Dunia Penuh Gosip - TV AlHijrah Dunia Penuh Gosip: TV AlHijrah - All Post
Memaparkan catatan dengan label TV AlHijrah. Papar semua catatan
Teka teki  tentang pemenang Anugerah Carta 114 (AC114) telah terjawab apabila lagu Selimut Kasih dendangan Inteam dengan bait lirik oleh Fedtri Yahya dinobat sebagai juara Anugerah Carta 114.



Kemenangan itu membolehkan Inteam membawa pulang hadiah utama wang tunai RM20,000 beserta trofi.

Selain itu, Inteam juga terpilih sebagai pemenang kategori Vokal Terbaik menerusi lagu yang sama sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000 berserta trofi.

Ketua Juri,  Farihin Abdul Fatah memuji kebolehan vokal Hisyam Ahmad dalam menyampaikan keseluruhan lagu dengan cemerlang walaupun menyanyi secara solo tanpa ditemani anggota lain kumpulan Inteam yang berada di Lubnan untuk misi kemanusiaan.



"Walau berseorangan, penonton dan peminat tahu lantunan suara Hisyam adalah suara kumpulan Inteam. Vokal beliau yang jelas dan tepat memenuhi kriteria untuk bergelar juara.

"Selain itu, lirik Selimut Kasih sangat bertepatan dengan isu semasa. isu Palestin, kisah kemanusiaan menjadi antara faktor penyumbang untuk lagu ini diiktiraf juara," jelasnya.

Sementara itu, Hisyam berkata dia sentiasa berhubung dengan anggota Inteam yang lain untuk mendapatkan komen dan pandangan sewaktu membuat latihan dan persiapan untuk Anugerah Carta 114.



"Kebiasaannya, saya yang jarang dapat bersama mereka membuat persembahan kerana terikat dengan jadual kerja, namun kali ini saya pula yang keseorangan.

"Walau sudah bergelar penyanyi nasyid hampir 26 tahun lamanya, saya masih berasa gementar membuat persembahan tanpa anggota Inteam yang lain. Namun saya cuba yang terbaik," jelasnya.

Selain itu, AC114 yang julung kalinya disiarkan secara langsung dari Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah turut menyaksikan kumpulan Ustaz Tiga Beradik yang dianggotai oleh 3 orang pendakwah adik-beradik iaitu Ustaz Zarifi, Ustaz Hariri dan Ustaz Ihsan berjaya memenangi kategori Persembahan Terbaik menerusi lagu Si Bujur Sireh. Mereka bertiga membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 beserta trofi.



Naskhah indah karya Fadzli Fareast, Amy Bong dan Hazalinda Harun ini berkisar tentang penerimaan seorang bapa terhadap anak istimewa anugerah Allah sebagai amanah yang perlu dijaga sebaiknya. 

Penampilan istimewa Anas Amini, anak istimewa Ustaz Zarifi sewaktu kumpulan ini membuat persembahan meruntun jiwa penonton di studio hinggakan ada yang mengalirkan air mata.

Penerbit Bersama AC114, Azhary Ahmad memberitahu penjurian kesemua finalis Carta 114 diadili berdasarkan beberapa kriteria seperti kesepaduan lirik, melodi, evergreen dan relevan.



"Inteam memperoleh markah sebanyak 78 peratus (%) sekali gus meletakkannya di tangga paling atas, mengenepikan Fitri Haris dengan beza markah hanya sebanyak 1.67 peratus (%).

"Musim kedua Carta 114 akan disiarkan pada 17 Februari akan datang. Saya pohon sokongan penonton untuk terus menonton musim baru. Kita sama-sama bantu mengangkat martabat seni suara dan lagu Islamik," jelasnya.

Penulis lirik terkenal, Ito Lara juga dipilih sebagai  penerima Anugerah khas Carta 114, lantas menerima RM5,000 berserta trofi.



AC114 yang disiarkan pada Sabtu, 13 Januari lalu dihoskan oleh Jalal Zaiki dan Amin Idris. Rancangan ini turut menyaksikan penghibur  baru dan lama di dalam industri hiburan membuat persembahan. Antaranya ialah Amir Ukays, Syafiq Farhain, Aris Ariwatan dan kumpulan Raihan. Lah Ahmad dan Amran Omar pula hadir sebagai juri.









Persidangan dan Pameran Haji, Umrah dan Pelancongan Islam Asia (AITEX) 2023 telah berlansung pada 13 sehingga 15 September 2023 bermula jam 10 pagi hingga 6 petang. Ekspo juga diadakan di Sunway Hotel Resort dan Sunway Pyramid Convention Centre.



Pelbagai acara telah disusun sepanjang tiga hari tersebut. Kemuncaknya adalah acara anugerah The World Islamic Tourism Award (WITA 2023) yang telah di adakan Sunway Resort Hotel, Selangor. Malam anugerah dilaksanakan bertujuan untuk mengangkat dan menghargai jasa pemain industri pelancongan untuk dibawa ke peringkat antarabangsa.

TV AlHijrah selaku stesen televisyen yang memperjuangkan gaya hidup Islam telah dinobatkan sebagai pemenang anugerah khas bagi kategori Best Islamic Tourism TV Station. 

Majlis penyampaian anugerah itu telah disempurnakan oleh Che Puan Temenggong Perlis, Datin Seri Diraja Farinawati Datuk Mohd Din dan disaksikan oleh Presiden Persatuan Agensi Pelancongan, Datuk Dr Mohd Khalid Harun. Anugerah disampaikan kepada kepada Pegawai Khas Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Salehhuddin Jurimi yang hadir mewakili Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.



Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris sewaktu ditebak tentang kejayaan anugerah ini berkata, pengiktirafan bertaraf global itu dibuat oleh panel juri yang sangat mahir dan berpengalaman luas bagi menentukan kriteria pemilihan pemenang.

Pihak penganjur sepandapat bahawa TV AlHijrah sentiasa cakna tentang keperluan menyokong industri pelancongan negara. Kita terbitkan dan siarkan banyak program-program yang menyokong industri pelancongan Islam. Tidak dinafikan, industri ini banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Kemanisan kejayaan ini saya tujukan khas kepada kakitangan TV AlHijrah yang sentiasa dedikasi dan komited dalam menjalankan tugas mereka sehingga berjaya mengharumkan nama baik TV AlHijrah ke persada antarabangsa.

Kejayaan ini menjadi pembakar semangat kepada TV AlHijrah dalam melaksanakan gerak kerja dakwah kontemporari dengan istiqamah.  Penghargaan turut saya zahirkan kepada barisan asatizah yang selama ini sentiasa bersama-sama TV AlHijrah.



Penganugerahan ini pastinya membantu TV AlHijrah melonjak pada tahap yang lebih tinggi dan mencapai lebih banyak kejayaan di masa hadapan selari dengan visi kami iaitu sesuai dan relavan untuk masyarakat tempatan dan antarabangsa,” kata Namanzee.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pengurus Kanan Kumpulan Integrasi Media dan Hal Ehwal Korporat TV AlHijrah, Saifulizan Sidek. Hadir sama meraikan kejayaan TV AlHijrah, Mohd Ashrudy Borhan, Pengurus Jabatan Penerbitan dan Zulkarnaen Mokhtar, Pengurus Penjenamaan dan Kajian Pengguna TV AlHijrah.








Peristiwa bersejarah yang tercatat pada 31 Ogos 1957 mengajar kita untuk menghargai jasa perajurit negara yang telah bertungkus lumus mempertahankan negara sehingga ke titisan darah mereka yang terakhir. Hari kemerdekaan Malaysia juga menjadi agenda besar rakyat Malaysia saban tahun kerana peranannya sebagai asas pembinaan jati diri Malaysia dan semangat kebangsaan.



Mengambil kira peri pentingnya sambutan bulan kemerdekaan ini, TV AlHijrah mengorak langkah dengan menyediakan pelbagai rancangan ilmiah terbaik bermula 14 Ogos 2023 sehingga 3 September 2023 bagi mentahqiqkan erti kemerdekaan yang sebenar melalui konsep yang diajar oleh Islam.

Sebanyak lapan rancangan terbaik ditayangkan khusus bagi meraikan bulan istimewa ini. Rancangan-rancangan tersebut adalah rancangan Assalamualaikum Istimewa Merdeka, Kapsul Inspirasi, Dakwah Live, Ulama Kemerdekaan, Quran@114, Hijrah Berselawat Merdeka, Waalaikumussalam, dan Filem Ketika Cinta Bertasbih. Kesemua barisan rancangan ini memberi penumpuan terhadap aspek spiritual yang membantu penonton menghayati serta mendalami ilmu agama Islam yang syumul dengan suntikan semangat patriotisme.



Sebagai permulaan, rancangan bual bicara pagi Assalamualaikum akan menemui penonton setiap hari, jam 7 pagi hingga 10 pagi. Saksikan perbincangan topik-topik malar segar yang dikupas bersama para asatizah yang komited dalam membangun dan memperkukuh institusi Islam.

Seterusnya, Kapsul Inspirasi akan menemui penonton pada setiap hari, jam 7.25 malam.  Program yang berkonsepkan tazkirah ringkas ini membicarakan tentang hala tuju Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dan sejahtera. 

Bagi penggemar rancangan bual bicara, Dakwah Live akan menemui penonton pada 30 Ogos, Rabu, jam 9 malam. Kali ini, Ustaz Faiz Fateh Bersama Dua’t Al-Falah akan mengupas topik-topik penyatuan umah seperti Prinsip dan Penghayatan Madani Dalam Kehidupan, Kepentingan Tabayyun Dan Elak Sentimen Politik Memecahbelahkan Perpaduan, Bahaya Takfiri, Hormati Pemerintah Dan Pilihan Rakyat dan Kepentingan Jadi Masyarakat Berilmu Bukan Ketaksuban.



Sejurus tamat Dakwah Live, Rancangan berjudul Ulama Kemerdekaan pula akan disiarkan pada jam 10 malam. Rancangan ini membawa penonton mengenang kembali kejerihan para ulama dalam menyebarluas pendidikan secara menyeluruh, antaranya dalam bidang agama, sains, matematik dan lain-lain supaya masyarakat tidak ketinggalan dan terus maju kehadapan.

Bulan kemerdekaan di TV AlHijrah tambah istimewa dengan episod khas Quran@114 yang disiarkan pada Khamis, 31 Ogos, jam 11 pagi. Quran@114 sebuah rancangan yang menjadi panduan sekaligus membantu memupuk rasa cinta terhadap al-Quran. Rancangan ini dikendalikan oleh mualim yang hebat di dalam bidang al-Quran iaitu ustaz Husaini Mahmur, Ustaz Fahmi Ashraff, Imam Muda Hasan dan ramai lagi ahli al-Quran lain.



Hijrah Berselawat Merdeka yang bertemakan Wahdatul Ummah akan menemui penonton pada 31 Ogos, jam 9 malam. Rancangan ini menghimpunkan selebriti tanah air seperti Mawi, Inteam, Unic, Lah Ahmad dan ramai lagi dalam berselawat serta berqasidah. Turut dimuatkan adalah tausiah yang akan disampaikan Ustaz Ahmad Shahdan Al-Hadrami dalam memahami istilah kemerdekaan dari kaca mata Islam.

Sebagai tambahan, rancangan baru dengan judul Waalaikumussalam akan menemui penonton bermula 1 September, Jumaat, jam 11.30 malam. Program ini bertujuan untuk mendidik masyrakat Islam Malaysia agar sentiasa mengakhiri malam mereka dengan sesuatu yang mahmudah dan mengelak melakukan perkara yang mazmumah.



Filem Ketika Cinta Bertasbih pula akan disiarkan pada pada 3 September, Ahad, jam 9 malam. Ketika Cinta Bertasbih mengisahkan tentang kerja keras Khairul Azzam yang menuntut ilmu sekaligus berjuang menyara hidup ibu dan adik-adiknya di kampung. Khairul Azzam akhirnya bertemu dengan jodohnya dan tetap selalu teguh pendirian kepada ajaran Islam.

Kesemua program istimewa ini juga boleh ditonton menerusi aplikasi digital TV AlHijrah iaitu AlHijrah Plus. Jadi, ayuh bersama memupuk semangat patriotisme di dalam diri kita semua dengan menonton TV AlHijrah sepanjang bulan kemerdekaan ini.






Dakwah dan kreativiti merupakan dua elemen penyiaran yang sangat sinonim di TV AlHijrah dalam usaha mengurus dan membangunkan masyarakat MADANI yang celik rohani.



Terbaru, sebuah rancangan kerohanian berjudul Pesan disiarkan di TV AlHijrah untuk memastikan dakwah di media massa kekal segar dan relevan. Rancangan ini juga adalah inisiatif bagi membantu masyarakat Malaysia khususnya, mengenali Islam dari sudut pandang yang lebih mudah.

Pesan disiarkan pada setiap Jumaat, jam 6.30 petang selama 13 episod siaran. Sepanjang 30 minit rancangan ini disiarkan, penonton akan ditemani Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz, seorang figura hebat dalam bidang dakwah, yang juga merupakan sosok ilmuwan hebat kelahiran Kelantan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, TV AlHijrah amat komited dalam memastikan cabang ilmu akidah, fiqah, ibadah dan akhlak disebarkan secara lebih meluas. 



Dalam meniti arus kemodenan, pendekatan dakwah perlulah seiring dengan persekitaran supaya penyampaian dakwah sentiasa dilaksanakan mengikut dan kehendak al-Quran dan al-Hadith.

“Oleh yang demikian, rancangan ini dilihat mampu menjadi inisiatif untuk membangunkan kesedaran ummah supaya terus mematuhi segala syariat yang diketengahkan oleh Islam. 

“Pada masa yang sama, Pesan memberi inspirasi kepada kita untuk menjadi insan yang lebih baik, yang sentiasa menyampaikan ilmu, dakwah & pesanan dalam menghadapi cabaran semasa dan menjalani kehidupan seharian,” jelas Namanzee.



Menurut Namanzee lagi, rancangan yang menggunapakai konsep dakwah bil hikmah ini akan mengupas  topik-topik menarik serta menyubur fikrah Islam seperti Hebatnya Dirimu dengan Kalimah Lailahaillallah, Rezeki Ketentuan Allah, Uruskannya dengan Usaha, Ikhtiar, Doa, Tawakal, Mulakan Dakwah dengan Tumpuan kepada Akidah, Mengingati Mati Meningkatkan Motivasi untuk Berbuat Baik, Indahnya Islam untuk Umat Manusia, Letakkan Dunia di Tangan dan Bukan di Hatimu, Tanamkan Sabar dalam Memperbaiki Diri, Islam Itu Mudah, Elakkan Dakwah Menjadikannya Sukar dan banyak lagi tajuk menarik lain.

Di akhir setiap episod rancangan, kita mahu penonton tidak menjauhi agama Islam malah bersama-sama menyebarkan kebaikan buat manusia dan menjauhkan kemudaratan baik dalam urusan agama mahupun keduniaan.

“Mudah-mudahan Pesan menjadi salah satu program dakwah pilihan nombor satu penonton Malaysia dan menjadi asbab untuk kita semua memperbaharui niat untuk menjadi seseorang yang mulia disisi Allah dan Rasul,” akhiri Namanzee.







TV AlHijrah, stesen televisyen yang dikenali sebagai pempromosi gaya hidup Islam dan kandungan kerohanian berimpak tinggi menginjak usia 13 tahun pada 1 Muharram 1445H, 19 Julai 2023 yang lalu dengan mengangkat tema Satukan Ummah Dengan Ilmu.



Sejak beroperasi pada 2010, TV AlHijrah sentiasa menjadi stesen pilihan utama buat rakyat Malaysia yang dahagakan kandungan penerbitan kreatif, berkualiti serta universal yang berlandaskan Islam, sesuai dan relavan untuk masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Sempena sambutan ulang tahun ke-13, TV AlHijrah beriltizam untuk terus kekal menjadi perintis kandungan Islamik kontemporari samada di platform TV mahupun di platform digital.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata TV AlHijrah telah memainkan peranan dalam menerbitkan pelbagai kandungan Islam yang bermanfaat serta menjadi rujukan penonton dan tahun ini usaha itu akan dipertingkatkan dengan penawaran program Islam pelbagai genre.



“TV AlHijrah akan memperkayakan penawaran kandungan Islam dalam pelbagai format dan genre serta mempelbagaikan kaedah penyampaian rancangan secara berkesan. Justeru, suku ketiga dan suku keempat 2023 akan menyaksikan dua Program Modul Realiti impak tinggi akan menemui penonton setia kami iaitu Rancangan Akademi Daie Muda YADIM dan rancangan Marhaban.

“Paling istimewa, sebagai buah tangan buat penonton untuk tahun ke-13, kami mengeluarkan buku Cinta Ilmu, Indahnya Hidup Beragama Dengan Ilmu yang diadaptasi daripada rancangan Cinta Ilmu, sebuah program bual bicara agama yang paling diminati di stesen kami. Semoga buku ini mampu menjadi rujukan yang relevan dan mampan bagi melahirkan umat Islam yang lebih berilmu dan berkualiti tinggi,” katanya.

Menurut Namanzee, beberapa rancangan baru akan dhidangkan buat penonton seperti rancangan Waalaikumsalam. Waalaikumsalam yang disiarkan pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad jam 11.30 malam adalah program yang membawa penonton bermuhasabah diri, merenung dan menilai tindak tanduk seharian agar sentiasa mencari ruang untuk memperbetulkan kesilapan.



Selain itu program bual bicara terkenal TV AlHijrah, Analisis juga akan berwajah baru bermula 31 Julai 2023 dengan kandungan yang lebih sarat dengan perbincangan dan kupasan isu-isu semasa, Analisis akan turut bertukar waktu siaran iaitu pada setiap Isnin, jam 10 malam.  

“TV AlHijrah turut mencatatkan pencapaian penonton iaitu peningkatan sebanyak 64% berbanding 2022. Malah menjadi pilihan pada musim Ramadan, 1444H dengan peningkatan tontonan sebanyak 140% berbanding tahun lalu.



“Siri kejayaan demi kejayaan ini adalah penanda aras bahawa kami berada di laluan penyiaran yang benar. Kami juga telah diiktiraf sebagai pelopor penyebaran Islam melalui tiga annugerah yang dirangkul tahun ini iaitu ‘Asia Excellence in Islamic & Multicultural Broadcasting’ di Jakarta, Indonesia, Anugerah Corporate Media Company of The Year-Malaysia di Majlis Anugerah The Middle East Prestige Awards 2022/23 dan Anugerah Perniagaan Terbaik Malaysia (MBBA2023) bagi kategori Program Tanggungjawab Sosial Korporat Terbaik,” jelas Namanzee.

Untuk terus memanfaatkan ummah, TV AlHijrah juga menganjurkan Kempen Bincang Niaga Privilege. Kempen ini adalah usaha stesen ini untuk membantu menaiktaraf masa depan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) untuk menguasai pasaran ekonomi domestik dan bersaing di peringkat antarabangsa menerusi pakej pengiklanan mampu milik.







Sebuah kempen pengiklanan tahunan yang menjadi inisiatif signifikan TV AlHijrah dalam membantu para usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) kini kembali.



Kali ini, TV AlHijrah bakal melancarkan program Bincang Niaga Privilege iaitu program yang memberi peluang kepada usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka dengan pakej pengiklanan mampu milik.

Program ini merupakan usaha TV AlHijrah dalam membantu kerajaan untuk meningkatkan dan merancakkan lagi aktiviti pembangunan usahawan tanah air. TV AlHijrah telah memilih Industri Kecil dan Sederhana atau IKS sebagai kelompok sasaran untuk membantu meningkatkan jualan melalui kempen pemasaran strategik dan pengiklanan.



Usaha ini juga merupakan kesinambungan siri kempen yang diperkenalkan sejak tahun 2016 dan diteruskan lagi dengan pakej-pakej pengiklanan yang istimewa pada harga berpatutan. Cakna dengan prestasi perniagaan tempatan, TV AlHijrah menawarkan sembilan pilihan pakej pengiklanan eksklusif untuk para usahawan. 

Bincang Niaga Privilege ini mencari usahawan yang mengusahakan perusahaan produk serta perkhidmatan seperti pakej umrah, makanan, dan lain-lain untuk dibantu dalam meningkatkan jenama mereka. Program ini bakal dilancarkan pada 29 Julai 2023, Sabtu, bermula jam 3 hingga 5 petang menerusi sebuah sesi bual bicara. Sesi tersebut akan dihadiri oleh 50 usahawan IKS yang terpilih.



Sarat dengan aktiviti perkongsian dan perkhidmatan, Bincang Niaga Privilege membawakan sesi Biz Talk dan program siaran langsung bersama para usahawan tersebut. Sesi yang diadakan adalah untuk memberikan pendedahan dan tawaran mempromosikan produk atau perkhidmatan dengan kerjasama bersama agensi kerajaan seperti Rural Capital Berhad milik MARA Corporation Sdn. Bhd. Oleh itu, kempen ini juga mensasarkan pemantapan hubungan antara TV AlHijrah, usahawan IKS dan pemegang taruh yang lain.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, kempen Bincang Niaga pada tahun ini diteruskan dengan kepelbagaian pilihan pakej yang bermula dari serendah RM5,900. “Usahawan IKS yang berminat juga diberi pilihan dengan beberapa pakej pengiklanan eksklusif yang lain untuk membantu merancakkan dan memantapkan lagi promosi jualan mereka”, tambah beliau.



Pakej pengiklanan percuma turut bakal diberikan kepada usahawan terpilih yang menyertai siaran langsung Bincang Niaga sebagai penonton di studio. Ketika sesi tersebut, pelbagai informasi menarik juga bakal dikongsikan kepada para usahawan termasuklah kaedah memasarkan jualan sehingga ke luar negara. 

TV AlHijrah komited dalam membantu masyarakat tempatan yang menjadikan aktiviti perniagaan sebagai sumber pendapatan. Pada era pertumbuhan ekonomi yang baru merancak kembali selepas pandemik Covid 19 ini, TV AlHijrah masih komited dalam membantu usahawan tempatan untuk terus berkembang.
 

Bertemakan ‘Produk Anda Berhak Popular’, inilah masanya untuk para usahawan IKS yang bermotivasi tinggi dan berjiwa besar untuk munculkan diri di kaca televisyen mengembangkan lagi tahap pemasaran produk serta perkhidmatan mereka bersama TV AlHijrah.

Oleh itu, jika anda adalah usahawan yang kami cari dan berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pakej Bincang Niaga Privilege, sila layari www.tvalhijrah.com/bincangniaga/ atau media sosial rasmi TV AlHijrah di aplikasi Facebook, Instagram dan TikTok.








TV AlHijrah telah diiktiraf sebagai penerima anugerah khas bagi kategori Program Tanggungjawab Sosial Korporat Terbaik oleh Media Home pada majlis Anugerah Perniagaan Terbaik Malaysia (MBBA2023). Hadir menerima penganugerahan itu, Suffian Yahya, selaku Pengurus Besar Kejuruteraan dan Sokongan Penyiaran TV AlHijrah mewakili Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.



Majlis anugerah MBBA2023 yang diadakan pada 24 Jun 2023 yang lalu menyaksikan pengiktirafan itu dianugerahkan kepada stesen TV AlHijrah di atas bantuan kemanusiaan dan program kemasyarakatan yang disumbangkan oleh stesen penyiar Islam itu kepada masyarakat di negara ini, menerusi jenama Hijrah Prihatin.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah Namanzee Harris menyifatkan kemenangan itu sebagai penghargaan kepada TV AlHijrah di atas sekelumit usaha membantu masyarakat yang kurang bernasib baik di negara ini menerusi siri bantuan yang dirancang sepanjang tahun.

Hijrah Prihatin beriltizam untuk menjadi tulang belakang masyarakat yang memerlukan bantuan. Kami bukan sahaja memberikan sumbangan kewangan dan barangan keperluan seharian, malahan sokongan emosi turut diberikan menerusi barisan asatizah yang kami bawa setiap kali turun membuat CSR.

“Semenjak tahun 2020 lagi, kami berusaha memperkasakan jenama Hijrah Prihatin sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang kami kepada masyarakat Malaysia. Jiwa kami besar untuk tahun-tahun mendatang, bagi menyemarakkan lagi budaya tanggungjawab sosial korporat di kalangan masyarakat Malaysia MADANI.



Namanzee Harris berkata penganugerahan itu juga adalah buah tangan buat rakan sinergi korporat stesen itu yang sentiasa tampil menghulurkan jalinan kerjasama terutamanya yang membabitkan kumpulan B40, asnaf, muallaf dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Selain itu, Namanzee turut berkata tahun 2023 bakal menyaksikan lebih banyak program berimpak tinggi yang akan dihasilkan TV AlHijrah bagi memenuhi aspirasi penyiaran negara dan selera penonton yang dahagakan program ilmiah yang mendidik dan menghiburkan selari dengan ajaran agama, perkembangan zaman, batasan budaya dan norma masyarakat majmuk di Malaysia.

“Kami akan menyiarkan dua rancangan realiti TV pada suku ketiga dan suku keempat 2023 iaitu Rancangan Realiti Akademi Muda YADIM (Musim 4) dan program realiti baru Marhaban. Denyut nadi kedua-dua rancangan realiti ini sangat istimewa dengan suntikan keseimbangan duniawi dan ukhrawi. Tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk melahirkan masyarakat penonton yang berilmu pengetahuan dan agama tinggi untuk membangunkan masyarakat MADANI,” katanya.



Beliau turut berharap agar TV AlHijrah terus bersaing dan kekal relevan mendepani arus permodenan di peringkat tempatan mahupun antarabangsa walaupun mendapat persaingan daripada media-media baru. Anugerah Perniagaan Terbaik Malaysia (MBBA2023) diadakan bagi meraikan dan menghargai sumbangan individu dan syarikat korporat daripada pelbagai sektor seperti makanan, penyiaran, hotel dan pelancongan, kecantikan & kosmetik, sukan, kesihatan, fesyen, kewangan Islam, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), dan konsultan yang menyokong dan menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi Malaysia.

Untuk rekod, pada April yang lalu, TV AlHijrah turut menerima anugerah Corporate Media Company of The Year- Malaysia di Majlis Anugerah The Middle East Prestige Awards 2022/23 anjuran The Corporate LiveWire, sebuah syarikat penerbitan yang bernaung di bawah Fenicemedia, Bermingham, UK. Anugerah ini diberikan atas peranan dan tanggungjawab TV AlHijrah sebagai penyiar kandungan Islam di peringkat global.








Sukacita kami ingin mengumumkan bahawa YBrs. Tuan Haji Khair Ngadiron telah dilantik sebagai Pengerusi baharu AlHijrah Media Corporation (TV AlHijrah) menggantikan Dato' Dr. Ab. Halim bin Tamuri.



Tuan Haji Khair Ngadiron merupakan Pengarah di Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM). Beliau berpengalaman luas dalam industri buku di Malaysia dan luar negara.

Berkelulusan Sarjana Undang-Undang (LLB) (1990) dan Sarjana Undang-Undang Perbandingan (MCL)(1991) , beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah di Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) selama 11 tahun.

Sebelum berkhidmat di ITBM, beliau adalah Pensyarah Undang-Undang dan Timbalan Dekan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selama 17 tahun. Beliau juga pernah dan sedang menyandang beberapa jawatan penting dalam organisasi seperti Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kota Buku Kuala Lumpur, Ahli Jawatankuasa Persatuan Penulis Nasional (PENA), Ahli Lembaga Penubuhan Akademik Antarabangsa Pengajian Arab (IAFAS) UMK, Penasihat Kelab Debat Bahasa Melayu, Alumni UIAM dan Ahli Jawatankuasa Pengajian Akademi, Pengajian Melayu Universiti Malaya.

YBrs. Tuan Haji Khair Ngadiron telah dilantik sebagai Pengerusi baharu TV AlHijrah


Sebagai tambahan, TV AlHijrah juga ingin mengumumkan pelantikan enam orang Ahli Lembaga Pengarah baharu iaitu Datuk Hakimah Binti Mohd Yusoff, Prof. Madya Dr. Nik Salida Suhaila Binti Nik Saleh, Encik Dzul Karnain Bin Abdullah, Encik Shamsul Qamar Bin Abd Rani, Encik Azizuddin Bin Ahmad dan Encik Amran Bin Idris. Manakala, dua Ahli Lembaga Pengarah terdahulu yang dikekalkan adalah Dato’ Mohamad S. Ahmad dan Puan Hasliana Kamarudin.

TV AlHijrah mengucapkan tahniah serta mengalu-alukan pelantikan Tuan Haji Khair Ngadiron serta kesemua Ahli Lembaga Pengarah sebagai sebahagian daripada ahli keluarga stesen ini.

TV AlHijrah berkeyakinan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah yang baharu dilantik ini mempunyai ketokohan, pengalaman, kepakaran dan keupayaan dalam merealisasikan visi dan misi penyiaran stesen ini untuk menyatupadukan ummah dengan ilmu. Usaha ini selari dengan Pelan Transformasi Al-Falah yang diperkenalkan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam usaha menjayakan inisiatif kerajaan Malaysia bagi mewujudkan masyarakat Malaysia MADANI.







Penutup tahun 2022 yang manis buat TV AlHijrah apabila stesen penyiar berkonsepkan gaya hidup Islam pertama Malaysia ini merangkul pengiktirafan Pesanan Khidmat Awam Terbaik Kategori Penyiaran pada Majlis Anugerah Penarafan Bintang 2021, anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).



Anugerah ini adalah antara bukti pencapaian serta komitmen TV AlHijrah dalam bertindak sebagai penyiar bertanggungjawab yang menyampaikan mesej secara terancang yang berkepentingan awam kepada masyarakat.

Hadir mewakili Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah pada majlis pengiktirafan tersebut adalah Ketua Kumpulan Integrasi Media dan Hal Ehwal Korporat, Saifulizan Sidek. Beliau menerima anugerah yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Seri Mohammad Mantek.



Saifulizan berkata anugerah itu adalah pengiktirafan kepada TV AlHijrah kerana tidak pernah culas menyokong inisiatif kementerian dan agensi kerajaan untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai dasar, perkhidmatan, program, aktiviti atau sesuatu isu yang berkepentingan awam.

Anugerah ini juga adalah bukti dedikasi, semangat, dan usaha warga TV AlHijrah mendukung aspirasi pihak kerajaan sekaligus menjalankan amanah sebagai penyiar yang memartabatkan syariah serta mempromosikan nilai-nilai Islam yang turut sama giat dipromosikan oleh agensi-agensi agama di bawah naungan Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar,” jelasnya.



Saifulizan turut berkata, anugerah itu juga satu penghargaan kepada TV AlHijrah atas usaha dan sifat prihatin terhadap keperluan masyarakat melalui kandungan televisyen.

Kita sentiasa berusaha menghasilkan kandungan-kandungan bermanfaat dan diperlukan rakyat terutama dari sudut rohani. Usaha seperti ini pastinya akan diteruskan dan anugerah ini merupakan satu motivasi kepada warga kerja TV AlHijrah,” katanya lanjut.



Anugerah Penarafan Bintang 2021 diadakan bagi meraikan industri telekomunikasi, penyiaran dan industri kurier yang cemerlang dalam memberikan perkhidmatan serta servis terbaik kepada rakyat Malaysia. Anugerah yang dianjurkan dua tahun sekali ini memberi pengiktirafan kepada pemegang lessen di bawah bidang kuasa SKMM.

Turut hadir pada majlis ini adalah Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching dan Ketua Pegawai Operasi SKMM, Dato' Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus.










Umat Islam seantero dunia akan meraikan hari keputeraan Nabi akhir zaman, Muhammad S.A.W pada 12 Rabiulawal 1444H bersamaan 8 Oktober 2022 akan datang. Kecintaan dan ketaatan kepada Rasullullah adalah tuntutan agama dah harus dieksperesikan berlandaskan syariat Islam.



Tidak mahu ketinggalan di dalam usaha mendapatkan syafaat Baginda Rasullullah S.A.W, TV AlHijrah akan meraikan sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini dengan menggunapakai tema Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran. 

Menerusi tema ini, TV AlHijrah beriltizam untuk bersama-sama Keluarga Malaysia mencintai serta memperingati tentang nilai murni, pengajaran serta dakwah yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W sepanjang kerasulan Baginda.



Oleh yang demikian, sepuluh program utama akan ditayangkan bersempena sambutan istimewa ini. Program-program tersebut adalah Gema Haflah, Majlis Konvokesyen Khatam My #QuranTime, Hijrah Berselawat, Assalamualaikum Khas, Telefilem Sadaqallahul’azim, Jalinan Kasih, Dakwah Live Istimewa Maulidur Rasul, Akademi Daie Muda YADIM, Peristiwa Maulid, Studio AlHijrah dan Telefilem Sadaqallahul’azim.

Gema Haflah akan memulakan siaran pada Jumaat, 7 Oktober 2022, jam 9 malam dengan menampilkan barisan selebriti jemputan seperti Dato’ Nash, Lufya Omar, Mawi dan Hazwani Helmi. Kesemua mereka akan mengalunkan bacaan surah-surah pilihan seperti surah Al-Kauthar, Al-Mulk, Ar-Rahman, Quraish, Al-Maaun, Al-Fiil, Al-Baqarah dan Surah An-Nas dengan variasi maqam tarannum seperti Bayati, Nahawand, Hijaz, Jiharkah dan Soba.

Penggemar rancangan ladang ilmu My #QuranTime akan diraikan dengan Majlis Siaran Langsung Konvokesyen Khatam Tadabbur dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Sabtu, 8 Oktober 2022, jam 11.30 pagi. Majlis ini adalah kemuncak kepada sesi tadabbur 604 helaian Al-Quran yang telah bermula di TV AlHijrah semenjak tahun 2020.



Seterusnya, TV AlHijrah akan menyiarkan rancangan baru berjudul Jalinan Kasih pada jam 8.30 malam. Sepanjang dua episod siaran rancangan ini pada 8 dan 9 Oktober, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Haji Idris Bin Haji Ahmad akan turun padang menyantuni, beramah mesra serta melakukan aktiviti kerohanian bersama penghuni Penjara Kajang. Tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk memberikan sokongan moral serta galakan untuk memperbaiki diri di masa hadapan.

Sambutan hari keputeraan Nabi Muhammad diteruskan dengan rancangan Hijrah Berselawat pada jam 9 malam. Hijrah Berselawat membawakan qasidah-qasidah menarik terutamanya Humko Bulana serta Isyfaq Lana yang dilantunkan oleh Inteam, Faizal Tahir, Zaf VE, Pot Amir dan Mirwana. Penampilan istimewa, Ustaz Don Daniyal pula akan memberikan tausiyah mengenai sirah-sirah kehidupan Baginda Rasulullah.



Pada 9 Oktober, pagi Ahad penonton akan bermula seawal jam 7 pagi dengan rancangan Assalamualaikum Khas bersama Ustazah Muzayyanah Abdullah dan Ustaz Shamsul Hakim. Rancangan bual bicara pagi ini akan berkongsi kisah kepimpinan Rasulullah S.A.W sebagai panduan kehidupan seharian. 

Meneruskan siaran, telefilem Sadaqallahul’azim pula disiarkan pada jam 9 malam. Telefilem yang membariskan barisan pelakon terbaik tanah air seperti Ungku Hariz, Husna Mustaffa, Anna Dahlia, Zaidi Omar, Razak Ahmad dan Ezlynn Arifin berkisar tentang Solihin, seorang peguam yang dikenali ramai kerana banyak terlibat dengan pembelaan kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan tokoh-tokoh kenamaan. Namun jauh di sudut hati, Solihin sedar bahawa kemasyhuran dunia tidak memberikan apa-apa jaminan. Hatinya kosong serta berasa kerdil kerana dia tidak tahu membaca Al-Quran. Solihin berbelah bahagi antara populariti dan tuntunan agama. Dia malu untuk belajar mengaji kerana takut popularitinya terjejas.



Dakwah Live akan disiarkan pada Rabu, 12 Oktober, jam 9 malam. Penonton akan bersama-sama Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang, Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa, Wasiril Aswad serta panel jemputan Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari bagi mengupas topik Rasulullah Aku Rindu. Perbincangan ilmiah ini pastinya akan menambah rasa cinta dan rindu buat Baginda.

Malam Khamis penonton akan diserikan dengan sebuah rancangan terbaik untuk tontonan seisi keluarga iaitu Akademi Daie Muda YADIM. Disiarkan bermula 13 Oktober, jam 9 malam, rancangan ini bermatlamat melahirkan ikon yang mampu menjadi tonggak tauladan buat masyarakat. Saksikan 28 orang peserta yang akan berentap secara sehat dalam merebut gelaran Daie Muda YADIM musim keempat.



Pada Sabtu, 15 Oktober, jam 9 malam, Peristiwa Maulid akan disiarkan. Rancangan ini berkonsepkan teater, nyanyian, qasidah dan penceritaan. Program ini akan menceritakan mengenai peristiwa kelahiran Nabi Muhamammad S.A.W sehingga peristiwa kewafatan Baginda. Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi akan menjadi pentausiyah di samping penglibatan artis-artis tanah air seperti, Lah Ahmad, Daqmi, Hafiz Hamidun, Lan Solo dan lain-lain.

Bagi menutup tirai kempen Maulidur Rasul di TV AlHijrah, Studio Hijrah akan disiarkan pada 17 Oktober, Isnin, jam 8.30 malam. Studio Hijrah merupakan sebuah program hiburan islamik yang memaparkan lagu-lagu ketuhanan di Malaysia dengan  genre pelbagai seperti rap, balada, pop, rock dan lain lain. Nyanyian akan disampaikan secara akustik agar lontaran dakwah dapat dibuat dengan lebih berkesan.



Siaran kesemua rancangan istimewa Maulidur Rasul di TV AlHijrah sudah semestinya mampu membantu penonton menghayati hari kelahiran Baginda S.A.W dengan lebih bermakna. Jadi, ayuh sama-sama baja rasa cinta buat Rasulullah di TV AlHijrah.








Bersempena Minggu Al-Quds sedunia yang disambut bermula 25 Februari 2022 hingga 3 Mac 2022, TV AlHijrah membawakan pengisian khas dengan menerbit dan menyiar sebuah forum bertajuk AlQuds Semakin Hampir.



Forum AlQuds Semakin Hampir akan disiarkan, Jumaat, 4 Mac 2022, jam 9 malam hingga 10 malam.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, “Forum ini disiarkan sebagai deklarasi solidariti dalam memperingati Hari Nakbah. Seluruh masyarakat dunia perlu tahu kesengsaraan yang dilalui oleh rakyat Pelestin akibat konflik Israel-Palestin yang berlanjutan sejak 74 tahun lalu.”

“Selain itu, antara objektif lain penerbitan rancangan ini adalah untuk menyokong usaha-usaha ke arah kesatuan umat Islam yang merentasi sempadan negara mahupun aliran pemikiran. Masyarakat juga boleh mengambil iktibar dalam mengingati detik bencana pencerobohan Israel terhadap Palestin” 

“Ia juga tanda sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan Malaysia yang sentiasa berpendirian tegas dalam mempertahankan Palestin sebagai sebuah negara berdaulat.” jelas Namanzee.

Forum Al-Quds membawakan panel yang arif dalam berdiskusi isu Hari Nakbah iaitu Duta Khas Perdana Menteri Malaysia ke Timur Tengah, Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Beliau akan Abu Talib Husin sebagai hos rancangan.



Antara yang akan dikupas oleh Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang adalah perisitwa Nakbah secara terperinci bermula dari kronologi tercetusnya peristiwa tersebut sehingga bagaimana keadaan penduduk Palestin masa kini. 
 
Paling menarik, panel serta hos rancangan turut berkongsi janji Nabi Muhammad S.A.W mengenai Al-Quds serta kaum Yahudi.

Selain itu, Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi juga memberi pencerahan kepada masyarakat mengapa Hari Nakbah perlu diperingati dalam mempertahankan kedaulatan negara kita, Malaysia.



TV AlHijrah menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menyaksikan Forum AlQuds Semakin Hampir. Antara isu-isu lain yang akan dikupas adalah pendedahan mengenai keadaan geo politik antarabangsa berkaitan pembebasan Palestin dan kepentingan Masjid Al-Aqsa.  

Jangan lupa juga untuk menyaksikan program-program lain yang sedang ditayangkan di stesen ini. Antara yang menarik adalah 40 Kalam Junjungan, sebuah tazkirah pendek yang mengupas aspek perawi, matan hadis dan pengajaran daripada kitab 40 hadis Imam Nawawi. Rancangan ini bersiaran pada setiap hari Ahad pada jam 7:30 malam di TV ALHIJRAH.







Slot Qalbu TV AlHijrah konsisten dalam menyebarkan agenda dakwah kepada masyarakat menerusi rancangan-rancangan terbaik pilihannya.



Terbaru, TV AlHijrah menyiarkan drama berjudul Janji Pada Hati. Drama arahan Sham Jr. yang diterbitkan oleh MDAG Marketing Production Sdn. Bhd. ini disiarkan pada setiap Isnin dan Selasa, jam 6 petang.

Janji Pada Hati berkisah tentang seorang wanita bernama Dahlia yang amat tabah dalam memelihara rukun kebahagiaan di dalam rumahtangganya.

Dahlia adalah seorang suri rumah sepenuh masa yang amat menyayangi anak tunggalnya Aina. Walau luaran kelihatan bahagia, namun Dahlia sering kali merasakan dirinya terkurung. Tidak seperti suaminya Ezani yang bekerjaya serta senantiasa sibuk dengan kariernya.



Rasa kelompongan yang ada di dalam hati Dahlia tambah buruk apabila dia mengetahui Maira, kekasih lama Ezani akan memulakan kerjasama dengan suaminya di tempat kerja. Maira akan menjadi peguam kepada syarikat Ezani.

Disebabkan itu, Dahlia berpakat dengan Laila, rakan sepejabat Ezani untuk mengintipnya di tempat kerja. Bukan itu sahaja, Laila turut memberi amaran kepada Maira agar menjauhi Ezani kerana dia sudah berkeluarga. Laila turut menasihatkan Ezani agar tidak rapat dengan Maira demi Dahlia.

Sedikit sebanyak nasihat Laila meninggalkan kesan di dalam hati Ezani. Untuk menjernihkan keadaan, Ezani membuat kejutan dengan menghadiahkan jambangan buat Dahlia. Ezani berjanji untuk meluangkan lebih banyak masa dengan Aina, anak mereka.



Walau gembira, Dahlia masih rasa ragu-ragu. Perasaan curiganya bertambah teruk apabila mereka terserempak dengan Maira di pasaraya. Dahlia nampak reaksi Ezani yang terkedu melihat Maira. Bahasa tubuh mereka berdua meyakinkannya bahawa Ezani curang.

Konflik semakin tegang apabila Dahlia terjumpa penyata bank tempahan hotel dan pembelian barangan berjenama daripada kad kredit Ezani. Dahlia meminta kepastian dengan Laila berkenaan hal tersebut dan Laila mendakwa Ezani membelikan barangan tersebut untuk Maira.

Dahlia tekad untuk bersemuka dengan Maira di pejabatnya. Saat melihat kelibat Ezani dan Maira yang kelihatan mesra, hatinya hancur. Dia melulu pulang ke rumah. Malang tidak berbau, kereta yang dipandu Dahlia kemalangan.



Dahlia koma. Ezani mengambil keputusan berhenti kerja untuk menjaga isterinya yang terlantar di hospital. Dia juga perlu menjaga Aina.

Takdir Allah Dahlia tersedar dari koma yang Panjang. Namun begitu, segalanya kelihatan amat mengelirukan.

Saat terjaga, Dahlia terkejut apabila terbau nasi goreng kegemarannya yang sering dimasak oleh arwah ibunya. Apabila ke dapur, dia melihat sosok tubuh ibunya Hajah Siti yang telah meninggal dunia. 



Kehidupan Dahlia seperti berputar kembali ke zaman silam. Malahan jeritan ibunya agar dia lekas pergi ke kelas pengajian benar-benar membuatnya keliru. Dahlia terkejut kerana dia masih pelajar di universiti. Dia juga bukan isteri Ezani. Malah, Aina juga tidak pernah wujud sama sekali.

Apakah yang sebenarnya sedang terjadi? Adakah ini semua adalah khayalan Dahlia? Benarkah Dahlia pernah menjadi isteri Ezani? Kesemua persoalan ini akan terjawab sepanjang 13 episod siaran drama penuh warna warni ini.



Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Janji Pada Hati yang membariskan pelakon hebat tanah air seperti Ezzaty Abdullah, Azwan Kombos, Raysa Sofea, Hazwani Helmi dan ramai lagi.