Dunia Penuh Gosip - Slot Qalbu Dunia Penuh Gosip: Slot Qalbu - All Post
Memaparkan catatan dengan label Slot Qalbu. Papar semua catatan
Slot Qalbu TV AlHijrah konsisten dalam menyebarkan agenda dakwah kepada masyarakat menerusi rancangan-rancangan terbaik pilihannya.



Terbaru, TV AlHijrah menyiarkan drama berjudul Janji Pada Hati. Drama arahan Sham Jr. yang diterbitkan oleh MDAG Marketing Production Sdn. Bhd. ini disiarkan pada setiap Isnin dan Selasa, jam 6 petang.

Janji Pada Hati berkisah tentang seorang wanita bernama Dahlia yang amat tabah dalam memelihara rukun kebahagiaan di dalam rumahtangganya.

Dahlia adalah seorang suri rumah sepenuh masa yang amat menyayangi anak tunggalnya Aina. Walau luaran kelihatan bahagia, namun Dahlia sering kali merasakan dirinya terkurung. Tidak seperti suaminya Ezani yang bekerjaya serta senantiasa sibuk dengan kariernya.



Rasa kelompongan yang ada di dalam hati Dahlia tambah buruk apabila dia mengetahui Maira, kekasih lama Ezani akan memulakan kerjasama dengan suaminya di tempat kerja. Maira akan menjadi peguam kepada syarikat Ezani.

Disebabkan itu, Dahlia berpakat dengan Laila, rakan sepejabat Ezani untuk mengintipnya di tempat kerja. Bukan itu sahaja, Laila turut memberi amaran kepada Maira agar menjauhi Ezani kerana dia sudah berkeluarga. Laila turut menasihatkan Ezani agar tidak rapat dengan Maira demi Dahlia.

Sedikit sebanyak nasihat Laila meninggalkan kesan di dalam hati Ezani. Untuk menjernihkan keadaan, Ezani membuat kejutan dengan menghadiahkan jambangan buat Dahlia. Ezani berjanji untuk meluangkan lebih banyak masa dengan Aina, anak mereka.



Walau gembira, Dahlia masih rasa ragu-ragu. Perasaan curiganya bertambah teruk apabila mereka terserempak dengan Maira di pasaraya. Dahlia nampak reaksi Ezani yang terkedu melihat Maira. Bahasa tubuh mereka berdua meyakinkannya bahawa Ezani curang.

Konflik semakin tegang apabila Dahlia terjumpa penyata bank tempahan hotel dan pembelian barangan berjenama daripada kad kredit Ezani. Dahlia meminta kepastian dengan Laila berkenaan hal tersebut dan Laila mendakwa Ezani membelikan barangan tersebut untuk Maira.

Dahlia tekad untuk bersemuka dengan Maira di pejabatnya. Saat melihat kelibat Ezani dan Maira yang kelihatan mesra, hatinya hancur. Dia melulu pulang ke rumah. Malang tidak berbau, kereta yang dipandu Dahlia kemalangan.



Dahlia koma. Ezani mengambil keputusan berhenti kerja untuk menjaga isterinya yang terlantar di hospital. Dia juga perlu menjaga Aina.

Takdir Allah Dahlia tersedar dari koma yang Panjang. Namun begitu, segalanya kelihatan amat mengelirukan.

Saat terjaga, Dahlia terkejut apabila terbau nasi goreng kegemarannya yang sering dimasak oleh arwah ibunya. Apabila ke dapur, dia melihat sosok tubuh ibunya Hajah Siti yang telah meninggal dunia. 



Kehidupan Dahlia seperti berputar kembali ke zaman silam. Malahan jeritan ibunya agar dia lekas pergi ke kelas pengajian benar-benar membuatnya keliru. Dahlia terkejut kerana dia masih pelajar di universiti. Dia juga bukan isteri Ezani. Malah, Aina juga tidak pernah wujud sama sekali.

Apakah yang sebenarnya sedang terjadi? Adakah ini semua adalah khayalan Dahlia? Benarkah Dahlia pernah menjadi isteri Ezani? Kesemua persoalan ini akan terjawab sepanjang 13 episod siaran drama penuh warna warni ini.



Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Janji Pada Hati yang membariskan pelakon hebat tanah air seperti Ezzaty Abdullah, Azwan Kombos, Raysa Sofea, Hazwani Helmi dan ramai lagi.








TV AlHijrah membuka tirai 2022 dengan menyiarkan sebuah drama siri 13 episod di Slot Qalbu. Drama terbitan Global Holding Sdn Bhd ini disiarkan pada setiap hari Isnin dan Selasa jam 6 petang.
'Sepi Itu Pasti' membariskan pelakon-pelakon baru seperti Dini Shazman sebagai Zack yang menjadi teraju utama drama ini. Turut bersama adalah Husna Mustaffa sebagai Nadia dan Syafiq Sahli yang memegang watak antagonis bernama Fendi.



Drama ini mengisahkan tentang seorang pemuda bernama Zack yang berperang dengan suara hatinya tatkala dia berusaha merubah diri menjadi manusia yang lebih baik. Dia kerap merasakan masyarakat sekeliling membenci dan tidak boleh menerima perubahan dirinya.

Berbeza pula dengan Fendi, seorang pemuda yang amat disenangi oleh masyarakat setempat. Di mata semua, Fendi memiliki akhlak yang cukup baik dan sempurna imannya.



Namun semuanya berubah apabila Fendi cuba dijodohkan dengan seorang gadis bernama Nadia. Percubaan menyatukan Fendi dan Nadia datang dari ayah Nadia sendiri iaitu Pak Baharom. Sikap terlalu mengongkong anak-anak membuatkan Pak Baharom tidak segan silu mendesak Fendi menikahi anaknya dalam tempoh masa enam bulan.

Tanpa siapa sedari, Zack turut menaruh perasaan kepada Nadia. Namun, dia akur bahawa Fendi lebih baik dan layak buat Nadia berbanding dirinya. Cuba mengubati hati sendiri, Zack memutuskan untuk memulakan misi bantuan buat masyarakat setempat yang perlu dibantu.



Zack menyertai misi bantuan yang dinamakan Dapur Kita. Dia keluar masuk kampung menghantar barang pesanan orang kampung. Nama Zack mula meniti dari bibir ke bibir kerana keihklasan dan kesungguhan dia melaksanakan tanggung jawab yang diberikan.

Bagi Zack pula, apa yang dia lakukan adalah usaha untuk membersihkan salah tanggap orang kampung terhadap dirinya. Dia turut berharap agar kebaikan yang dilakukan dapat membersihkan dirinya dari dosa silam.



Takdir merubah segalanya. Nadia ditimpa kemalangan. Dia menjadi mangsa ragut. Peristiwa ini menerbitkan rasa simpati lantas membuatkan Zack semakin ingin mendekati Nadia.

Nadia dan Zack semakin rapat dan ini mengundang cemburu kepada Fendi yang cuba menjauhkan mereka. Fendi merasakan Nadia telah berubah hati dan pertelingkahan terjadi di antara mereka berdua.



Fendi mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halamannya. Niatnya Cuma satu, dia harus memperisterikan Nadia. Lantas dia meminta ibu bapanya mengaturkan segera lamaran dan pertunangan.

Malang menimpa, ibu bapanya telah pun memiliki calon yang sesuai untuk Fendi. Mereka tidak mahu bermenantukan perempuan kampung seperti Nadia. Demi memastikan Nadia tidak dimiliki Zack, Fendi telah melakukan suatu perkara yang telah memeranjatkan semua pihak.



Adakah tindakan terburu-buru Fendi itu membuatkan Nadia setuju untuk menjadi isterinya? Bagaimana pula Zack memujuk hati agar tidak lagi berharap kepada kasih Nadia? Mampukan Zack meneruskan kerja-kerja kebaikannya selepas ini?

Jangan lupa untuk terus bersama drama Sepi Itu Indah bagi mengetahui kesudahan kisah kehidupan Zack. Apa yang pasti, drama terbaru ini sarat dengan pengisian yang mengetengahkan nilai-nilai murni dan budi bahasa secara tersurat mahupun tersirat. 



Selain daripada drama Sepi Itu Pasti, TV AlHjrah turut menyiarkan rancangan istimewa lain pada bulan ini seperti Bicara Fail Syariah (Setiap Isnin, bermula 10 Januari 2022, jam 9.30 malam) Cinta Ilmu (setiap hari Isnin hingga Rabu, 7:30 malam) dan Analisis (setiap hari Jumaat, 6 petang).







Badai wabak COVID-19 yang memberi impak yang besar kepada sosioekonomi masyarakat Malaysia. Namun, musibah pandemik ini juga mengajar kita untuk lebih menghargai masa dan keluarga tercinta.
Bagi memanfaatkan masa berkualiti bersama keluarga di rumah sewaktu tempoh PKP 3.0 ini, TV AlHijrah kali ini tampil dengan slot drama bersiri baru yang dinamakan sebagai Slot Qalbu.



Slot Qalbu akan menyiarkan barisan drama bersiri baru, menarik dan memberi nilai tambah kepada kehidupan seharian penonton. Drama-drama ini akan disiarkan pada setiap Isnin dan selasa jam 6 petang.

Sebagai permulaan, Drama Bujang Haji telah ditayangkan bermula 8 Jun 2021 yang lalu sebanyak 13 episod siaran. Menariknya, karya arahan Isqandar Jebat di bawah penerbitan Hujan Lebat Sdn Bhd adalah antara drama yang diterbitkan dan disiarkan dengan Kerjasama Dana Pembangunan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).



Inisiatif dana ini ditawarkan bagi membantu syarikat-syarikat produksi filem dan TV tempatan untuk menerbitkan karya bagi slot khas di platform televisyen dan melahirkan projek industri kreatif yang berkualiti tinggi serta menembusi pasaran antarabangsa. Di samping itu juga, dana ini berupaya menjana semula ekonomi industri kreatif yang terkesan akibat wabak Covid-19.

SINOPSIS 


Bujang Haji mengisahkan tentang tiga sahabat bujang iaitu Yus, Adi dan Ucup yang bekerja sebagai penjual ikan segar di pasar harian. Rutin harian mereka adalah rutin harian biasa yang dilalui oleh anak muda setempat yang lain.



Semuanya berubah apabila Haji Isa datang ke gerai mereka untuk membeli ikan. Haji Isa mahu mengadakan kenduri doa selamat, menjamu laksa kepada orang kampung sebagai tanda syukur dia terpilih untuk melaksanakan ibadah haji dalam masa terdekat.

Bermula detik itu, Yus, Adi dan Ucup seperti terpanggil dan mendapat semangat baru untuk turut ke kota suci Mekah melaksanakan rukun islam kelima itu. Mereka semakin sibuk mempersiapkan diri dengan ilmu dan bekalan kewangan yang cukup agar urusan haji mereka berjalan lancar.



Ketiga-tiga mereka bekerja keras untuk mencapai misi suci ini. Pelbagai peristiwa berlaku apabila masing-masing saling berlumba-lumba menunjukkan kesungguhan dan juga semangat mereka untuk menunaikan haji. Antara yang memeningkan adalah konflik percintaan.

Yus, Adi dan Ucop tersepit di antara niat suci mereka ke Mekah dan kehendak kekasih masing-masing.
Kekasih Yus, Adi dan Ucop sibuk mengajak mereka untuk mencari kelengkapan persiapan Aidiladha sedangkan mereka sudah kesuntukan masa untuk melaksanakan persiapan akhir ke Mekah.



Namun, tiga sahabat ini mengatur strategi agar niat mereka untuk menunaikan ibadah haji tertunai dan kisah percintaan mereka juga kekal tanpa sebarang masalah.  Yus, Adi dan Ucup mengambil langkah drastik untuk melangsungkan perkahwinan sebelum mereka berangkat untuk mengerjakan haji.

Akhirnya tiga sahabat ini dapat menunaikan haji dengan status baru iaitu sebagai suami mithali. Drama Bujang Haji ini dibintangi oleh pelakon berbakat seperti Chiwan Chilok, Din Latah, Jalil Hamid, Aliff Yasraf, Kartina Aziz, Fathil Dani, Rosnah Mat Aris, Hamdan Senario, Norlia Ghani, Sharifah Nur Anthasha, Mazlan Abdullah, Ramah Harun serta penampilan istimewa oleh Nasha Aziz. Jangan lupa untuk saksikan drama Bujang Haji pada setiap Isnin dan Selasa, jam 6 petang di TV AlHijrah.



Barisan Pelakon Drama BUJANG HAJI


Chiwan Chilok Sebagai        Adi
Din Latah                Sebagai     Ucop
Aliff Yasraf Sebagai        Yus
Mimi Ernida Sebagai     Reen
Hani Nazrina Sebagai     Nonie
Azzahra Ahmad Sebagai     Nazira
Jalil Hamid Sebagai     Pak Jalil
Kartina Aziz Sebagai     Mak Wan
Fathil Dani Sebagai     Bang Razak
Rosnah Mat Aris Sebagai     Kak Ros
Hamdan Senario Sebagai     Che Kaz
Norlia Ghani Sebagai     Che Nor
Nasha Aziz Sebagai       Puspawangi