TV AlHijrah menjadi stesen televisyen pertama memperkenalkan Teknologi MOJO (Mobile Journalist) dalam laporan berita yang akan disampaikan sempena Pilihan Raya ke-14 (PRU 14) di semua platform dalam kandungan Berita dan Ehwal Semasa. Teknologi tersebut, bakal menjadi fenomena dimana ia merupakan kaedah liputan pantas menggunakan teknologi telefon pintar serta gabungan aplikasi rangkaian masakini. Peralatan yang digunakan jauh lebih mudah untuk dibawa dan dikendalikan berbanding alatan konvensional.
Bahang kehangatan PRU 14 semakin dirasai, justeru para wartawan dan petugas media TV AlHijrah telah mempersiapkan diri dalam mendalami ilmu pengendalian teknologi MOJO serta penghantaran visual dalam memberi laporan berita lebih pantas dan mudah kepada penonton. Kemudahan teknologi sedia ada sangat membantu dalam penyampaian maklumat dari lokasi seluruh negara terus ke kaca telesvisyen.
Sementara menunggu proses pilihan raya setelah parlimen dibubarkan dan kempen-kempen yang akan dijalankan oleh jentera parti yang bertanding, kehangatan tersebut turut akan dirasai oleh para penonton setia TV AlHijrah menerusi pelbagai slot khas program menjelang PRU 14.
Bermula 15 Mac lalu, TV AlHijrah menerusi Jabatan Berita dan Ehwal Semasa, tidak melepaskan peluang dalam memperkemas kandungan ilmiah isu semasa berkaitan pilihan raya dalam memberi didikan kepada penonton mengikut ruang rasa dan peranan sebagai media penyiaran. Disamping itu, laporan dan berita yang disiarkan mempunyai elemen neutral dan menjurus kepada kesatuan Ummah sesuai dengan tema Rapatkan Saf yang diguna pakai TV AlHijrah.
Kupasan isu-isu semasa diterjemahkan secara santai serta menggabungkan elemen - elemen pensyariatan Islam sesuai dengan garis panduan stesen penyiaran bercorak Islam
ASSALAMUALAIKUM KHAS
Terbaru, TV AlHijrah menyiarkan program bual bicara Assalamualaikum Khas Menjelang PRU-14 , bermula jam 7.30 pagi sehingga 10.30 pagi bagi memberi maklumat terperinci serta informasi kepada lebih 14 juta bakal pengundi di Malaysia. Waktu siaran ditambah setengah jam daripada waktu asal bagi memberi ruang dan peluang dalam mengupas kekeliruan kepada bakal pengundi berkaitan proses pilihan raya. Antara tetamu yang diundang juga merupakan wakil daripada Suruhanjaya Pilihan Raya, tokoh pergerakan belia dan tokoh perundangan dalam membincangkan topik seperti Belia Penentu PRU-14, Memilih Pemimpin Tanggungjawab Anda dan Sahsiah Berpolitik.
BERITA ALHIJRAH
Disamping itu, melihat kepada kesedaran yang perlu diberi oleh pihak media kepada penonton yang sentiasa dahagakan informasi terkini dan telus, Berita AlHijrah juga bersiaran selama satu jam, bermula 8.00 malam sehingga 9.00 malam. Kelainan yang dibawa dalam Berita AlHijrah adalah dengan membawa tokoh akademik, serta penganalisis politik dalam mengupas isu semasa seperti isu persempadanan semula, pengundi hantu, dan kewajipan memilih pemimpin dalam segmen khas secara langsung di studio TV AlHijrah.
Tetamu jemputan dipilih daripada pelbagai latar belakang ini dapat memberikan hujah-hujah yang bernas berdasarkan fakta dan suasana demokrasi di Malaysia. Masyarakat akan lebih terdidik dalam menjadikan politik ini suatu perkara yang matang dan tidak bertentangan dengan perlembagaan.
Laporan menyeluruh juga akan diberikan setiap masa menerusi lintas langsung Berita Ringkas AlHijrah pada jam 12.00 tengahari, 2.00 petang, 4.00 petang dan 6.30 petang di lokasi terpilih pada setiap hari.
Saksikan Berita AlHijrah bersama Ardi Herman, Syafinaz Yunus, Adi Akmal dan Nadzirah Sharingat dalam memberi laporan terperinci dan penuh informasi kepada penonton TV AlHijrah.
KAPSUL BERITA ARAB
TV AlHijrah juga, terus memperkayakan kandungan rancangannya dengan menyajikan Kapsul Berita Arab kepada penonton yang disiarkan tiga kali sehari iaitu pada jam 6.25 pagi, 1.00 petang dan 9.00 malam. Kapsul Berita Arab akan mewawancara tokoh ilmuan dalam memberi sudut pandang pilihan raya dan demokrasi dari pandangan Islam seperti Sheikh Ibrahim Hud Hud, Dato Dr Izhar Ariff, Dr. Norkhamimi dan Datuk Daud Bakar. Topik yang akan dibincangkan adalah seperti Tanggungjawab Mengundi, Pemimpin dan Ulama dalam Membina Negara, Kriteria Pemimpin dan Cintakan Negara. Menariknya, panel-panel yang dipilih adalah diantara mereka yang fasih berbahasa arab dan disediakan sari kata bagi memudahkan pemahaman kepada penonton. Saksikan Kapsul Berita Arab bersama penyampai berita yang tidak asing lagi iaitu Syed Amir dan Hanan Said.
INFO TULAR
Menjelang pilihan raya yang bakal tiba, pelbagai berita tidak benar tersebar dan berita tersebut akan mengelirukan rakyat Malaysia serta reputasi badan yang bertanggungjawab akan terkesan. Sehubungan itu, bagi memberi maklumat yang benar dan tepat, TV AlHijrah dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyiarakan kapsul Info Tular bagi menangkis lambakan berita yang tidak benar di media sosial. Info Tular akan bersiaran pada jam 7.25 pagi, 4.00 petang, dan 7.55 malam setiap hari bersama personaliti Nadzirah Sharingat, bagi mengupas isu sebenar disebalik berita tidak benar yang tersebar meluas.
Follow Us