, adik Asma. 

Pertemuan tidak sengaja antara Datin Sufinah dan Ilya berlaku dalam satu majlis ilmu. Datin Sufinah jatuh hati saat melihat keayuan, kelembutan, sikap sopan dan peribadi baik Ilya yang berilmu agama.



Datin Sufinah yakin Ilya mampu mengendurkan sikap keras kepala anaknya, Muaz. Namun, Ilya menolak pinangan Datin Sufinah. Puncanya, salah satu robot ciptaan Asma bernama Adam memberitahu Ilya bahawa Asma sudah lama jatuh hati pada Muaz.

Ilya tidak sanggup merampas kebahagian kakaknya yang banyak berkorban mental dan fizikal setelah ayah mereka meninggal dunia.



Berjayakah Ilya menyatukan Asma dengan Muaz? Mampukah Ilya meyakinkan Datin Sufinah bahawa Asma adalah calon menantu terbaik serta ustazah robotik yang paling cocok untuk menjadi isteri Muaz?
Ayuh sama-sama saksikan kesudahan kisah Ustazah Robotik di TV AlHijrah. Drama ini memberikan mesej yang cukup jelas kepada penonton bahawa kita semua selaku khalifah di muka bumi yang Esa harus sentiasa memperkukuhkan pegangan agam, menguatkan azam, memperteguh iltizam dan memantapkan ikhtiar untuk menjadi yang terbaik.

Saksikan Ustazah Robotik setiap Isnin dan Selasa jam 6 petang di slot QALBU, TV AlHijrah.








Slot Qalbu di TV AlHijrah sedang menyiarkan drama bersiri ketiga semenjak ia dilancarkan Jun 2021 lalu. Drama Dia Isteriku telah memulakan tayangannya pada 13 September lalu, setiap Isnin dan Selasa, jam 6 petang.



Drama 13 episod ini adalah kisah duri dalam daging di dalam keluarga Helmi dan Aisyah. Segalanya bermula apabila Elisha, anak kandung Aishah hasil perkahwinan terdahulu bersama Bahar datang tinggal bersama ibunya disebabkan Bahar dihantar bertugas ke Afrika Selatan.

Elisya mengalami sedikit kejutan budaya dan mengambil masa yang agak lama untuk menyesuaikan diri. Manakan tidak, sewaktu tinggal dengan bapanya, hidup dia agak bebas dan dia tidak mempedulikan hukum hakam agama.

Suasana amat berbeza di rumah ibunya. Helmi dan Aishah mementingkan suasana kehidupan Islam dan penuh kasih sayang. Ini membuatkan Elisya rasa terkongkong dan memberontak.



Namun begitu, Helmi dan Aishah tidak pernah berbagi kasih sayang. Sebagaimana mereka mengasihi anak kandung mereka Ikhwan, begitu mendalam juga perhatian dan layanan diberikan kepada Elisya. Namun begitu, didikan dan kasih sayang Helmi disalah tafsir oleh Elisha. Dalam diam dia jatuh cinta dengan bapa tirinya. Dia berusaha berubah mengikut corak hidup sebagai muslimah sejati untuk menarik perhatian Helmi. Bukan itu sahaja, Elisya juga mula bertudung, menjaga solat dan jarang keluar rumah.

Perubahan sikap Elisya itu mengejutkan ramai kawan-kawannya terutamanya kawan baiknya Intan. Mereka tidak menduga Elisya yang selama ini begitu benci hidup terkongkong bertukar menjadi muslimah sejati.

Elisya tanpa segan silu memberitahu Intan bahawa dia berubah disebabkan bapa tirinya. Dia kini terpikat dan jatuh cinta dengan perawakan dan perwatakan Helmi. Keadaan bermula tegang apabila cerita Elisya terpikat dengan bapa tirinya mula tersebar dan menjadi gosip hangat sehingga menjejaskan hubungan Aisyah dan Helmi.



Dugaan demi dugaan berlaku terhadap keluarga Helmi dan Aishah. Kemuncak, tatkala Helmi menjelaskan kepada Elisya bahawa dia menyayangi Elisya seikhlas hati sebagai seorang bapa, Elisya bertindak nekad menjadi duri dalam daging dengan menyebarkan fitnah bahawa Helmi cuba berbuat tidak baik terhadap dirinya.

Aisyah percaya dengan fitnah Elisya. Bahar pula kononnya atas tanggungjawab sebagai bapa membuat laporan polis sehingga menyebabkan Helmi ditahan polis. Helmi tabah dan tetap menafikan segala tuduhan itu. Elisya yang bangga dapat membalas dendam terhadap Helmi secara tidak sengaja memberitahu Intan bahawa sesiapa yang menolak kehendak dan keinginan dirinya pasti akan menerima padah.

Mampukah Helmi membersihkan nama baiknya sekaligus membebaskan dirinya dari tahanan pihak polis? Adakah Aishah sanggup menerima Helmi kembali? Bagaimana pula Bahar berhadapan dengan anak kesayangannya Elisya setelah perkara sebenar terbongkar?



Jangan lupa untuk sama-sama menyaksikan drama Dia Isteriku terbitan Sha’s Media Sdn.Bhd yang diarahkan oleh Mazri Mustafa dan bagi mengetahui kesudahan kisah kisah peritnya fitnah dan manisnya sabar dalam kehidupan berkeluarga. Drama Dia Isteriku dilakonkan barisan pelakon hebat tanahair seperti Rozita Che Wan, Hafidz Roshdi, Shalma Eliana, Dato Fizz Fairuz dan ramai lagi.






Badai wabak COVID-19 yang memberi impak yang besar kepada sosioekonomi masyarakat Malaysia. Namun, musibah pandemik ini juga mengajar kita untuk lebih menghargai masa dan keluarga tercinta.
Bagi memanfaatkan masa berkualiti bersama keluarga di rumah sewaktu tempoh PKP 3.0 ini, TV AlHijrah kali ini tampil dengan slot drama bersiri baru yang dinamakan sebagai Slot Qalbu.



Slot Qalbu akan menyiarkan barisan drama bersiri baru, menarik dan memberi nilai tambah kepada kehidupan seharian penonton. Drama-drama ini akan disiarkan pada setiap Isnin dan selasa jam 6 petang.

Sebagai permulaan, Drama Bujang Haji telah ditayangkan bermula 8 Jun 2021 yang lalu sebanyak 13 episod siaran. Menariknya, karya arahan Isqandar Jebat di bawah penerbitan Hujan Lebat Sdn Bhd adalah antara drama yang diterbitkan dan disiarkan dengan Kerjasama Dana Pembangunan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).



Inisiatif dana ini ditawarkan bagi membantu syarikat-syarikat produksi filem dan TV tempatan untuk menerbitkan karya bagi slot khas di platform televisyen dan melahirkan projek industri kreatif yang berkualiti tinggi serta menembusi pasaran antarabangsa. Di samping itu juga, dana ini berupaya menjana semula ekonomi industri kreatif yang terkesan akibat wabak Covid-19.

SINOPSIS 


Bujang Haji mengisahkan tentang tiga sahabat bujang iaitu Yus, Adi dan Ucup yang bekerja sebagai penjual ikan segar di pasar harian. Rutin harian mereka adalah rutin harian biasa yang dilalui oleh anak muda setempat yang lain.



Semuanya berubah apabila Haji Isa datang ke gerai mereka untuk membeli ikan. Haji Isa mahu mengadakan kenduri doa selamat, menjamu laksa kepada orang kampung sebagai tanda syukur dia terpilih untuk melaksanakan ibadah haji dalam masa terdekat.

Bermula detik itu, Yus, Adi dan Ucup seperti terpanggil dan mendapat semangat baru untuk turut ke kota suci Mekah melaksanakan rukun islam kelima itu. Mereka semakin sibuk mempersiapkan diri dengan ilmu dan bekalan kewangan yang cukup agar urusan haji mereka berjalan lancar.



Ketiga-tiga mereka bekerja keras untuk mencapai misi suci ini. Pelbagai peristiwa berlaku apabila masing-masing saling berlumba-lumba menunjukkan kesungguhan dan juga semangat mereka untuk menunaikan haji. Antara yang memeningkan adalah konflik percintaan.

Yus, Adi dan Ucop tersepit di antara niat suci mereka ke Mekah dan kehendak kekasih masing-masing.
Kekasih Yus, Adi dan Ucop sibuk mengajak mereka untuk mencari kelengkapan persiapan Aidiladha sedangkan mereka sudah kesuntukan masa untuk melaksanakan persiapan akhir ke Mekah.



Namun, tiga sahabat ini mengatur strategi agar niat mereka untuk menunaikan ibadah haji tertunai dan kisah percintaan mereka juga kekal tanpa sebarang masalah.  Yus, Adi dan Ucup mengambil langkah drastik untuk melangsungkan perkahwinan sebelum mereka berangkat untuk mengerjakan haji.

Akhirnya tiga sahabat ini dapat menunaikan haji dengan status baru iaitu sebagai suami mithali. Drama Bujang Haji ini dibintangi oleh pelakon berbakat seperti Chiwan Chilok, Din Latah, Jalil Hamid, Aliff Yasraf, Kartina Aziz, Fathil Dani, Rosnah Mat Aris, Hamdan Senario, Norlia Ghani, Sharifah Nur Anthasha, Mazlan Abdullah, Ramah Harun serta penampilan istimewa oleh Nasha Aziz. Jangan lupa untuk saksikan drama Bujang Haji pada setiap Isnin dan Selasa, jam 6 petang di TV AlHijrah.



Barisan Pelakon Drama BUJANG HAJI


Chiwan Chilok Sebagai        Adi
Din Latah                Sebagai     Ucop
Aliff Yasraf Sebagai        Yus
Mimi Ernida Sebagai     Reen
Hani Nazrina Sebagai     Nonie
Azzahra Ahmad Sebagai     Nazira
Jalil Hamid Sebagai     Pak Jalil
Kartina Aziz Sebagai     Mak Wan
Fathil Dani Sebagai     Bang Razak
Rosnah Mat Aris Sebagai     Kak Ros
Hamdan Senario Sebagai     Che Kaz
Norlia Ghani Sebagai     Che Nor
Nasha Aziz Sebagai       Puspawangi







Buat julung kalinya TV AlHijrah memecah tradisi penyiaran dunia Islam apabila stesen berkonsepkan gaya hidup Islam ini berjaya menerbitkan sendiri sebuah drama yang memberi penekanan kepada susun atur plot, tatacara serta adab pembikinan drama yang bersesuaian dengan imej TV Islam.


Drama berjudul BOSS… MAMA KIRIM SALAM telah memulakan siarannya 6 Februari 2020 yang lalu. Drama istimewa ini akan meneruskan tayangan pada setiap Khamis dan Jumaat, jam 6.30 petang selama 36 episod siaran. Marahon episod lepas drama ini boleh disaksikan pada setiap Ahad jam 5 petang.

Drama BOSS... MAMA KIRIM SALAM adalah hasil arahan sutradara berpengalaman yang juga merupakan kakitangan TV AlHijrah iaitu Wan Hussin Wan Ismail (FDAM) serta mendapat suntikan Raja Azidah Raja Jaafar selaku penulis skrip.

Berlatarbelakangkan penceritaan serta karektar di balik tabir stesen TV Islam, TV AlHijrah bereksperimentasi dengan drama terbitan dalaman yang mendidik, memberi tauladan serta patuh syariah tanpa mengetepikan faktor budaya popular drama masa kini.


Drama ini mengandingkan pelakon-pelakon hebat tanah air iaitu Qazem Nor dan Siti Fazurina Mohd Famir sambil dibantu oleh pelakon baru yang sedang menempa nama di dalam industri iaitu Carolina Binur dan Zee Khan Hussein. Tambah istimewa, hampir 90 peratus kakitangan TV AlHijrah turut diberi peluang untuk sama-sama menjayakan naskah ini selaku pelakon pembantu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Encik Namanzee Harris “drama BOSS…MAMA KIRIM SALAM ini sangat unik kerana selain merupakan drama pertama di Malaysia yang berkisar tentang dunia penyiaran Islam, drama ini juga menggunakan seratus peratus tenaga kepakaran warga kerja TV AlHijrah iaitu bermula dari pengarah sehinggalah kepada pengurus produksi, jurukamera, tenaga pasca penerbitan jurusolek, penata cahaya, penata bunyi dan lain-lain,” kata beliau.

SINOPSIS Drama 


BOSS.. MAMA KIRIM SALAM mengisahkan tentang Azra, seorang gadis lepasan ijazah Sarjana Muda Komunikasi yang menyumbang bakti dalam bidang penyiaran di TV AlHijrah. Banyak halangan dan rintangan yang dihadapi oleh Azra di dalam dunia pekerjaan namun begitu, sedikit pun tidak mematahkan semangat beliau untuk mencapai cita – cita yang diimpikan iaitu bergelar penerbit rancangan yang terkenal.


Encik Baihaqi yang bertindak selaku penyelia Azra merupakan antara insan penting yang sering membantu Azra mencapai cita-citanya. Dalam diam, perwatakkan Encik Baihaqi telah menarik perhatian Azra. Walaupun bergelar duda anak satu namun, paras rupa yang dikurniakan tidak menampakkan usia sebenar.

Pada masa yang sama, ibu Azra iaitu Puan Kayla, seorang ibu tunggal merupakan seorang klien tetap di TV AlHijrah yang sering menggunakan platform promosi stesen itu bagi memasarkan dan mempromosikan produk kecantikannya.

Kerana acapkali bertemu dengan Encik Baihaqi di TV AlHijrah, bibit- bibit kasih sayang timbul namun Puan Kayla tidak mempunyai kekuatan untuk menyatakan rasa cintanya kepada Encik Baihaqi kerana bagi dirinya, apa yang penting adalah melihat kebahagiaan Azra.


Konflik timbul apabila Laila, rakan sekerja Azra juga memendam perasaan terhadap Encik Baihaqi namun cintanya tidak berbalas. Sakit hati dengan penolakan Encik Baihaqi, Laila bertindak nekad dengan menyebarkan cerita yang tidak sahih kepada kakitangan syarikat.

Siapakah wanita yang akhirnya menjadi suri hati Encik Baihaqi? Mampukah Puan Kayla berkorban hati dan perasaannya demi kebahagian anak kesayangannya Azra? Jadi jangan lupa sakskikan kesudahan drama BOSS..MAMA KIRIM SALAM, setiap Khamis dan Jumaat, jam 6.30 petang hanya di TV AlHijrah.










MIG Metrowealth merupakan sebuah syarikat penerbitan filem yang memulakan penglibatan secara langsung dalam menerbitkan filem dan drama tempatan sejak tahun 2000 sehingga kini. Berpegang pada slogan 'Bukan Janji Tapi Pasti', Metrowealth menjadi sebuah syarikat penerbitan yang prolifik yang mana telah menerbitkan lebih daripada 150 judul filem.


Diterajui oleh Mejar (K) David Teo, Metrowealth tidak hanya tertumpu pada penerbitan filem dan drama, malah turut menjalankan rangkaian perniagaan yang lain seperti pengurusan artis, pengurusan saluran rancangan televisyen, 'One Stop Centre' untuk penerbitan filem, pemasaran media sosial, pengiklanan, penerbitan rancangan reality dan banyak lagi. Metrowealth telahpun melebarkan sayap perniagaannya melalui beberapa buah negara Asia Tenggara seperti Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, India, Vietnam dan Brunei.


MIG buat julung kalinya berkerjasama dengan produksi penerbitan yang bertapak di Beijing China iaitu Shen Lan Time International Film untuk penerbitan sebuah program yang dikenali sebagai 'Cuisine On The Silk Road' atau dalam bahasa Melayunya 'Hidangan Laluan Sutera'. Program ini merupakan sebuah rancangan khas makanan halal yang dialih bahasa sepenuhnya kedalam Bahasa Melayu. Proses rakaman dilakukan oleh pihak MIG sepenuhnya dengan menggunakan kelengkapan proses penerbitan filem seperti studio, bilik mixing, penyunting, colour grading dan artis.


Bertapatan dengan konsep One Stop Centre yang diamalkan oleh MIG dalam penerbitan filem, begitu juga dengan proses penerbitan rancangan khas ini. Seramai 7 orang krew produksi dari pihak Shen Lan Time diterbangkan dari Beijing untuk sama-sama menjayakan proses rakaman alih bahasa ini. Sepanjang proses rakaman berlangsung, aspek komunikasi yang tidak sama sedikit menjejaskan proses rakaman namun ianya tidak menjadi satu masalah kerana pihak MIG menyediakan jurubahasa di studio.


Majlis pelancaran Rancangan Cuisine On The Silk Road, dirasmikan oleh Yang Berhormat Hajjah Fuziah Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama). Majlis turut dihadiri barisan kehormat seperti H.E. Bai Tian, Kedutaan Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Datuk Khairul Anwar Salleh, Naib Presiden dan Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro, tetamu dari kedutaan China di Malaysia, jemputan-jemputan khas, rakan mediacetak dan elektronik serta artis-artis tempatan.


Cuisine On The Silk Road akan ditayangkan bermula 24 Oktober 2018 setiap hari Rabu jam 11.00 malam melalui saluran 125 Astro Naura. Program yang ditayangkan sebanyak 5 episod ini memaparkan kebudayaan, tradisi serta ramuan makanan Halal yang ada di China. Setiap espisod penonton akan disajikan dengan kepelbagaian serta keunikan makanan Halal yang dihasilkan dengan cara pembuatan yang tersendiri. Malah cara hidup masyarakat setempat serta lambakan makanan jalanan yang Halal turut dipaparkan melalui program ini.

MIG Metrowealth ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat Dato Haji Muhammad Chan dari Mohd Chan Food Sdn Bhd atas tajaan makanan pada majlis pelancaran tersebut. Juga ucapan terima kasih buat Jazznyta Rahim Makeup Artis yang turut sudi menaja solekan. Buat media cetak, elektronik serta blogger terima kasih kerana sentiasa menyokong dan pada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini.





Drama Festival Kuala Lumpur 2018 kembali untuk edisi kelima dengan menampilkan tema #MasaUntukDrama. Selain menjadi platform untuk anak-anak muda mengasah bakat mereka melalui bengkel dan juga ujibakat yang diadakan. DFKL juga meraikan penggiat seni yang memartabatkan industri lakonan tanahair pada malam Anugerah DFKL 2018
.

Malam tersebut telah berlangsung malam tadi secara langsung di Putrajaya International Convention Center (PICC) yang mempertandingkan 11 kategori yang dipilih oleh penonton dan peminat. Malam tersebut telah diacarakan oleh Ajak Shiro dan juga Nabila Huda serta penampilan Mark Adam dan Khir Rahman melalui selingan lakonan bersama barisan penyampai dan juga artis jemputan.

Tahniah kepada drama Dekatkan Jarak Kita terbitan JS Picture apabila dinobatkan sebagai Drama Pilihan pada malam tersebut. Juga kepada pelakon Zul Arifin dan Janna Nick apabila dipilih sebagai Aktor Pilihan dan Aktress Pilihan pada malam tersebut. Senarai penuh pemenang seperti di bawah.

Senarai pemenang DFKL 2018:-

Drama Pilihan: Dekatkan Jarak Kita (JS Pictures Sdn Bhd)
Pengarah Pilihan: Heykal Hanifah (Titian Cinta)
Aktor Pilihan: Zul Ariffin (Titian Cinta)
Aktres Pilihan: Janna Nick (Biar Aku Jadi Penunggu)
Pasangan Pilihan: Syafiq Kyle dan Ayda Jebat (Dekatkan Jarak Kita)
Antagonis Pilihan: Syukri Yahya (Andainya Takdir)
Skrip Pilihan: Farhana Fauri (Titian Cinta)
Lagu Tema Pilihan: Sumpah Cintaku (Titian Cinta-Asfan)
Drama Pendek Pilihan: Manikam Dalam Lipatan
Drama Radio Pilihan : Bukan Cinta Biasa (Kool FM)
Drama Pilihan Tonton VIP: Zahir Tak Terucap (Zamriez Golden Pictures Sdn Bhd)
Selfie Paling Drama: Ain Edruce






Itu lah kalau dah nama artiskan macam-macam mereka boleh buat untuk terusk kekal dihati dan minda peminat walaupun terpaksa belakon dan membuat drama. Sehinggakan status dan kahwin atau tunang pun nak didramakan bosanlah. Cukup lah ia drama kat TV sahaja tak perlu nak ke alam realiti. Apa salah terus terang jer.


Tapi Alhamdulillah akhirnya mereka pun telah buat pengakuan tentang status Fattah Amin dan juga Fazura. Baru-baru ni mereka telah selamat menunaikan Umrah bersama-sama dengan keluarga dan ia menguatkan lagi spekulasi tentang hubungan mereka.

Bila pulang sahaja terus mereka buat majlis sidang media untuk menjelaskan kepada media dan peminat tentang status mereka. Ohhhh rupanya baru bertunang sebelum ni media surat khabar dan online kecoh kompang yang mereka kahwin ni hanya untuk dapat trafik sahaja. Tapi hakikat semua itu hanya dusta sahaja.

Fattah Amin dan Fazura telah melangsung majlis pertunangan mereka pada 13 November sebelum mereka berangkat menunaikan Umrah. Majlis yang berlangsung sederhana di rumah keluarga Fazura bertemakan warna purple u oll sweet sangat.

Memang mereka sama padan dan sama cute sangat moga perhubungan mereka ni kekal sampai ke jingjang pelamin dan seterusnya sampai anak cucu. Tahniah buat kedua-dua mereka ni memang korang hebat dari drama sampai ke realiti. Peminat sokong harus diteruskan hubunga mulia ini.









Egoismu - Liza Hanim

Apakah nilainya cinta di hatimu
Kau guris, kau luka, kau racuni
Katakan, jelaskan, putuskan
Masihkah cintai aku
Lunturkan egoismu itu
Sekian lama penantian
Hanyalah sesalan yang ku terima
Ku relakan kau pergi
Ku pendamkan rasa
Walau pedih lara

Ku tinggalkan
Serpihan asmaramu
Tak akan ku kenal derita sengsara
Sekian lama penantian
Hanyalah sesalan yang ku terima
Ku relakan kau pergi
Ku pendamkan rasa
Walau pedih lara



OST drama popular TV3
"Maaf Jika Aku Tak Sempurna"
Lakonan Fahrin Ahmad & Sara Ali