Dunia Penuh Gosip - TV Hijrah Dunia Penuh Gosip: TV Hijrah - All Post
Memaparkan catatan dengan label TV Hijrah. Papar semua catatan
TV AlHijrah terus maju mengorak langkah menjadi stesen televisyen Islam yang menggerak potensi dan memperkasakan ekonomi ummah apabila menerima anugerah The BrandLaureate SMEs Best Brand Awards 2018-2019 dalam kategori Anugerah Rakan Perniagaan Strategik buat tahun kedua malam tadi.


Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Dr. A. Bakar Sarpon menerima anugerah tersebut dalam majlis berprestij yang berlangsung di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negara. 

Dr. A. Bakar Sarpon sewaktu ditemui berkata, “anugerah ini cukup bermakna buat seluruh warga kerja TV AlHijrah yang bekerja keras secara kolektif dalam membantu menaiktaraf masa depan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk menguasai pasaran ekonomi domestik dan bersaing di peringkat antarabangsa. Ini dilaksanakan menerusi platform promosi iklan televisyen dengan kos yang berpatutan dan berbaloi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


“Reputasi kami sebagai satu jenama dinamik dan prihatin dalam memacu kebangkitan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tidak dapat dinafikan lagi apabila sedari tahun 2016 lagi hingga kini kami secara berterusan menawarkan ruang promosi di televisyen dengan kos yang jauh lebih jimat berbanding harga pasaran semasa.” katanya.

“Terbaru, kami menawarkan pakej palaburan istimewa bermula RM30,000 sempena Ramadan yang bakal tiba. Apa sahaja produk dan perkhidmatan milik peniaga kecil dan sederhana boleh diiklankan di TV AlHijrah dengan kekerapan yang tinggi setiap hari selama lebih kurang sebulan. Belian pakej ini boleh digandakan tanpa had.” jelas beliau.


“Ini memberi gambaran bahawa TV AlHijrah turut menyahut seruan kerajaan yang mahukan transformasi positif industri ini sehingga ke peringkat antarabangsa.” tambahnya. Selain itu, Dr. A. Bakar Sarpon turut optimis stesen televisyen berkonsepkan Islam ini akan menerbit dan menyiarkan lebih banyak  rancangan-rancangan berimpak tinggi yang menepati selera rakyat Malaysia terutamanya bagi penonton yang berusia 24 hingga 39 tahun.

Beliau turut berharap agar TV AlHijrah terus bersaing dan kekal relevan mendepani arus permodenan di peringkat tempatan mahupun antarabangsa walaupun mendapat persaingan daripada media-media baru.


The BrandLaureate SMEs Best Brand Awards 2018-2019 yang berlangsung malam tadi memberi pengiktirafan kepada jenama terbaik Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di pasaran tempatan dan global merangkumi sektor-sektor seperti Makanan, Hotel dan Pelancongan, Kecantikan & Kosmetik, Sukan, Kesihatan, Fesyen, Perbankan dan Kewangan dan banyak lagi.







TV Hijrah mengambil posisi penting dalam meraikan setiap majlis dan keraian agama Islam. Ini selari dengan misi TV Hijrah selaku stesen yang memartabatkan kandungan penyiaran perspektif Islam yang terkini, releven dan mampu memberi nilai tambah dalam kehidupan penontonnya.


Terbaru, TV Hijrah kini menyiarkan secara langsung keseluruhan acara Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/2019M yang sedang berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Seremban, Negeri Sembilan bermula hari ini, 18 Mac 2019 hingga 21 Mac 2019.

Penonton setia stesen ini berpeluang untuk menyaksikan acara berprestij ini dari kaca televisyen bermula jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan bersambung jam 2.30 petang hingga 4.00 petang.

Sepanjang empat hari siaran, penonton akan dihidangkan dengan acara hafazan dari lapan puluh empat orang peserta yang berumur di antara 7 tahun hingga 25 tahun menerusi tiga kategori yang dipertandingkan.


Kategori pertama adalah  hafazan daripada juzuk pertama hingga juzuk kesepuluh. Kategori kedua melibatkan acara hafazan daripada juzuk pertama hingga juzuk kedua puluh dan kategori terakhir pula adalah acara hafazan daripada juzuk pertama hingga juzuk ketiga puluh.

Pada masa yang sama, TV Hijrah turut menyiarkan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan pada jam 9.00 malam hingga 11.00 malam.

Oleh yang demikian, beberapa program sedia ada TV Hijrah akan dihentikan sementara siarannya bagi memberi laluan kepada Siaran Majlis Tilawah Dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/ 2019M


Antara rancangan-rancangan yang terlibat adalah rancangan Dhuha, Home Shopping, Taman Syurga Habib Ali, 2 Minit Ustaz, 30 Minit Bersama Udd, Sila Duduk Jangan Lari dan Wacana Minda. Kesemua rancangan ini akan disiarkan semula seperti biasa bermula jumaat, 22 Mac 2019.

Jadi, jangan lupa untuk sama-sama menyaksikan Majlis Tilawah Dan Menghafaz Al- Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1440h/ 2019m di TV Hijrah.








Rancangan Analisis TV Hijrah menjadi tular minggu lepas apabila stesen televisyen berkonsepkan Islam ini berani membawakan dua orang panel dengan latar belakang dan fahaman berbeza iaitu iaitu Dato’ Dr. Musa Mohd Nordin dan Dr. Nurul Huda Mohammed Zabidi untuk berdiskusi tentang isu Vaksin: Perlindungan Atau Kemudaratan?


Suasana panas dapat dirasakan sejurus perbincangan bermula di Studio Digital TV Hijrah. Ini ditambah lagi apabila netizen yang menontonnya menerusi platform live facebook memberikan pelbagai komen membidas kenyataan kedua-dua panel.  Tidak kurang juga kecaman yang dilemparkan terhadap TV Hijrah dan juga pengacara rancangan Shafinaz Yunus yang dituduh berat sebelah dan tidak bersikap neutral sepanjang rancangan berlangsung.


Atas permintaan penonton, rancangan Analisis yang akan bersiaran jumaat ini, 22 Februari 2019 dari jam 10 malam hingga 11 malam akan membawakan satu lagi topik yang seringkali menjadi perdebatan masyarakat Malaysia hari ini iaitu Doula : Peneman Ibu Atau Pengganti Doktor?


Dua orang tokoh terkenal di padang masing-masing akan dibawakan ke studio sebagai panel bagi menemani Syafinaz Yunus sepanjang satu jam perbincangan. Mereka adalah Prof. Dr. Imelda Balchin, seorang Pakar Obstetrik Dan Ginekologi dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Puan Hayati Muzaffar, seorang pendidik kelahiran dan Doula.


Analisis adalah sebuah rancangan bual bicara kritikal di Slot 10 malam yang sering membawakan pelbagai tokoh-tokoh hebat negara bagi membicarakan topik-topik analitis secara berterus terang bagi memberikan pemahaman maksimum kepada penonton. Antara tokoh-tokoh yang penah hadir di rancangan ini adalah seperti Datuk Seri Akhbar Satar, Tan Sri Musa Hassan, Prof. Dato’ Dr. Teo Kok Seong, Datuk Zainal Abidin Borhan dan ramai lagi.


Jadi jangan lupa untuk sama-sama menyaksikan rancangan Analisis, jumaat ini jam 10 malam di TV Hijrah. Pastinya banyak fakta-fakta menarik yang akan dikongsikan bersama penonton lantas dijadikan panduan untuk meneruskan kehidupan di masa hadapan