Dunia Penuh Gosip - Kechara Soup Kitchen (KSK) Dunia Penuh Gosip: Kechara Soup Kitchen (KSK) - All Post
Memaparkan catatan dengan label Kechara Soup Kitchen (KSK). Papar semua catatan
KFC Malaysia mengumumkan pengembangan penyertaannya dalam Projek Harvest, untuk mengubah lebihan makanan menjadi sumber penting bagi komuniti yang kurang mendapat perhatian, daripada 30 cawangan kepada 80 cawangan pada 2024.



Inisiatif global ini membabitkan dua rakan kongsi iaitu Kechara Soup Kitchen (KSK) dan The Lost Food Project (TLFP), bagi mencerminkan komitmen KFC Malaysia terhadap tanggungjawab sosial dan pengurusan alam sekitar.

Pada 2019, KFC Malaysia memulakan kerjasama dengan KSK untuk mengedarkan lebihan makanan dari 30 cawangan terpilih di Lembah Klang.

Sehingga 31 Disember 2023, ia telah merekodkan jumlah sumbangan sebanyak 6,547 kilogram makanan melalui sistem 'e-log Harvest' dan pada September 2024, program ini telah dilancarkan semula dengan 54 kedai dipilih untuk fasa pertama pengembangan yang merangkumi cawangan di luar Lembah Klang, seperti KFC Nilai Square, KFC Aeon Tebrau City dan KFC Mid Valley Southkey.

Kerjasama dengan KSK dan TLFP ini bagi memastikan sumbangan makanan dibuat secara tetap, selamat dan tepat pada masanya di mana dalam hanya satu bulan pengumpulan, KFC Malaysia telah mengalihkan hampir 600 kilogram lebihan makanan yang tidak terjual, memberi manfaat kepada lebih 18 rumah kebajikan, bersamaan dengan 1,700 hidangan snek KFC.

Untuk menyokong komitmen ini, KFC Malaysia telah menetapkan sasaran untuk meningkatkan penyertaan kepada 80 cawangan pada 2024, dengan matlamat setiap cawangan untuk menyumbang sekali setiap bulan.



Program ini juga selaras dengan komitmen berterusan KFC Add Hope untuk menyokong komuniti yang kurang berkemampuan dan mengurangkan pembaziran makanan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan QSR Brands, Nehchal Khanna, berkata syarikat komited untuk memenuhi sasaran ini dengan sokongan daripada pasukan di kedai KFC terpilih dengan menggandakan jumlah lebihan makanan yang dikumpul menjelang akhir tahun ini.

"Visi jangka panjang adalah untuk mengembangkan program ini ke semua kedai KFC serta meningkatkan jangkauan geografi rakan kongsi kami.

"Kami juga terbuka untuk bekerjasama dengan lebih ramai organisasi untuk memperluaskan jangkauan bagi memastikan lebih banyak lebihan makanan sampai kepada mereka yang memerlukannya," katanya dalam satu kenyataan.



KFC Add Hope, yang dilancarkan di Malaysia pada 2007, telah menyumbang lebih RM32 juta inisiatif untuk menghapuskan kelaparan termasuk tiga teras utama inisiatif iaitu program pemakanan, pendidikan dan sokongan komuniti.