Dunia Penuh Gosip - Rehabcentric Dunia Penuh Gosip: Rehabcentric - All Post
Memaparkan catatan dengan label Rehabcentric. Papar semua catatan
Dalam usahanya untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan rakyat Malaysia, Ara Damansara Medical Centre (ADMC) telah menjenamakan semula pusat rehabilitasinya sebagai pusat sehenti ‘Rehabcentric’. Pusat tersebut menyediakan perkhidmatan serba lengkap dengan matlamat membantu pesakit mengembalikan kualiti kehidupan menerusi perkhidmatan penjagaan yang cekap dan tepat pada masanya.



Sempena mercu jaya ini, ADMC menganjurkan acara bertema kecergasan, iaitu ‘Rehabcentric FitFest’, yang melibatkan beberapa aktiviti kecergasan yang terbuka kepada masyarakat sekeliling. Sorotan utama acara tersebut ialah Cabaran Rehabcentric yang melibatkan tiga cabaran khusus bagi peserta yang menggunakan kerusi roda dan lima cabaran bagi peserta lain. Tiga pemenang dalam kategori Lelaki, Wanita dan Kerusi Roda Cabaran Rehabcentric masing-masing membawa pulang baucar tunai bernilai RM500.

Antara aktiviti lain yang dianjurkan termasuk kelas tarian dengan kerjasama kelab kesihatan dan kesejahteraan Babel Fit, yang menyaksikan Harman Halion, ketua pasukan bola tampar kerusi roda, mengendalikan kelas tarian bersama wakil Babel.  Para peserta juga telah mengambil bahagian dalam latihan berjeda keamatan tinggi (HIIT) untuk senaman yang penuh tenaga, manakala mereka yang suka bangun awal pagi berpeluang menyertai sesi yoga yang menenangkan pada waktu fajar menyingsing.



Miranda Harumal, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ADMC, berkata, “Rehabilitasi merupakan komponen penting dalam tempoh pemulihan selepas kecederaan, dan kami merupakan antara beberapa hospital persendirian di negara ini yang terawal menyediakan rangkaian perkhidmatan sehenti dan menyeluruh yang boleh disesuaikan mengikut  keperluan setiap pesakit dengan matlamat untuk mengembalikan kesihatan mereka kepada tahap optimum. Identiti baharu kemudahan kami ternyata satu perkembangan positif bagi ADMC kerana ia menunjuk secara jelas perkhidmatan yang kami sediakan di bawah satu bumbung.” 

Kami juga berbesar hati kerana berpeluang menjemput beberapa orang personaliti sukan Malaysia ke acara kami pada hari ini, dan kami amat menghargai sokongan mereka. Rehabilitasi memainkan peranan penting dalam pengurusan risiko kesihatan atlet yang sedang bersaing, serta mencapai keseimbangan etika dan operasi yang sesuai antara pengurusan kesihatan dan pengoptimuman prestasi.



Selain Halion, barisan pemain hoki veteran Malaysia turut hadir di acara tersebut. Pasukan ini mendapat tempat ke-6 di Piala Dunia Hoki Masters yang telah berlangsung di Cape Town, Afrika Selatan. Para pemain mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan cenderahati pertandingan kepada Miranda termasuk kemeja-T dan buku cenderahati sebagai tanda penghargaan kepada hospital ini yang telah menaja penyertaan mereka dalam Piala Dunia Hoki Masters. Para pemain veteran tersebut juga menyertai lawatan ke kemudahan Rehabcentric dan mereka juga telah menyertai acara Cabaran Rehabcentric.

Harman Halion berkata, "Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ADMC kerana menjemput saya untuk turut serta dalam acara yang bermakna ini. Ia merupakan satu inisiatif yang menarik dan cara yang bagus untuk menyediakan senaman fizikal bagi golongan yang berkerusi roda. Senaman adalah penting untuk semua orang, dan saya berharap program seperti ini boleh menjadi motivasi kepada orang lain seperti saya untuk sentiasa mendorong diri untuk mencapai potensi penuh dan menjalankan kehidupan yang lebih sihat.



Acara tersebut dimeriahkan lagi dengan kehadiran empat trak makanan dan satu gerai yang menawarkan pelbagai sajian tempatan dan asing di premis hospital. 

Dahulunya dikenali sebagai Perkhidmatan Rehabilitasi, jenama baharu Rehabcentric oleh ADMC menyediakan perkhidmatan rehabilitasi pesakit dalam dan pesakit luar untuk membantu mereka mengembalikan kekuatan, kemahiran dan keupayaan hidup berdikari supaya dapat pulang ke rumah dan meneruskan kehidupan normal.



Dengan menggunakan teknologi rehabilitasi moden, ADMC memberi tumpuan kepada meningkatkan piawaian penjagaan rehabilitasi di rantau ini.  Dengan gimnasium yang serba lengkap, pasukan pakar terapi menyokong pesakit dalam usaha mereka untuk kembali berfungsi seperti normal.