Penyanyi, Haqiem Rusli, 24, sah bergelar suami kepada pasangannya, Wan Anis Sofea Wan Zamzuri, 19, dengan dua kali lafaz dalam majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya, tepat jam 3.40 petang tadi.
Pasangan itu dinikahkan oleh jurunikah yang juga Ketua Pegawai Agama Daerah Sepang, Ustaz Zamzuri Ruslan dengan mas kahwin RM300 serta wang hantaran bernilai RM100,000 disaksikan oleh keluarga dan kenalan rapat kedua-dua mempelai.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Haqiem menggambarkan Sofea sebagai wanita yang sempurna buatnya dan memiliki budi pekerti yang lemah lembut. Sementara itu, Sofea pula menggambarkan Haqiem sebagai seorang lelaki yang bertanggungjawab dan itu yang menawan hati beliau.
Majlis pernikahan dan resepsi Haqiem dan Sofea juga diserikan dengan barangan kemas dari Habib Jewels termasuklah aksesori berlian bernilai RM5 juta. Nilai keseluruhan majlis perkahwinan kedua-dua mempelai dianggarkan mencecah angka lebih RM7 juta.
Haqiem dan Sofea mula menjalin hubungan cinta sejak dua tahun lalu selepas berkenalan dan mula rapat ketika bersama-sama menguruskan perniagaan restoran milik mereka.
Follow Us