Dunia Penuh Gosip - IKS Dunia Penuh Gosip: IKS - All Post
Memaparkan catatan dengan label IKS. Papar semua catatan
Sebuah kempen pengiklanan tahunan yang menjadi inisiatif signifikan TV AlHijrah dalam membantu para usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) kini kembali.



Kali ini, TV AlHijrah bakal melancarkan program Bincang Niaga Privilege iaitu program yang memberi peluang kepada usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka dengan pakej pengiklanan mampu milik.

Program ini merupakan usaha TV AlHijrah dalam membantu kerajaan untuk meningkatkan dan merancakkan lagi aktiviti pembangunan usahawan tanah air. TV AlHijrah telah memilih Industri Kecil dan Sederhana atau IKS sebagai kelompok sasaran untuk membantu meningkatkan jualan melalui kempen pemasaran strategik dan pengiklanan.



Usaha ini juga merupakan kesinambungan siri kempen yang diperkenalkan sejak tahun 2016 dan diteruskan lagi dengan pakej-pakej pengiklanan yang istimewa pada harga berpatutan. Cakna dengan prestasi perniagaan tempatan, TV AlHijrah menawarkan sembilan pilihan pakej pengiklanan eksklusif untuk para usahawan. 

Bincang Niaga Privilege ini mencari usahawan yang mengusahakan perusahaan produk serta perkhidmatan seperti pakej umrah, makanan, dan lain-lain untuk dibantu dalam meningkatkan jenama mereka. Program ini bakal dilancarkan pada 29 Julai 2023, Sabtu, bermula jam 3 hingga 5 petang menerusi sebuah sesi bual bicara. Sesi tersebut akan dihadiri oleh 50 usahawan IKS yang terpilih.



Sarat dengan aktiviti perkongsian dan perkhidmatan, Bincang Niaga Privilege membawakan sesi Biz Talk dan program siaran langsung bersama para usahawan tersebut. Sesi yang diadakan adalah untuk memberikan pendedahan dan tawaran mempromosikan produk atau perkhidmatan dengan kerjasama bersama agensi kerajaan seperti Rural Capital Berhad milik MARA Corporation Sdn. Bhd. Oleh itu, kempen ini juga mensasarkan pemantapan hubungan antara TV AlHijrah, usahawan IKS dan pemegang taruh yang lain.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, kempen Bincang Niaga pada tahun ini diteruskan dengan kepelbagaian pilihan pakej yang bermula dari serendah RM5,900. “Usahawan IKS yang berminat juga diberi pilihan dengan beberapa pakej pengiklanan eksklusif yang lain untuk membantu merancakkan dan memantapkan lagi promosi jualan mereka”, tambah beliau.



Pakej pengiklanan percuma turut bakal diberikan kepada usahawan terpilih yang menyertai siaran langsung Bincang Niaga sebagai penonton di studio. Ketika sesi tersebut, pelbagai informasi menarik juga bakal dikongsikan kepada para usahawan termasuklah kaedah memasarkan jualan sehingga ke luar negara. 

TV AlHijrah komited dalam membantu masyarakat tempatan yang menjadikan aktiviti perniagaan sebagai sumber pendapatan. Pada era pertumbuhan ekonomi yang baru merancak kembali selepas pandemik Covid 19 ini, TV AlHijrah masih komited dalam membantu usahawan tempatan untuk terus berkembang.
 

Bertemakan ‘Produk Anda Berhak Popular’, inilah masanya untuk para usahawan IKS yang bermotivasi tinggi dan berjiwa besar untuk munculkan diri di kaca televisyen mengembangkan lagi tahap pemasaran produk serta perkhidmatan mereka bersama TV AlHijrah.

Oleh itu, jika anda adalah usahawan yang kami cari dan berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pakej Bincang Niaga Privilege, sila layari www.tvalhijrah.com/bincangniaga/ atau media sosial rasmi TV AlHijrah di aplikasi Facebook, Instagram dan TikTok.








TV AlHijrah menyahut initiatif kerajaan bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mengekalkan operasi perniagaan serta memperkukuh semula pertumbuhan ekonomi yang terjejas kesan daripada pandemik COVID-19. Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, TV AlHijrah senantiasa mengambil bahagian dalam apa jua usaha murni kerajaan membantu ekonomi ummah.




Semua sedia maklum, baru-baru ini kerajaan telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) sebagai usaha mengurangkan kesan COVID-19 ke atas perniagaan termasuklah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)”.


Menurut beliau, berikutan pengumumam itu, TV AlHijrah turut terpanggil untuk membantu pembangunan semula ekonomi peniaga industri kecil dan sederhana yang mengalami kelembapan perniagaan mendepani masa sukar disebabkan Covid-19.




Maka kami lancarkan program turun padang Bincang Niaga Prihatin dalam usaha membantu usahawan IKS. Insyaallah kami akan turun padang ke lokasi kedua tahun ini iaitu Bincang Niaga Prihatin Selatan yang akan diadakan pada 28 September 2020, bertempat di Double Tree by Hilton Hotel Johor Bahru, bermula jam 9 pagi hingga 6 petang”.


Menurut Namanzee, misi utama Bincang Niaga Prihatin ini adalah untuk membantu usahawan IKS memasarkan produk mereka di platform pengiklanan televisyen dengan kos yang berpatutan dan rendah berbanding stesen penyiaran lain.


Saya melihat usaha ini sebagai tuntutan fardu kifayah untuk membantu ekonomi ummah secara proaktif dan bersepadu. Saya yakin ini adalah jihad TV AlHijrah dalam merancakkan semula perkembangan ekonomi dan aliran tunai dalam pasaran setelah negara terkesan dengan wabak Covid-19 ini,” katanya.




Tambahan pula, Bincang Niaga Prihatin lokasi pertama iaitu di Kelantan yang diadakan pada 29 & 30 Ogos 2020 lalu menunjukkan sambutan positif daripada usahawan IKS pantai timur. Ini adalah penanda aras bahawa kempen ini harus diteruskan pada masa hadapan”.


Namanzee berkata, sedari 2016 lagi TV AlHijrah telah melancarkan Program Bincang Niaga dengan tagline kempen Jenama Anda Berhak Popular. Menerusi kempen iklan murah ini, lebih daripada lima ribu usahawan IKS telah dibantu bukan sahaja menerusi siaran iklan, malahan stesen TV AlHijrah turut memberikan khidmat nasihat pembangunan jenama produk-produk mereka secara percuma.


Walaupun trend tontonan televisyen mencatat penurunan di seluruh dunia akibat persaingan dengan media-media digital, namun ia tidak memberi impak yang banyak kepada TV AlHijrah yang mempunyai sasaran penonton yang lebih ‘niche’.




Kami masih mengekalkan penonton-penonton setia kami yang berumur lebih 40 tahun yang mempunyai kuasa beli yang tinggi disamping menawan penonton-penonton baru menerusi kandungan-kandungan yang lebih segar dan relevan yang bersifat mendidik dalam apa jua genre yang dipaparkan di kaca televisyen. Ini adalah peluang besar yang perlu diambil oleh usahawan-usahawan IKS kita untuk membuat kempen promosi dengan harga berbaloi yang amat luar biasa rendah”.


Namanzee menyeru dan menggesa semua peniaga IKS yang berdekatan dengan kawasan Johor Bahru termasuk mereka yang berada di Negeri Sembilan dan Melaka untuk sama-sama meluangkan masa pada 28 September ini untuk hadir ke sesi Bincang Niaga Prihatin.