Dunia Penuh Gosip - UiTM Dunia Penuh Gosip: UiTM - All Post
Memaparkan catatan dengan label UiTM. Papar semua catatan
Herbalife, sebuah syarikat dan komuniti kesihatan dan kesejahteraan yang terkemuka, bertekad menggalakkan pembangunan usahawan belia di Malaysia dengan menganjurkan Program Keusahawanan sulungnya bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM), sebagai sebahagian daripada inisiatif perintis untuk mendidik golongan muda Malaysia tentang pelbagai peluang ekonomi dalam bidang kesihatan dan pemakanan.



Kerjasama antara Herbalife dan UiTM dijalin berteraskan wawasan yang dikongsi bersama: melengkapkan golongan belia dengan pendidikan menyeluruh yang menyokong perkembangan kerjaya dan memperkayakan kesihatan. Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi di UiTM sentiasa berusaha melahirkan pelajar yang serba boleh, dan inisiatif ini menekankan misi tersebut, berbekalkan sokongan daripada Akademi Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Keusahawanan Malaysia UiTM.



Program keusahawanan tersebut, yang dilancarkan baru-baru ini di kampus UiTM Shah Alam membabitkan latihan kemahiran keusahawanan penting, selain memberikan pencerahan dan ilmu untuk membuka perniagaan berkaitan pemakanan, sambil disokong oleh reputasi global Herbalife dalam sektor kesihatan dan kesejahteraan. Bimbingan bermakna daripada tenaga pengedar Herbalife melibatkan sesi bimbingan peribadi, interaksi berkumpulan dan latihan dunia sebenar, akan memastikan setiap pelajar mendapat manfaat daripada pengalaman terkumpul dan tunjuk ajar individu. 

Program perintis ini disertai sejumlah 80 pelajar siswazah, dengan matlamat masa depan untuk meluaskannya kepada kesemua 34 kampus UiTM di seluruh negara. 



Steven Chin, Pengarah Kanan/Pengurus Besar Herbalife Malaysia dan Singapura berkata, “Kami sukacita untuk terus mengukuhkan kerjasama dengan UiTM menerusi inisiatif terbaharu ini, mencerminkan usaha Herbalife untuk membantu pelajar memanfaatkan peluang ekonomi menerusi tunjuk ajar, latihan, bimbingan dan ilmu keusahawanan. Memandangkan trend yang semakin meningkat ke arah keusahawanan dalam kalangan Gen Z dan golongan milenial seperti yang dilihat daripada Tinjau Selidik Usahawan Muda Asia Pasifik 2021, di samping peningkatan kadar obesiti Malaysia dan minat dalam penuaan sihat, program ini bertujuan membantu merapatkan jurang maklumat, dan dalam pada itu memberikan alat dan ilmu keusahawanan kepada anak-anak muda sambil membentuk ketetapan minda keusahawanan yang diperlukan untuk membina perniagaan dalam bidang kesihatan dan kesejahteraan." 



Profesor Madya Dr Raja Mohammed Firhad Raja Azidin, Dekan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Shah Alam, menambah, "Kami sentiasa berusaha menambah baik pengalaman pembelajaran pelajar-pelajar yang membawa perubahan bermanfaat bersama industri. Program usaha sama dengan Herbalife ini menyediakan gabungan unik kepakaran keusahawanan praktikal, sambil menekankan kepentingan kesihatan, kecergasan dan kesejahteraan yang sering kali diabaikan."



Ts. Dr Nik Roselina Nik Roseley, Pengarah Pusat Keusahawanan Pelajar, Akademi Pembangunan PKS & Keusahawanan Malaysia (MASMED), UiTM Shah Alam, mengulas, "Kerjasama dengan Herbalife adalah satu pendekatan berpandangan jauh kepada pembangunan pelajar, dengan menggabungkan keusahawanan dan gaya hidup sihat. Ini merupakan langkah strategik yang bakal melengkapkan pelajar dengan dua kemahiran iaitu ilmu perniagaan dan kesejahteraan diri untuk bersiap-sedia menghadapi cabaran pada masa depan."



Nurul Hanis Nisha Binti Abdul Halim, pelajar yang turut serta daripada Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi di kampus UiTM Shah Alam berkongsi pengalamannya di majlis pelancaran tersebut: "Inisiatif ini telah membuka mata kami kepada peluang yang ada di depan kita, sejajar dengan kerjaya yang bakal kami ceburi dalam bidang Sains Sukan. Menimba ilmu keusahawanan di sini bukan sahaja membantu memulakan perjalanan keusahawanan kami sendiri, tetapi juga memberikan gambaran jelas tentang permintaan di pasaran-pasaran yang berkenaan untuk membuat persiapan lebih baik untuk membina kerjaya selepas menamatkan pengajian.

Program Keusahawanan UiTM Herbalife, menggabungkan kesihatan dan peluang perniagaan, dan sesungguhnya memperlihatkan komitmen kedua-dua institusi untuk membina masa depan yang cerah dan mampan bagi golongan belia Malaysia.







Siapa sangka pernah tewas pada peringkat mingguan dan tidak layak untuk peringkat akhir. Namun rezeki tidak pernah salah alamat. Produk NACOTS iaitu peranti sensor DNA bagi mengesan virus dan kanser diberi peluang kedua untuk peringkat akhir. Tidak mensia-siakan peluang maka terus dinobat sebagai pemenang rancangan realiti berteraskan sains, teknologi dan inovasi, INNOVATHON musim pertama.



Inovasi yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Zainiharyati Mohd Zain, pensyarah kimia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu dipilih daripada kalangan lapan finalis untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dan pelaburan sokongan pembangunan perniagaan bernilai hingga RM1 juta.

Naib juara pula menjadi milik PUTRA UAV 2.0, inovasi ‘Drone Frame Kit’ dengan serat gentian daun nanas yang dipimpin oleh Navaneetha Krishna a/l Chandran, membawa pulang wang tunai RM80,000 dan trofi; sementara tempat ketiga dianugerahkan kepada ‘Plastic-To-Fuel’, inovasi Mensilin Green Energy Sdn. Bhd. pimpinan Mohamad Ashraf Zulnizam dan Ahmad Luqman Mohamad Adan, bersama hadiah wang tunai RM50,000 serta trofi.



Manakala tempat keempat menjadi milik ‘The Other Self’, inovasi jaket untuk penghantar makanan dilengkapi keperluan solat daripada Mohd Ehfan Ibrahim dan Aziq Fadzly Amir merangkul hadiah wang tunai RM10,000 bersama trofi; dan inovasi alat rehabilitasi pelbagai fungsi bagi pesakit lewat perkembangan motor kasar & halus, MAIDS5, oleh Kumpulan Rehab Charger dari Unit Perubatan Pemulihan Universiti Sains Malaysia (USM) Kelantan menjadi pemenang tempat kelima dengan hadiah wang tunai RM5,000 dan trofi.

Tiga lagi inovasi yang beradu di final INNOVATHON adalah Herba Untuk Ternakan (herba tradisional & organik untuk pembesaran ternakan) oleh Ustaz H. Azmi Nor; M-Braille Typewriter (mesin taip Braille mekanikal kepada inovasi elektronik) daripada Muhammad Hafidzuddin; dan Floating Stretcher (pengusung sebagai alat bantuan menyelamat yang fleksibel, ringan dan serbaguna) oleh Kumpulan Captain Innovator dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia cawangan Slim River, Perak pimpinan Shahrizal Hussin.



Lapan finalis terpilih ke pentas akhir INNOVATHON secara ‘wildcard’ untuk mempersembahkan inovasi masing-masing kepada lima orang juri profesional iaitu Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; selebriti dan usahawan, Fazura; serta dua orang pemain industri sebagai juri profesional jemputan - dengan Awal Ashaari dan Datin Lisa Surihani sebagai hos.

Di pentas akhir INNOVATHON, barisan juri professional menyumbang kepada 100 peratus keputusan disaksikan kira-kira 200 penonton di studio.









Dengan matlamat membawa sukan bola sepak Malaysia ke puncak lebih tinggi menerusi sains sukan, Herbalife, sebuah syarikat dan komuniti kesihatan dan kesejahteraan yang terkemuka, baru-baru ini menaja Siri Bengkel Sains Bola Sepak MASM: Penentuan dan Penilaian Kecergasan sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya. 



Acara ini telah dijayakan oleh Persatuan Perubatan Sukan Malaysia (MASM) dan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) UiTM sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan pembangunan sukan bola sepak di negara ini. 

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha yang lebih luas untuk meningkatkan tahap dunia sukan tempatan dengan memajukan sains bola sepak untuk mengembangkan bakat pemain Malaysia. Bengkel tersebut diadakan di Kompleks Sukan UiTM Shah Alam, dan dihadiri oleh jurulatih dan pembimbing dari seluruh Malaysia. Para peserta didedahkan kepada kaedah penilaian komprehensif, ilmu praktikal, serta teknik dan strategi untuk meningkatkan prestasi para pemain. 

Naib Presiden MASM, Profesor Madya Dr Mahenderan Appukutty mengulas, “Bola sepak sebagai sukan yang sangat mencabar, memerlukan para atlet untuk membina keupayaan fizikal cemerlang. Untuk mencapai prestasi puncak, kita perlu memahami cara menilai atau menentukan kecergasan para pemain kita dengan tepat. Bengkel ini bertujuan melengkapkan semua peserta dengan ilmu dan alat yang diperlukan untuk mengoptimumkan prestasi pasukan kita menerusi kaedah saintifik.” 
 
Barisan penceramah pakar memainkan peranan dalam penganjuran bengkel yang sungguh bermakna ini, dengan sesi maya bersama Adam Waterson, Ahli Lembaga Penasihat Kecergasan dan Ketua Bahagian Kekuatan dan Penyesuaian bagi LA Galaxy, sebuah pasukan profesional di Amerika Syarikat. Ini termasuk berkongsi pengalaman kerjaya beliau dengan LA Galaxy, falsafah dan program latihan kekuatan, metrik dan analitik prestasi dan juga strategi pemakanan sebelum, semasa dan selepas permainan untuk membekalkan tenaga dan memulihkan pemain. 



Dalam era digital, Adam juga menekankan tentang betapa pentingnya memupuk hubungan insan dan melatih pemain dengan sentuhan peribadi, sambil berkata, “Pada pendapat saya, kita perlu menjadi jurulatih yang menunjukkan empati dan memahami pemain, di samping mengetahui cara untuk mendapatkan prestasi terbaik daripada setiap pemain individu. Sebab itulah di LA Galaxy, pemain mempunyai program individu, daripada program pemakanan dan kekuatan kepada program kuasa dan penyesuaian. Setiap pemain adalah unik dan sesungguhnya kita perlu menguruskan mereka secara individu.” 

Adam juga menekankan betapa pentingnya pemakanan untuk menghidratkan dan membekalkan tenaga kepada para pemain sepanjang sesi latihan, seperti memberikan Herbalife24 CR7 Drive untuk bekalan karbohidrat, elektrolit dan cecair. Beliau juga menyatakan bahawa adalah amat penting untuk memastikan pemain mendapat nutrien secukupnya untuk menyokong mereka dalam perlawanan berturut-turut dan sesi latihan yang berat. 

Profesor Madya Dr Raja Mohammed Firhad Raja Azidin, Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Shah Alam dan juga Ketua Kecergasan Persatuan Bola sepak Selangor berkata, “Sokongan yang diberikan oleh Herbalife telah membolehkan kami menyediakan platform yang menghimpunkan pakar, pengamal dan penyelidik daripada pelbagai latar belakang untuk berkongsi maklumat serta bertukar-tukar idea, lantas mencetus kemajuan dalam sains bola sepak dan meningkatkan kesejahteraan atlet tempatan. Ilmu yang dikongsi di sini pasti mempunyai kesan mendalam dari segi cara kita mengendalikan latihan, mencegah kecederaan dan menggalakkan pembangunan keseluruhan pemain.” 

Ketua Prestasi Tinggi Persatuan Bola sepak Malaysia dan Jurulatih Bola sepak (FAM) Reuben Jude Balraj menekankan peranan penting profesional industri untuk berkongsi pengetahuan mereka. Tambah beliau, “Mereka yang terlibat dalam industri perlu berkongsi ilmu untuk membantu pemain dan jurulatih bersiap sedia untuk menghadapi situasi dunia sebenar dan mengamalkan ilmu yang ditimba, bukan setakat menguasai teori semata-mata. Ini akan membolehkan mereka mengguna pakai kemahiran dan kepakaran mereka di atas padang dengan berkesan.” Jurulatih tersebut merakamkan penghargaan ikhlas kepada UiTM FSR kerana atas sokongan konsisten yang diberikan dalam aplikasi sains sukan lanjutan, sambil menyatakan penyertaan mereka dalam bengkel ini ialah cara mereka menabur budi masyarakat dan memupuk semangat kerjasama dalam komuniti sukan. 



Bengkel Sains Bola sepak MASM merupakan komponen penting dalam kerjasama menyeluruh Herbalife dengan MASM dan FSR UiTM, yang membentuk sebahagian daripada komitmen menyeluruh untuk memupuk bakat tempatan menerusi sains sukan.  Kerjasama awam swasta ini dilanjutkan menjangkaui pelbagai inisiatif, termasuk tajaan 12 pelumba basikal pelajar dari UiTM, yang membolehkan mereka menyertai jelajah lumba basikal Le Tour de IPT 2023. Kerjasama rapat antara Herbalife dan UiTM selama ini berusaha mendorong para atlet Malaysia mencapai puncak lebih tinggi.